SERI KEMBANGAN – Bersempena dengan Hari Antarabangsa Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita pada hari ini, kempen ‘Gangguan Seksual Katakan Tidak!’ telah dilancarkan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai isu ini.
Kempen kesedaran anjuran bersama Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Gerakan Tampil Bersuara ini bermula hari ini, 25 November hingga 31 Disember 2021, yang boleh disaksikan pelancarannya di pautan https://youtu.be/ACGBw5aBnzQ.
Menurut Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh dan Pengarah Gerakan Tampil Bersuara, Nur Najihah Muhaimin, isu gangguan seksual semakin banyak ditimbulkan dalam media massa akhir-akhir ini, yang menggambarkan peningkatan keprihatinan masyarakat terhadap isu tersebut.
“Namun begitu, sebahagian besar daripada ahli masyarakat mungkin kurang jelas dengan maksud gangguan seksual sehingga menganggap buli siber sebagai berbeza daripada gangguan seksual,” kata mereka dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, gangguan seksual adalah sebarang jenis tingkah laku dan komen berbaur seksual atau lucah yang tidak diingini sama ada secara tersurat atau tersirat yang menyebabkan seseorang berasa takut, malu, terancam, terseksa, terhina, direndahkan atau berasa tidak selesa oleh tindakan tersebut.
“Oleh itu, gangguan seksual siber adalah termasuk dalam buli siber.”
Bahkan ujar mereka, ajaran Islam mengeji perbuatan melemparkan kata-kata yang buruk kepada orang lain, apatah lagi perkataan dan perbuatan yang membawa konotasi lucah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran (yang buruk). Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk (fasik) sesudah iman. Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujuraat: 11)
Ujar mereka, kempen ‘Gangguan Seksual Katakan Tidak!’ bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai peruntukan undang-undang dalam isu gangguan seksual.
Di samping itu, kempen ini juga bertujuan memberi kesedaran berkenaan peranan individu, keluarga, masyarakat, institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu gangguan seksual.
Sepanjang kempen ini, pelbagai aktiviti diadakan bagi mencapai tujuan-tujuan tersebut antaranya slot In.Sight TV IKRAM, survei kefahaman masyarakat, sebaran video pendek, pertandingan menulis artikel informatif, hantaran Tiktok @mediawanitaikram, video sokongan selebriti, sesi Clubhouse dan poster sokongan ‘Teal Challenge’.
Semua dijemput untuk mengisi survei kefahaman masyarakat tentang isu gangguan seksual di pautan http://bit.do/surveigangguanseksual dan https://bit.ly/gtb-survey.
“Wanita IKRAM dan Gerakan Tampil Bersuara dengan besar hati menyeru dan mengajak semua lapisan rakyat Malaysia bersatu suara, tampil menyokong dan menjayakan kempen ini.”
Untuk info lanjut dan aktiviti-aktiviti kempen ‘Gangguan Seksual Katakan Tidak!’, sila layari Facebook Wanita IKRAM Malaysia dan Gerakan Tampil Bersuara.