Program ini bertujuan mendedahkan isu sebenar mengenai pelarian bagi mengelakkan salah faham terhadap isu-isu yang berkaitan dengannya.
Bedah filem yang disampaikan oleh Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor ini merupakan filem yang diadaptasi daripada kisah benar yang diarahkan oleh Salvador Calvo dan ditulis oleh Alejandro Hernández.
Adú mengisahkan seorang anak kecil berusia lima tahun yang bernama Adú (Moustapha Oumarou). Beliau dan kakak perempuannya, Alika atau Ali (Zayyidiya Dissou) ingin meninggalkan Cameroon untuk bertemu ayahnya di Sepanyol setelah ibu mereka dibunuh.
Filem ini menceritakan perjalanan Adú dan Ali ke Sepanyol bermula setelah agensi yang dibayar ayahnya meninggalkan mereka di pertengahan perjalanan dan diarahkan menaiki kapal terbang melalui roda kapal terbang. Lebih memilukan, dia menyaksikan kakaknya meninggal dunia kerana kesejukan.
Sesampainya di darat, Adú bertemu dengan seorang remaja lelaki, Massar (Adam Nourou), yang juga imigran haram. Bersama Massar, Adú mencari tempat perlindungan bagi mereka dan terpaksa mengharungi banyak halangan dan rintangan.
“Bagus filem ini ditayangkan, namun perlu ada naratifnya supaya difahami dan emosi kita dapat dipindahkan bagaimana kita melayani, meladeni pelarian di kalangan kita,” ujar Dr Hafidzi.
Tambahnya, kita perlu bina suatu kecerdasan emosi dalam diri untuk cuba memahami apa yang dilalui masyarakat yang ditindas dan dizalimi.
“Selain itu, kita perlu bina hati nurani ini, supaya semangat dan jiwa kemanusiaan itu timbul, sehingga menjadi umat yang peka, manusia yang tidak mudah menjatuhkan hukum, manusia yang berusaha memberikan bantuan walau dalam keadaan apa sekalipun,” tegas beliau.
Beliau turut memberikan persoalan kepada para peserta yang hadir bagaimana masyarakat selalunya melihat pelarian.
“Pelarian di mata Allah bagaimana? Adakah pelarian di mata kita selari dengan pelarian di mata Allah?”
Filem ini memberi pengalaman secara terus dari perspektif seorang pelarian yang terpaksa mengambil keputusan untuk keluar dari negara sendiri demi kelangsungan hidup serta membebaskan diri daripada berterusan ditindas.
Melalui filem ini, diharapkan agar rakyat Malaysia memahami dan mendalami situasi sebenar pelarian supaya sekurang-sekurangnya dapat berbicara dengan kefahaman seterusnya mencetuskan rasa simpati dan ingin membantu mengeluarkan mereka daripada kemelut yang dihadapi.