Ahad, 19 Jun 2022 adalah sambutan Hari Bapa. Sebagai bapa, kita harus bersyukur atas kurniaan ini. Bapa adalah ketua, pemimpin, pelindung dan pendidik dalam rumah tangga.
Jatuh bangun sesebuah keluarga banyak bergantung kepada bapa. Sebagai nakhoda kepada bahtera keluarga, ia mengemudi bahtera itu dengan bantuan pasangannya dan semua kelasi kapal.
Badai dan ombak yang melanda adalah lumrah bagi mana-mana bahtera. Dengan kekuatan semangat dan ilmu yang mendalam, akan membantu nakhoda dalam mengemudi bahtera.
Sempena Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi, mari kita ambil pengajaran daripada contoh dan suri teladan Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ibrahim a.s. telah memainkan peranan cemerlang sebagai seorang bapa. Nabi Ismail a.s. yang telah dididik dan ditarbiah oleh ibu dan ayahnya telah membesar sebagai seorang anak yang terpuji yang setia melaksanakan perintah Allah SWT.
Nabi Ibrahim a.s. dengan tabah melaksanakan perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya. Meskipun anaknya telah digantikan dengan seekor kibas, hakikatnya ketika pisaunya telah berada pada leher Ismail a.s., ia bersungguh-sungguh hendak menyembelih anaknya.
Demikianlah kesetiaan dan kesungguhan Ibrahim a.s. dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Sebagai bapa, kita berpeluang mencorakkan keluarga kita. Meskipun ibu, tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia, bapa yang mencari rezeki turut menguatkan tangan yang menghayun buaian itu.
Di sisi ibu yang berjaya, pasti terdapat seorang ayah yang penyayang dan yang membimbing.
Kasih sayang yang disemai oleh bapa dalam keluarga akan mencorakkan suasana dan persekitaran rumah tangga.
Suasana yang disemai oleh seorang bapa memberi impak yang besar kepada perkembangan dan pertumbuhan sesebuah keluarga.
Oleh itu wahai para bapa, ayah, abah, abi dan walid sekalian!
Marilah kita membina rumah tangga kita dengan penuh kasih sayang, daripada hati yang ikhlas dan murni.
Kita berpeluang mencorakkan rumah tangga kita dengan suasana kasih sayang dan kemesraan.
Beruntunglah menjadi seorang bapa!
Nahar Md Nor
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia