KOTA BHARU – Hari Sastera ke-18 yang bertemakan ‘Islam dan Sastera Kebangsaan’ yang diadakan di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan pada 4 hingga 6 Ogos lalu telah menghimpunkan lebih 200 orang peminat sastera dari seluruh negara, di sini.
Program ini bertujuan menghasilkan sesuatu yang positif dan memberi perkembangan yang lebih baik untuk sastera, dan juga membincangkan pelbagai maklumat dan persoalan sastera dan budaya dalam tema-tema tertentu yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Hari Sastera ke-18 merupakan program anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).
Para peserta berkampung bagi berforum, berdiskusi serta menyuarakan buah fikiran dan pendapat yang secara tidak langsung bagi menyemarakkan lagi perkembangan sastera di negara ini.
Hari sastera tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Nik Mohd Amar Abdullah, manakala majlis penutup pula telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.
Turut sama hadir, Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan dan para sasterawan.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya pembentangan kertas kerja berkenaan Apresiasi Sastera Islam, majlis gapo-gapo, acara santai puisi, aktiviti sumbang idea dan lain-lain.