Ramai membayangkan akan berlaku kesuraman ekonomi pada tahun 2023 secara global. Ekonomi dunia dijangka akan mengalami kelembapan yang turut sama mempengaruhi keadaan di Malaysia dan negara serantau.
Persoalannya, apakah nasib rakyat dengan perkembangan ini? Ramai yang gusar dengan kos sara hidup yang semakin menekan, inflasi yang menaik tinggi dan kesulitan untuk mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan yang diperolehi.
Tambahan pula, kenaikan beberapa siri Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut menambah impak ke atas situasi kewangan rakyat yang mempunyai komitmen pembiayaan kepada pihak bank.
Adakah wang yang ada dalam poket rakyat mencukupi? Adakah kewangan negara pula mampu menanggung keperluan rakyat yang semakin mendesak?
Sokong atau Tentang?
Isu gaji minimum mendapat perhatian hangat daripada golongan pekerja dan majikan termasuk para pemegang taruh seperti kesatuan sekerja, persatuan majikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Kumpulan pekerja terutamanya pekerja berpendapatan rendah menyambut baik usaha kerajaan ini dalam situasi kos sara hidup yang semakin mendesak.
Namun, pihak majikan rata-rata memberikan penentangan dan melahirkan kegusaran kerana langkah ini akan melibatkan peningkatan kos operasi dan sesetengah perniagaan masih melalui situasi pemulihan pasca-Covid-19.
Realiti Nilai Produktiviti
Tahukah kita bahawa kadar upah pekerja di Malaysia adalah masih rendah berbanding negara-negara lain berdasarkan nilai produktiviti kerja yang sama?
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 menyebut, analisis nisbah upah kepada produktiviti menunjukkan pekerja Malaysia masih dibayar upah yang lebih rendah berbanding dengan pekerja di negara penanda aras (Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jerman, Singapura) meskipun telah mengambil kira faktor tahap produktiviti yang berbeza antara negara.
Misalnya, jika seseorang pekerja Malaysia menghasilkan output bernilai USD1,000, pekerja tersebut akan dibayar sebanyak USD340.
Namun, upah yang diterima di negara penanda aras bagi penghasilan keluaran yang sama yang bernilai USD1,000 adalah lebih tinggi pada nilai USD510. Berdasarkan data dan fakta, realitinya upah semasa di Malaysia tidak sejajar dengan tahap produktiviti yang dihasilkan.
Implikasi Gaji Minimum
Perintah gaji minimum bukan perkara baharu, malah ia telah disemak sebanyak tiga kali dengan kenaikan juga sebanyak tiga kali dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11. Ini selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 yang menetapkan keperluan mengkaji gaji minimum setiap dua tahun.
Pada tahun lepas, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu iaitu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara bagi majikan yang mengupah seramai lima pekerja atau lebih.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaannya pada 1 Januari 2023 ditangguhkan hingga 1 Julai 2023 bagi memberikan ruang tempoh persediaan bagi majikan melaksanakan perintah ini.
Menyoroti realiti semasa, benarkah sektor perusahaan secara keseluruhan akan sangat terjejas dengan kenaikan gaji? Perintah upah minimum mendapat penentangan kuat daripada pihak majikan yang rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan ini.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr Mohd Yusof Saari dalam temu bual bersama Astro Awani berkata, situasi ini berlaku barangkali kerana naratif yang dibawa tidak memberikan gambaran yang baik kepada pihak majikan yang mana kenaikan gaji seharusnya dapat memberikan keuntungan kepada mereka dalam rantaian ekonomi ini.
Ujarnya, ekonomi telah memberikan jawapan yang jelas kepada teori kenaikan gaji. Kenaikan gaji akan memberikan peluang kepada rakyat untuk berbelanja lebih. Apabila pengguna berbelanja lebih, syarikat akan berupaya meningkatkan produktiviti, maka pendapatan syarikat akan meningkat selaras dengan peningkatan keuntungan.
Formula Pelaksanaan
Kerajaan harus mendapatkan formula terbaik untuk memastikan pelaksanaan perintah gaji minimum agar ia dilaksanakan secara holistik tanpa ada yang tercicir daripada sasaran.
Keempat-empat objektif harus dipastikan tercapai iaitu memastikan keperluan asas pekerja serta keluarga dipenuhi, perlindungan sosial mencukupi, berlaku peningkatan rantaian pengeluaran dan kebergantungan negara kepada pekerja asing dikurangkan.
Pihak majikan harus diyakinkan bahawa mereka turut berada dalam situasi ‘menang-menang’ dalam pelaksanaan perintah ini agar mereka turut sama dapat menjadi penyokong dan pendukung kepada langkah kerajaan.
Ini dapat dilakukan dengan membina keupayaan industri kecil dan sederhana (IKS) supaya mereka turut dapat bersaing dengan kompetitif dan meningkatkan daya saing keusahawanan dalam negara.
Syarikat-syarikat besar seperti syarikat multinasional (MNC), sebahagian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta yang besar tidak akan terkesan seberat berpuluh-puluh ribu lagi syarikat kecil lain yang pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung kos dan peluang ekonomi yang agak terhad berbanding syarikat-syarikat besar.
Sekiranya pemain industri dapat bersama-sama mendukung aspirasi kerajaan dalam mencapai objektif perintah gaji minimum, banyak isu dapat diselesaikan termasuk kos sara hidup.
Model Gaji Progresif
Prof. Madya Mohd Yusof Saari dipetik berkata, ketika ini pertumbuhan ekonomi negara sudah semakin baik dan pembaharuan boleh dilaksanakan bermula dengan menyemak semula model pemberian upah gaji minimum kepada model gaji progresif.
Model Gaji Progresif merupakan dasar yang direka untuk menaikkan sekaligus memperkasakan gaji kumpulan berpendapatan rendah melalui peningkatan kemahiran dan penghasilan mereka. Model ini telah mula diamalkan di Singapura sejak tahun 2015.
Model tangga gaji ini menetapkan pendapatan minimum dan tuntutan latihan bagi pekerja di peringkat kemahiran yang berbeza-beza berdasarkan sektor.
Skim ini telah berupaya memotivasikan pekerja untuk terus-menerus meningkatkan kemahiran kerana pencapaian mereka dihargai melalui peningkatan upah berdasarkan prestasi kemahiran yang dicapai dari masa ke masa.
Usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja melalui perintah gaji minimum harus disambut baik, namun pelaksanaannya harus dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh agar semua pihak yang terlibat termasuk para majikan sama-sama mendapat manfaat daripada pelaksanaan ini.
Secara tidak langsung, apabila poket rakyat tebal, kuasa membeli menjadi tinggi, seterusnya ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.