Hadiah wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil serta sebuah motosikal tajaan Modenas telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2016 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini malam tadi.
Farah Nabilah menyampaikan ucapan ketika menerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2016
Selain anugerah utama, beliau turut memenangi kategori Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, Biasiswa Tokoh Siswa, trofi dan sijil.
Haji Shahrul Aman Mohd Saari, Naib Presiden IKRAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Farah Nabilah atas penerimaan anugerah tersebut.
“Semoga dengan kemenangan anugerah ini dapat memberi nilai tambah yang baik dalam menggerakkan agenda perubahan dan transformasi negara,” kata beliau yang juga merangkap Pengerusi Majlis Pemuda IKRAM.
Selain menjadi aktivis IKRAM Siswa, Farah Nabilah turut aktif di medan belia sebagai Setiausaha Sekretariat ASEAN Young Leaders Forum (AYLF) Malaysia yang menjadi platform suara anak muda memperjuangkan isu-isu serantau.
Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2016 adalah bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap kejayaan individu dan badan persatuan mahasiswa dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan program.
Program ini juga diharapkan dapat menjadi suntikan motivasi yang positif serta peluang kepada mahasiswa dalam pembangunan bakat untuk menjadi insan yang cemerlang dan holistik selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Sebanyak 15 anugerah mengikut kategori dipertandingkan dengan satu anugerah utama direbut iaitu Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi sekali gus dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan.
Sebelum ini, Muhammad Fikri Ahmad, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIAM dan juga aktivis IKRAM Siswa turut menerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan bagi tahun 2013.