Jururawat Malaysia: Gaji Masih Di Takuk Lama?

Jururawat Malaysia: Gaji Masih Di Takuk Lama? | IKRAM

Jururawat merupakan profesional kesihatan yang terbesar di Malaysia yang memberi khidmat jagarawatan di beberapa insitusi kesihatan di fasiliti kerajaan, swasta mahupun organisasi bukan kerajaan (NGO).

Bidang kejururawatan mempunyai beberapa pengkhususan tertentu seperti kebidanan dan jururawat masyarakat yang memerlukan mereka berkhidmat di klinik-klinik kesihatan (desa atau daerah).

Jururawat Malaysia terlatih (Gred U29 serta Gred U41) dengan kelulusan diploma atau ijazah rata-ratanya berkhidmat di hospital atau klinik pesakit luar.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka mempunyai sijil pengkhususan pos basik (diploma lanjutan), mereka boleh ditempatkan di unit khas seperti unit rawatan rapi, rawatan jantung koronari, pembedahan, jabatan kecemasan atau kawalan infeksi.

Manakala jururawat yang berjawatan Gred U33, 41, 44, 48 atau 52 serta mempunyai pengalaman bekerja lebih daripada lima tahun, mereka berkelayakan untuk diserap masuk ke peringkat pengurusan.

Gaji Di Takuk Lama

Namun begitu, masih ramai jururawat di luar sana yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda mahupun Ijazah Sarjana (Master) tetapi mereka masih di takuk lama dengan gred U29 atau U41.

Semoga mandat yang diusul Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin sempena majlis Sambutan Hari Jururawat 2022 dengan tema ‘Nurses A Voice to Lead: Nursing the World to Health’ untuk memperjuangkan nasib jururawat berijazah serta ketandusan jururawat di Malaysia bakal didengari dan diteliti oleh tampuk kepimpinan negara.

Seperti kita sedia maklum, gaji jururawat yang bekerja di luar negara khususnya Timur Tengah adalah sangat tinggi sekitar RM8,000 hingga RM15,000 sebulan bagi kelulusan diploma dan ijazah. 

Manakala kelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), bayaran yang ditawarkan mencecah RM20,000 hingga 50,000 sebulan.

Menurut Alumni Kulliyyah Kejururawatan UIAM, Hairil Fahmi Md Yusof yang telah berkhidmat selama enam tahun di Singapura menyatakan, seorang jururawat senior dibayar antara SD3,000 hingga SD6,000 sebulan (RM9,570 hingga RM15,951 sebulan).  

Maka, Malaysia berdepan krisis ketandusan jururawat berpengalaman terutamanya di Johor kerana mereka memilih negara jiran demi memperbaiki tahap sosioekonomi keluarga.

Nilai Semula Gred Gaji

Oleh itu, penilaian semula gred gaji jururawat berkelulusan ijazah ke atas amat diperlukan agar mereka kekal dalam perjawatan. Kajian lepas membuktikan jururawat berkelulusan Ijazah dengan pengkhususan tertentu mampu memberi jagarawatan berkualiti serta mengurangkan kadar kematian selepas pembedahan dan serangan jantung (1–4).

Bukan mudah untuk melahirkan jururawat yang kompeten kerana secara teorinya tempoh kematangan dan kepakaran mengambil masa lima tahun paling minima. Bayangkan dalam tempoh ini berapa ramai jururawat telah ‘lari’ ke luar negara? 

Maka pihak pengurusan tertinggi perlu ‘melabur’ untuk pembangunan modal insan seperti latihan berterusan, inovasi dan menyerap jururawat pakar dalam bidang penyelidikan.    

Bergerak Seiring Perubahan

Pada masa yang sama, jururawat di Malaysia perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Pada abad-21 ini, amat penting untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan dalam jagarawatan serta bekerjasama dengan pelbagai bidang multidisiplin dalam sebarang inovasi (5).

Kita tidak boleh berada dalam zon selesa untuk menumpukan perhatian terhadap praktis jagarawatan berdasarkan pengalaman atau teori semata-mata tanpa mengambil kira integrasi penyelidikan, inovasi dan teknologi.

Ini kerana, generasi kini sangat celik media serta teknologi dan sebagai jururawat, kita perlu berdaya saing dalam memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan kesihatan termasuklah pesakit di hospital, klien yang mendapatkan perkhidmatan saringan atau kaunseling mahupun masyarakat yang terlibat dalam promosi kesihatan.

Tidak mustahil, pada suatu masa Malaysia bakal memerlukan jururawat dengan kelayakan minima di peringkat ijazah memandangkan pendedahan kepada semua aspek ini diaplikasikan dalam kurikulum di peringkat ijazah dan ke atas. 

Kerjasama Semua

Kesimpulannya, untuk merealisasikan anjakan paradigma ini, ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai tampuk kepimpinan kejururawatan sama ada di peringkat akademik, hospital, agensi swasta, agensi bukan kerajaan serta mendapat sokongan daripada tampuk tertinggi di universiti, kolej, hospital seterusnya negara. 

Malaysia perlu bergerak seiring seperti negara-negara maju yang lain dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan modal permulaannya adalah melalui memantapkan aspek pendidikan dalam kalangan jururawat! 

Asst Prof. Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Kulliyyah Kejururawatan 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kesihatan, Kuantan     

 

Rujukan:

  1. McGhie-Anderson RL. Advanced nursing education: Critical factors that influence diploma and associate degree nurses to advance. Nurs Educ Perspect. 2017;38(6):E2–6. 
  2. Harrison JM, Aiken LH, Sloane DM, Carthon JMB, Merchant RM, Berg RA, et al. In hospitals with more nurses who have baccalaureate degrees, better outcomes for patients after cardiac arrest. Health Aff. 2019;38(7):1087–94. 
  3. Siti Noorkhairina, S., Fatin Noraliah, A., Nor Syawanidamia N. Program Book and Conference Abstract of The 11. In: Knowledge, Awareness on Breast Cancer and Practice of Breast Self-Examination among Staff Nurses in Sultan Ahmad Shah Medical Centre ([email protected]), Kuantan, Pahang: Preliminary Findings. Yogyakarta: The 11th Annual ISCC Conference and Congress; 2020. p. 146. 
  4. Siti Noorkhairina, S., Aini Shazwani, B., Fadhlin Farhanah MF. Knowledge, Awareness and Breast Self-Examination Practice Among [email protected] Staff Nurses: Follow Up 6 Months Study. In: The 4th Aceh International Nursing Conference. Banda Aceh, Aceh-Indonesia; 2021. p. 81–2. 
  5. Hauser H. The Current and Future Role of Technology and Innovation Centres in the UK. Lord Mand [Internet]. 2010;8(2):1–37. Available from: https://doi.org/10.1007/s41030-022-00191-y

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia