Perutusan Hari Bapa 2022: Kasih Bapa Pelindung Keluarga

Perutusan Hari Bapa 2022: Kasih Bapa Pelindung Keluarga | IKRAM

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama-sama rakyat Malaysia menyambut Hari Bapa 2022 dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah SWT.

Seorang bapa adalah paksi dan tiang seri sebuah keluarga. Kekuatan dan kesejahteraan keluarga banyak bergantung kepada peranan dan pengorbanan beliau.

Bapa juga disebut dengan pelbagai panggilan mesra yang mempunyai sifat-sifat kepemimpinan, bersemangat dalam urusan, bertahan dengan tekanan, berfikiran jauh, jiwa dan rohani yang sejahtera.

Inilah antara sifat seorang bapa ‘rijal’, iaitu bapa yang bertanggungjawab pada dirinya, keluarganya, komunitinya dan negaranya. 

Seorang bapa yang memahami dan melaksanakan tanggungjawabnya menjadi salah satu kunci dalam melahirkan keluarga yang utuh dan bahagia. Keluarga utuh pula adalah impian setiap pasangan yang berumah tangga.

Ini kerana, keluarga yang utuh mampu bertahan tatkala diuji dengan ombak badai yang bergelora; mampu berdiri teguh kendatipun dilanda ribut taufan yang mengganas.

Keluarga yang utuh akan terus bertahan dalam menghadapi apa jua cabaran dan akan saling bekerjasama dalam menghadapi setiap rintangan yang mendatang.

Hakikatnya, dalam dunia yang serba mencabar pada hari ini, bukan mudah untuk merealisasikan sebuah institusi keluarga yang utuh.

Ia memerlukan ilmu dan kekuatan yang berterusan untuk menjadikan keluarga impian sebagai sesuatu yang realiti. Ia juga memerlukan kecekalan dan kesabaran. 

Bahkan, ia memerlukan kebersamaan dalam menunaikan hak dan tanggungjawab bersama pasangan agar benih kesejahteraan yang disemai akan tumbuh subur menjadi sebuah institusi utuh yang teguh tanpa goyah.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang bapa mithali dan baginda pernah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Seseorang boleh berpura-pura di khalayak, namun warna sebenar dirinya terjelma ketika bersama keluarganya.

Seseorang bapa boleh dilihat sebagai seorang yang penyayang, pemurah dan amat prihatin ketika di khalayak. Bagaimanapun, si bapa yang sama boleh boleh menjadi seorang yang pemarah, kedekut dan amat tidak bertimbang rasa.

Hadis ini memberi gambaran bahawa seseorang bapa yang baik itu menjadi dirinya walau di mana pun dia berada.

Seorang bapa yang baik akan memberikan tumpuan dan sepenuh kasih sayang kepada ahli keluarganya agar kesejahteraan hidup keluarganya terpelihara. 

Tema Hari Bapa tahun ini iaitu ‘KASIH BAPA PELINDUNG KELUARGA’ mengingatkan kita Surah An-Nisa’ ayat 34 di mana kita diberitahu bahawa kaum lelaki adalah pemimpin dan pelindung kepada isteri dan anak-anaknya kerana Tuhan telah memberi kelebihan kepada mereka untuk menjadi suami dan bapa yang berjaya. 

Melalui ayat yang sama kita juga diberitahu bahawa orang-orang lelaki bertanggungjawab menafkahkan sebahagian daripada hartanya buat isteri dan keluarga.

Peranan seorang bapa dalam pembangunan anak-anak juga amat ketara sekali. Beliau bukan sahaja berusaha memenuhi keperluan anak-anak, tetapi menjamin modal insan yang baik yang lahir daripada sumbangan anak-anaknya pula. 

Untuk merealisasikan peranan ini, para bapa mestilah mampu menangani tekanan atau stres dan segera, bangkit daripada apa sahaja dugaan dan kesukaran yang dihadapi.

Tekanan dan cabaran yang dibiarkan boleh menggugat kesejahteraan diri bapa itu sendiri dan hubungan mesra beliau dengan ahli keluarganya. Setiap insan pastinya mengharapkan kesejahteraan keluarganya.

Sebagai ikutan yang unggul, Rasulullah SAW mengajar kita semua bahawa untuk menjadi seorang bapa yang berjaya, seseorang itu mestilah mengamalkan akhlak yang baik.

Ini dapat dilihat dalam cara hubungannya dengan isteri dan anak-anak. Kehebatan peribadi baginda dihiasi dengan akhlak yang mulia. Pancaran peribadi baginda ini turut dirasai oleh para sahabat dan insan yang lain. 

Baginda tidak merasa kekok untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti mencuci dan menjahit. Sebagai bapa, baginda amat menyayangi kanak-kanak dan sama-sama mengasuh anak-anak dan cucu-cucu baginda.

Baginda sentiasa mencium anaknya Fatimah r.a.h. apabila berjumpa walaupun kedua-duanya sudah meningkat usia.

Kisah baginda mencium cucu-cucunya Hasan r.a. dan Husain r.a. menjadi inspirasi dan suri teladan bagi bapa-bapa muda. Semua yang dilakukannya itu tidak sedikit pun mengurangkan nilai ‘kelelakiannya’, malah menjadikan baginda seorang lelaki budiman, disenangi keluarga dan masyarakat, dan menjadi pemerintah yang berjaya.

Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui Kumpulan Fokus Keluarga Utuh, berusaha untuk memartabatkan peranan lelaki dalam pembangunan keluarga. 

Sempena Hari Bapa 2022 ini, kami menyarankan agar semua bapa memainkan peranan memimpin keluarga dengan membina suasana yang kondusif untuk anak-anak membesar dan keluarga berkembang.

Bagi para ibu dan anak-anak, marilah sama-sama kita berusaha memperkasakan kaum bapa dan memberi ruang kepada mereka untuk memainkan peranan sebagai ‘qawwam’ yakni pemimpin dan pelindung yang berjaya (Surah An-Nisaa’ ayat 34).

Marilah kita terus membina keluarga dengan benih kasih sayang agar ia tumbuh mekar harum mewangi. Kita sama-sama menjadi ejen kepada pembinaan keluarga yang sejahtera bermula dengan keluarga kita sendiri. Marilah juga kita terus belajar untuk melengkapkan diri untuk menjadi bapa mithali.

Selamat Hari Bapa 2022

Hj Badlishah Sham Baharin 
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) 

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia