Gharar Jual Beli: Isu Ketidaktentuan dalam Transaksi Muamalat

Perkembangan industri halal di Malaysia dilihat signifikan dengan integrasi kewangan Islam dan telah menatijahkan ekosistem yang mampu mengangkat Malaysia sebagai juara dalam kedua-dua bidang tersebut.

Penawaran produk dan perkhidmatan dalam bidang tersebut seiring dengan prinsip yang mendasari perkhidmatan tersebut iaitu elemen ketelusan, keadilan dan tanggungjawab sosial. Elemen-elemen tersebut telah menarik minat pelabur yang menginginkan ekosistem pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab.

Justeru, bagi memastikan ekosistem tersebut lestari dan berdaya saing, terdapat keutamaan untuk membahaskan isu yang boleh membataskan kelestarian industri tersebut, iaitu gharar (ketidaktentuan).

Artikel sebelum ini telah membahaskan tentang isu riba dan perdebatan isu ketidakpatuhan syariah seperti gharar turut boleh menyumbang kepada ketidakadilan kepada pihak yang terlibat.

Kenali Gharar

Gharar (الغرر)  dalam istilah fiqh membawa maksud urusan muamalat yang tidak jelas implikasinya. Pihak yang melakukan transaksi berkemungkinan tidak mengetahui dengan jelas apa yang akan diperolehnya atau kewujudan item dalam urusan tersebut. Gharar boleh wujud dalam dua bentuk seperti yang dibahagikan oleh para sarjana Islam, iaitu:

1. Gharar yang wujud dalam barang yang dijual dan tidak dapat dijamin, seperti menjual sesuatu yang belum ada atau belum boleh diserahkan. Contoh klasik yang biasa digunakan adalah penjualan anak unta yang masih dalam kandungan (jual beli habl al-hablah)  dan berlaku sewaktu zaman Arab Jahiliah.

2. Gharar disebabkan oleh ketidakjelasan sifat atau spesifikasi barang dijual. Contohnya, seorang penjual yang tidak memberikan maklumat lengkap tentang barangan jualannya sama ada produk fizikal, perkhidmatan atau sebaliknya. Antara contoh lain dalam konteks semasa ialah produk skim piramid (ponzi/multi level marketing) dan produk insurans konvensional.

Pandangan al-Quran dan Sunnah

Walaupun al-Quran tidak menyebut secara spesifik perkataan “gharar”, prinsip-prinsip yang terkandung dalam ayat-ayat berkaitan transaksi kewangan jelas menunjukkan larangan terhadap unsur ketidakadilan dan ketidaktentuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.”

Ayat ini melarang pengambilan harta orang lain secara tidak adil, termasuk dalam urus niaga yang mengandungi elemen ketidaktentuan atau penipuan. Selain itu, dalam Surah Al-Mutaffifin ayat 1-3, Allah SWT telah memberikan amaran keras kepada golongan yang mengurangkan timbangan dan tidak berlaku adil dalam jual beli dan terbukti wujudnya gharar yang jelas. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya.” (Al-Mutaffifin, 83:1-3)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW melarang penjualan barang yang mengandungi gharar sepertimana yang disebutkan;

“Rasulullah SAW melarang jual beli yang mengandungi gharar.” (Riwayat Muslim)

Jelas diingatkan oleh Rasulullah SAW tentang larangan berurusan dengan gharar sepertimana urus niaga yang melibatkan kontrak jual beli yang tidak jelas dalam konteks jual beli anak unta dalam kandungan.

Cerminan larangan tersebut disebabkan oleh prinsip yang menunjangi urus niaga yang bersandarkan kepada prinsip keadilan dan gharar boleh menyebabkan pertikaian dan ketidakadilan kepada pihak-pihak yang terlibat.

Pandangan ulama silam & kontemporari

Ulama silam seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal bersepakat bahawa gharar adalah haram dalam transaksi kewangan.

Imam Nawawi menegaskan bahawa gharar adalah salah satu prinsip yang diharamkan dalam jual beli kerana ia mengandungi unsur ketidakjelasan yang boleh membawa kepada ketidakadilan.

Imam Bukhari pula memasukkan bab khas tentang larangan jual beli gharar dalam Sahih Bukhari, termasuk jual beli yang bersifat spekulatif seperti habl al-hablah yang menyerupai skim cepat kaya moden.

Dalam konteks kewangan moden, ulama kontemporari seperti Dr Wahbah al-Zuhayli dan Sheikh Taqi Usmani turut membincangkan isu gharar, khususnya dalam bentuk pelaburan dan jual beli digital.

Jika seseorang membeli sebuah rumah tanpa mengetahui keadaan sebenar rumah tersebut seperti kerosakan yang tersembunyi atau spesifikasi yang tidak diperincikan, jelas menunjukkan kewujudan gharar.

Dalam kes ini, undang-undang syariah menuntut agar penjual memberi maklumat yang lengkap tentang barang yang dijual agar tiada elemen ketidakpastian yang boleh membawa kepada penipuan.

Bagi jual beli secara dalam talian (online), ada risiko gharar apabila pelanggan tidak dapat melihat produk secara fizikal sebelum membuat pembelian. Walaupun transaksi dalam talian tidak semestinya haram, gharar boleh wujud jika maklumat produk tidak jelas atau pembeli tidak diberi jaminan yang cukup mengenai produk yang dijual.

Untuk mengatasi gharar dalam jual beli online, ulama kontemporari mencadangkan beberapa langkah seperti memastikan penjual mempunyai rekod prestasi yang baik, laman web yang cekap serta testimoni pelanggan. Jika semua maklumat disediakan dengan jelas, maka unsur gharar dapat diminimumkan.

Dalam pelaburan pula, gharar boleh dielakkan dengan memastikan syarikat pelaburan menyediakan prospektus yang lengkap, laporan tahunan yang diaudit dan penasihat syariah yang diperakui.

Penyelesaian dalam kewangan Islam

Kewangan Islam menyediakan pelbagai alternatif untuk menghindari gharar dalam transaksi. Sebagai contoh, kontrak jual beli biasa (bay’) memerlukan semua maklumat tentang barang, harga dan syarat disampaikan dengan jelas sebelum urus niaga berlaku.

Dalam kontrak mudarabah atau musharakah, risiko dan keuntungan dikongsi secara adil dan tiada unsur ketidakpastian mengenai peranan setiap pihak.

Selain itu, kontrak salam dan istisna’ membenarkan jual beli masa depan dengan syarat bahawa maklumat produk, harga dan tarikh penghantaran adalah jelas dan ditetapkan lebih awal untuk mengelakkan sebarang unsur gharar.

Justeru, secara keseluruhannya, gharar dalam kewangan adalah satu cabaran besar dalam dunia moden yang semakin kompleks. Islam menekankan kepentingan keadilan, ketelusan dan kejelasan dalam setiap urus niaga.

Melalui panduan daripada al-Quran, Sunnah dan pandangan ulama, umat Islam dapat mengelakkan unsur ketidakpastian ini dan mengamalkan prinsip-prinsip kewangan yang lebih adil dan beretika.

Dengan pengurusan yang betul, konsep kewangan Islam mampu menawarkan penyelesaian yang selamat dan berlandaskan syariah dalam urus niaga harian seterusnya mengangkat industri halal ke persada dunia.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia