GLC: ‘Ghanimah’ politik yang sukar dilepaskan

Pelantikan pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kalangan ahli parlimen (MP) kerajaan dilihat amat ketara walaupun negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

 

Pelantikan politik ini bukan lagi rahsia, bahkan diuar-uarkan lagi bagi memenuhkan semua kuota jawatan GLC dengan alasan bahawa semua MP kerajaan layak memegangnya. Benarkah begitu?

 

Seorang demi seorang pengerusi GLC dalam kalangan teknokrat dan profesional yang berpengalaman ‘ditendang’ untuk diisi dengan MP kerajaan yang dipilih. Persoalannya, sejauh mana kelayakan MP-MP ini memegang jawatan dalam GLC?

 

Isu ini menjadi hangat semula apabila seorang MP yang menjadi pengerusi sebuah GLC memberikan kenyataan-kenyataan tidak matang mengenai kemalangan tren LRT dalam satu sidang media. Walaupun sudah ditamatkan khidmatnya, kelayakan beliau memegang jawatan yang penting dalam GLC itu diragui.

 

Nama-nama MP dan GLC yang dipegang amat banyak, boleh dicari dan disenaraikan satu persatu dan penulis tidak berminat untuk muatkannya dalam artikel ringkas ini. Ini tidak termasuk lagi ahli-ahli politik bukan MP yang dilantik dalam GLC yang mungkin mencecah ratusan orang.

 

Anggaran mudah, jika ditolak semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik seramai 70 orang, sekurang-kurangnya 30 hingga 40 MP yang telah dan sedang mengisi jawatan-jawatan dalam GLC.

 

Penulis agak terbuka untuk menerima pandangan bahawa ada sebahagian MP yang dilantik layak memegang GLC berdasarkan pengalaman profesyennya sebelum menjadi MP dan kompetensinya untuk memajukan lagi GLC itu.

 

Namun penulis berpandangan, sebahagian besar MP bahkan ahli-ahli politik yang dilantik tidak layak memegang jawatan GLC kerana mereka langsung tiada pengalaman dan kompetensi untuk memajukan lagi syarikat.

 

Mereka yang dilantik hanya kerana ada kedudukan dalam politik, bukan kerana sebab lain. Perlu diingat, memimpin GLC bukan seperti memimpin parti politik.

 

Parti membina pengaruh, GLC menjana keuntungan. Parti mengukuhkan kedudukan, GLC mengukuhkan pengurusan. Dengan pelantikan politik yang ketara dalam GLC, dibimbangi GLC menjadi alat untuk melebarkan pengaruh dan mengukuhkan kedudukan masing-masing. 

 

Contohnya, projek sebuah GLC didahulukan dan dibangunkan di kawasan MP itu kerana beliau sebagai pengerusinya. Atau, sebuah syarikat menang tender sebuah projek GLC kerana bos syarikat itu milik kroni MP yang memegang GLC itu.

 

Penulis juga bimbang dengan masa depan GLC jika dipimpin oleh mereka yang tidak layak dalam kalangan MP dan ahli-ahli politik.

 

Trend lantikan politik dalam GLC dilihat lebih kepada habuan atau ‘ghanimah’ politik untuk mengukuhkan kuasa, bukan kerana kelayakannya. Kita wajar mengambil pengajaran daripada sebuah hadis yang bermaksud:

 

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.” Ia bertanya, “Bagaimana orang tidak memegang teguh amanah itu, ya Rasulullah?” Beliau menjawab: “Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Oleh yang demikian, beberapa perkara seharusnya diaplikasikan bagi menambah baik proses pelantikan dalam GLC seperti yang disarankan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin.

 

Pertama, beliau menyarankan agar wujudnya mekanisme pemilihan yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu, sebagai contoh Jawatankuasa Pilihan Khas (Parliamentary Select Committee).

 

“Badan, panel atau lembaga ini hendaklah dianggotai oleh ahli yang berpengalaman luas dan daripada pelbagai latar belakang yang relevan, sama ada daripada sektor awam ataupun sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.

 

Kedua, kriteria yang jelas dan spesifik perlu dibangunkan berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan. Kriteria-kriteria pemilihan mestilah menekankan calon yang kompeten yang mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian dan kemahiran serta integriti.

 

“Dengan kata lain, calon yang dipilih mestilah job-fit dan strategy-fit bersesuaian dengan keperluan jawatan yang dicalonkan,” katanya.

 

Dengan kedua-dua saranan ini, diharapkan agar calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan bagi memimpin dan memajukan GLC sekali gus menyumbang kepada masa depan negara yang lebih baik.

 

[Minda Editor]

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia