Penyempurnaan Ibadah Korban Melalui Kontrak Muamalat

Bulan Zulhijah merupakan antara bulan Islam yang mempunyai pelbagai bentuk kebaikan yang boleh diraih melalui amalan utama seperti menunaikan ibadah haji dan menyambut Hari Raya Aidiladha serta amalan-amalan sunat seperti berpuasa, bersedekah dan menjalankan ibadah korban.

10 Zulhijah merupakan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban turut dilaksanakan pada hari tersebut dan diteruskan selama tiga hari berikutnya iaitu, 11, 12 dan 13 Zulhijah (hari tasyrik).

Umat Islam di Malaysia seperti kebiasaan tidak akan meninggalkan aktiviti korban yang menjadi salah satu ibadah sunah yang utama seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari-hari Nahar yang paling disukai oleh Allah SWT selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang korban) kerana ia (binatang korban) akan datang pada hari kiamat dengan tanduk manakala kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi atas ibadah korban tuannya). Dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah SWT di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi. Oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik untuk dikorbankan.” (Riwayat at-Tirmizi, 1493, Hasan)

Melihat kepada keutamaan ibadah ini, individu yang terlibat melaksanakan ibadah korban tentu mahu memastikan semua perjalanan ibadah tersebut selari dengan tuntutan syarak agar berjaya meraih kebaikan dan kemuliaan yang telah dijanjikan Allah SWT.

Justeru, penulisan kali ini akan menumpukan kepada transaksi muamalat yang terlibat yang menjadi sebahagian daripada kesempurnaan ibadah korban ini.

Kontrak muamalat dalam ibadah korban

Sudah menjadi kebiasaan dalam ibadah korban untuk mewakilkan pihak-pihak tertentu seperti masjid atau individu untuk tujuan pembelian dan penyembelihan binatang korban.

Dalam konteks muamalat, urusan mewakilkan kepada pihak tertentu tertakluk kepada kontrak wakalah. Menurut Sayyid Sabiq, wakalah merupakan pemberian kekuasaan oleh seseorang kepada orang lain dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.

Keharusan hukum dalam transaksi wakalah adalah berdasarkan sumber-sumber berautoriti seperti al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama. Firman Allah SWT daripada Surah al-Kahfi ayat 19 yang bermaksud:

“Maka suruhlah salah seorang antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini.”

Bahkan, Imam asy-Syaukani telah membuat komentar terhadap hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud berkaitan kebenaran Rasulullah SAW untuk mewakilkan urusan zakat sama ada untuk tujuan kutipan mahupun serahan kepada yang berhak.

Bagi menyempurnakan transaksi wakalah, ia tertakluk kepada empat rukun iaitu muwakkil (orang yang berwakil), wakil (orang yang dijadikan wakil), muwakkil fih (sesuatu yang diwakilkan), dan sighah (ijab dan qabul).

Antara sifat kontrak wakalah ialah tidak mengikat (bukan lazim) yang memberi implikasi seperti pembatalan tanpa persetujuan kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, jika kontrak wakalah tersebut mempunyai upah, maka pembatalan kontrak hanya berlaku jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

Selain kontrak wakalah, kontrak bai’ as-salam (jual beli bertangguh) juga digunakan. Menurut Mustafa al-Bugha dan Ali asy-Syarbaji, bai’ as-salam merujuk kepada jualan sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan lafaz as-salam atau as-salaf.

Jual beli jenis ini dilakukan apabila berlaku tempahan, iaitu pembeli menempah barang dan melunaskan harganya. Bagi sisi penjual, mereka akan menerima bayaran dan barangan yang ditempah akan diserahkan kepada pembeli dalam suatu tempoh tertentu.

Keharusan jual beli as-salam bersandarkan kepada situasi yang dilihat oleh Rasulullah SAW sewaktu tiba di Madinah dengan penduduk Madinah mengamalkan tempahan terhadap buah untuk tempoh setahun, dua tahun dan tiga tahun. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menjual beli sesuatu (secara) salaf (salam), hendaklah dia lakukan jual beli salaf (salam) dengan sukatan yang termaklum dan timbangan yang termaklum bagi tempoh yang juga termaklum.” (Riwayat al-Bukhari, 2240 dan Muslim, 1604).

Bagi memastikan perjalanan transaksi berasaskan kepada bai’ as-salam berlangsung berasaskan syarak, enam syarat perlu dipenuhi iaitu:

  1. Jenis barang yang diketahui
  2. Barang yang diketahui sifatnya
  3. Diketahui jumlah
  4. Tempoh penyerahan yang ditentukan
  5. Kadar nilai harga diketahui
  6. Tempat penyerahan yang dimaklumi jika barangan tempah memerlukan perbelanjaan.

Isu dalam akad

Seputar kontrak wakalah dalam ibadah korban, isu-isu seperti akad merupakan satu perhatian yang mesti diambil kira. Sekiranya kontrak antara penganjur dan peserta korban adalah umum, maka harga pembelian bagi setiap bahagian mesti dijelaskan secara terang-terangan.

Sebarang wang lebihan daripada korban haram diambil oleh pengendali kerana kontrak wakalah yang umum dimeterai. Sebaliknya jika kontrak wakalah yang dimuktamadkan adalah khusus, iaitu melibatkan upah, maka peserta turut perlu mengetahui kadar upah yang dikenakan.

Hal ini demikian kerana sebarang keraguan mahupun ketidaktentuan dalam kontrak boleh menyebabkan pembatalan kontrak.

Jika pihak pengurusan menghadapi masalah menentukan harga binatang korban secara tepat sebelum pembelian dimuktamadkan, pihak yang berwakil perlu menetapkan harga upah yang berdasarkan kos pengurusan yang dapat dijangkakan.

Pihak pengendali juga perlu meminta izin dengan peserta sewaktu berakad untuk menyalurkan lebihan harga binatang kerana perbezaan harga di pasaran kepada tabung masjid dan dimasukkan lafaz kontrak dengan jelas.

Situasi sama dalam kontrak bai’ as-salam perlu diperincikan dalam kontrak julat berat binatang, tempat penghantaran, wakil pelanggan dan alternatif jika berlaku isu penyediaan dan penyampaian binatang korban.

Penyerahan dan pembayaran binatang korban

Sebarang urusan penyerahan binatang kepada wakil sama ada niat korban (wajib atau sunat), sembelihan, memotong daging atau penyerahan kepada pihak ketiga perlulah dinyatakan dengan jelas.

Hal ini bagi memaknai “roh” kontrak wakalah agar tidak timbul isu gharar sehingga menyebabkan makan harta secara batil. Hal yang sama turut terpakai kepada keadaan peserta mewakilkan pihak yang diwakil bayaran wang yang sama nilai dengan sebahagian atau seekor binatang korban untuk diuruskan semua urusan.

Oleh itu, pihak yang diwakilkan perlu mendapatkan binatang korban yang terbaik, memenuhi syarat sah binatang korban dan tidak menyebabkan ghubn (kerugian) kerana penipuan.

Pada masa kini, bayaran dan lafaz kontrak wakalah boleh dilakukan secara dalam talian melalui perkhidmatan perbankan atas talian dan disahkan melalui e-mel, WhatsApp, Facebook dan perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Justeru, pematuhan terhadap transaksi muamalat seperti kontrak wakalah dan bai’ as-salam dalam urusan ibadah korban penting bagi memastikan pengoperasian ibadah korban berlaku selari dengan tuntutan syarak.

Hal ini selaras dengan tuntutan fiqh dalam ibadah korban seperti spesifikasi binatang korban, kaedah penyembelihan dan pengagihan binatang korban kepada kumpulan masyarakat seperti yang telah ditetapkan dalam syarak.

Dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, umat Islam dapat melaksanakan ibadah korban dengan tenang dan yakin bahawa pengorbanan mereka diterima Allah SWT.

Oleh itu, penting bagi umat Islam untuk memahami dan menggunakan kontrak muamalat ini dalam memastikan pelaksanaan ibadah korban yang sah dan diterima.

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia