Hari An-Nakbah ke-65: Perutusan Aqsa Syarif

Adalah amat mendukacitakan apabila tragedi kemanusiaan yang dahsyat ini berlaku pada tahun yang sama di mana Deklarasi Hak Asasi Manusia disepakati dan menjadi sebahagian dari Piagam PBB. Sebaik sahaja Deklarasi ini diluluskan, bangsa Palestin menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang pertama! Deklarasi hanya tinggal di atas kertas dan setelah 65 tahun pencabulan ke atas hak asasi rakyat Palestin masih berterusan.

15 Mei 2013 ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 65. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengisytiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).

Hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari  keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata Yahudi Zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini setelah 65 tahun peristiwa ini berlaku, dianggarkan 6 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. Ini bererti mereka telah menunggu selama 65 tahun untuk pulang ke Palestin. Jika Nelson Mandela diraikan sebagai pahlawan kemanusiaan terulung kerana sanggup dipenjarakan selama 30 tahun demi membebaskan bangsa kulit hitam Afrika Selatan dari sistem Apartheid, maka rakyat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian sejak 65 tahun lalu lebih wajar dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Walau bagaimanapun ulang tahun Nakbah pada tahun ini memberikan harapan baru kepada rakyat Palestin. Ini adalah kerana pandangan umum masyarakat antarabangsa terhadap Israel sudah berubah. Jika sebelum ini rata-rata masyarakat antarabangsa mempertahankan apa juga tindakan biadab Israel termasuk melakukan serangan dan membunuh rakyat Palestin, kini Israel berhadapan dengan cemuhan dan bantahan rakyat awam dan pemimpin dunia.

Bahkan senario pasca Israel mula dibahas oleh penganalisis konflik Palestin-Israel atas unjuran entiti Israel bakal lenyap dari lanskap politik Timur Tengah. Jika dahulu rakyat Palestin dilihat sebagai pengganas dan musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di Timur Tengah, kini Israel yang digelar sebagai rogue state atau negara penyangak. Situasi yang digambarkan oleh guru Sejarah Barat terunggul Arnold Toynbee mungkin tidak lagi benar.

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin).”

Dunia kini mula memberi ruang kepada rakyat Palestin untuk menyuarakan hak mereka. Serangan Israel ke atas Gaza November tahun lalu telah membangkitkan kemarahan di seluruh dunia. Serangan biadab ini menambah kebencian kepada rejim Zionis dan meningkatkan solidariti bersama rakyat Palestin setelah episod kepungan yang bermula pada tahun 2007, serangan operasi Cast lead pada penghujung tahun 2008 dan serangan oleh komando Israel ke atas kapal induk Mavi Marmara dalam misi Flotila LL4G (Lifeline for Gaza).

Bezanya operasi Pillars of Cloud yang dilancarkan oleh Israel berakhir dengan kekalahan yang nyata di pihak Israel. Sekiranya serangan yang mereka lancarkan pada tahun 2008/2009 dihentikan selepas 28 hari kerana Israel gagal mencapai objektif serangan, kali ini Israel terpaksa menghentikan serangan setelah merayu kepada pihak berkuasa Palestin di Gaza supaya bersetuju dengan gencatan senjata atas syarat-syarat yang ditetapkan oleh Gaza. Sesungguhnya mereka silap besar di dalam membuat perhitungan.

Mereka menyangka rakyat Palestin tidak akan terbela di saat negara Mesir bergolak dan dunia memberikan tumpuan kepada kemelut yang melanda Syria. Sebaliknya rakyat Palestin lebih bersedia kali ini dengan kemampuan untuk menyerang balas dengan lebih berkesan. Buat pertama kalinya, roket M-75 sampai ke sasaran yang paling jauh setakat ini. ‘Iron dome’ (sistem pertahanan Israel) tidak mampu untuk melindungi Tel Aviv, ibu Negara Israel sendiri yang terdedah kepada serangan balas Gaza.

Di celah-celah laungan semangat ‘Udrub! Udrub Tel Aviv! (Hancur! Hancur Tel Aviv) delegasi Israel terpaksa merayu kepada Presiden Morsi untuk menjadi broker sehingga gencatan senjata dipersetujui oleh kedua-dua belak pihak. Ketika dunia berbicara dengan bahasa ‘Pillars of Cloud’, rakyat Palestin menterjemahkan al-Quran dari surah al-Fiil (tentera bergajah) dan pertahanan Israel dirobek oleh roket-roket ‘ababil’ yang menghunjam mereka dengan ‘Hijaratus Sijjil’ (batu-batu panas dari neraka).

Hari ini setelah 65 tahun, fajar kemenangan sedang menyinsing dan sinar matahari kemenangan semakin jelas di ufuk timur. Perjuangan rakyat Palestin sejak lebih enam dekad mula menampakkan hasilnya. Dalam penderitaan berbuah pengharapan yang baik untuk kemanusiaan. Sesungguhnya peperangan yang berpanjangan angkara kezaliman Zionis akan berakhir dan keamanan bakal dinikmati oleh semua. Sesungguhnya rakyat Palestin tidak berjuang dengan api dendam, sebaliknya mereka berjuang untuk menegakkan kasih sayang. Dunia harus berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka. Hanya dengan menebus hak rakyat Palestin yang diambil secara zalim dan tidak berperikemanusiaan akan mengembalikan keamanan dan kesejahteraan di bumi suci yang menjadi rebutan dan rampasan itu.

Akhir kata, Aqsa Syarif memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dan mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sumbangan dan sokongan yang tidak berbelah bagi dalam memperjuangkan isu Palestin. Sehingga hari ini, Aqsa Syarif telah menyalurkan RM15 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui 60 projek-projek strategik untuk membantu perjuangan rakyat Palestin.

Sempena ulangtahun Nakbah yang ke-65, Aqsa Syarif akan memperkuat azam untuk ’MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN AL-AQSA”.

Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi Aqsa Syarif
15 Mei 2013

яндекс

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia