KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, aktiviti cuti sekolah ‘Street Ngaji Family Day’ bersama para pelajar dan sukarelawan StreetNgaji telah berlangsung meriah pada Ahad, 2 Disember lalu di Taman Botani Perdana, di sini.
Program anjuran StreetNgaji di bawah agensi i-Bantu dan Rose2Rose bertujuan meraikan para pelajar StreetNgaji yang sentiasa komited dan konsisten menghadiri sesi pembelajaran Iqra’ dan al-Quran pada setiap minggu.
“Ia juga sebagai salah satu program untuk mengisi cuti sekolah serta merapatkan lagi ukhuwah antara sukarelawan dan pelajar yang telah bersama lebih dua tahun,” kata pengarah program.
Program ini telah dihadiri seramai 102 peserta dan dimulakan setelah mereka tiba ke Taman Botani pada jam 8.30 pagi dan diteruskan dengan kata-kata aluan daripada tetamu jemputan.
“Family Day ini turut dimeriahkan lagi dengan acara sukaneka untuk kategori kanak-kanak bawah 5 tahun, kategori Rumah Sukan Biru, Kuning dan Hijau, kategori dewasa lelaki dan wanita serta acara antara sukarelawan dan para pelajar.”
Beliau berkata, acara diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk para peserta dan penyampaian anugerah pelajar-pelajar terbaik sepanjang sesi pembelajaran bersama StreetNgaji untuk 2018.
“Terima kasih buat para penyumbang yang budiman yang sudi menyumbang untuk kami sama-sama menjayakan Hari Keluarga ini. Terima kasih buat sumbangan ikhlas yang mampu menggembirakan hari anak-anak ini.”
Turut hadir memeriahkan program ini ialah para sukarelawan dan tetamu jemputan antaranya Ketua Kluster Khidmat Masyarakat dan Kebajikan IKRAM, Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif dan keluarga, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan IKRAM Malaysia, Hj Kamsani Nasir, Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Wilayah Persekutuan, Hj Madhadzir Hassan dan Penaung StreetNgaji merangkap Pengerusi Rose2Rose, Dr Hjh Fauziah Mohd Hasan.