Sama ada kita sedari mahupun tidak, ada di antara kita pernah mengalami situasi terselamat daripada kemudaratan.
Sebagai contoh terselamat daripada kemalangan yang teruk, terselamat daripada kejahatan perompak atau pembunuh, terlepas daripada tipu daya orang lain dan pelbagai lagi.
Adakah pernah terlintas di fikiran kita walaupun sekilas lalu bahawa semua situasi demikian merupakan petanda daripada Allah agar kita kembali mengingati-Nya?
Dalam hiruk-piruk dunia dan segala kesibukan yang ada di atasnya mampu membuat kita lalai dengan sekelip mata.
Maka dari itu, Allah turunkan sedikit peringatan kepada kita agar kita muhasabah diri. Dan boleh jadi juga ia sebagai pembuka gerbang hidayah bagi mereka yang selama ini jauh daripada Allah.
Jangan kita menyangka bahawa segala sesuatu yang berlaku merupakan hukum alam semata-mata dan tiada kaitan dengan kekuasaan Allah. Dibimbangi pemahaman kita itu jatuh pada dosa kesyirikan.
Sedangkan Allah pernah berfirman dalam kitab-Nya bahawa apa pun yang diciptakan-Nya semuanya mengandungi hikmah, tiada satu pun yang sia-sia.
Betapa banyak kita saksikan ada sebahagian manusia yang selepas Allah timpakan sedikit musibah kepada mereka dan Allah melindunginya daripada marabahaya tersebut, ia pun berubah ke arah jalan yang benar.
Ia berubah menjadi hamba Allah yang soleh dan berjaya menggali hidayah dan hikmah daripada sekian petanda yang Allah turunkan kepada-Nya.
Dahulunya jahil, akhirnya ia menjadi mukmin sejati. Hal ini kerana ia tidak mensia-siakan peluang yang Allah beri kepada-Nya.
Hidayah itu adalah dicari bukannya ditunggu dengan duduk berdiam diri menanti ia datang. Hidup kita ini takkan berubah menjadi baik dengan sendirinya melainkan kitalah yang berusaha mengubahnya.
Allah SWT berfirman:
“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d: 11]
Oleh kerana itu, setiap bala yang menimpa kita, renungkan dan bersegeralah kembali memohon keampunan kepada Allah. Kepada mereka yang masih lalai, panjatkan puji syukur sebanyak-banyaknya kepada Allah kerana Allah masih memberikan kesempatan kepada kita untuk memperbaiki diri dan amalan.
Dia mahu agar kita menggarap dengan segera hidayah tersebut. Apalah jadinya sekiranya Allah membiarkan kita mati dalam keadaan bermaksiat? Nauzubillahi min zaalik!
Sesiapa pun pasti mengimpikan agar mereka meninggalkan dunia ini dalam keadaan husnul khatimah. Jadi mengapa kita bertangguh-tangguh dalam mengumpulkan bekal menuju alam barzakh?
Di dunia, kita ini hidup hanya sekali dan umur pula tidaklah sepanjang mana. Apabila kita sudah mati, berakhirlah semuanya. Di kala itu, hanya amalan soleh yang menjadi teman setia.