Benarkah Islam tolak falsafah?

Perkataan ‘falsafah Islam’ telah membangkitkan beberapa isu kontroversi sedikit dalam kalangan ilmuwan Islam, khususnya yang berkaitan dengan etimologi kata falsafah itu sendiri. 

 

Malah, persoalan tentang kandungan bidang falsafah itu sendiri turut menjadi polemik dalam kalangan para ilmuwan Islam. Perkataan falsafah juga telah menjadikan sebahagian orang alergik, tidak suka berfalsafah dan beranggapan falsafah tidak lebih sekadar sampah sahaja.

 

Sekiranya kita semak, perkataan falsafah dalam bahasa Arab merupakan kata serapan daripada bahasa Yunani (philosophia) yang membawa maksud ‘cinta akan hikmah atau kebijaksanaan’.

 

Telah menjadi tradisi falsafah Yunani menjadi akar tunjang falsafah Barat yang memancarkan pandangan hidup orang Yunani dalam aspek teologi, kosmologi dan etika yang menurut pandangan Islam meraba-raba dan sentiasa dalam pencarian yang tidak berkesudahan.

 

Kontroversi istilah falsafah dalam kalangan ilmuwan Islam ini adalah kerana ketidakserasian konsep falsafah Yunani yang agak melampaui batas sehingga menyebabkan beberapa kandungannya bertentangan dengan konsep asas-asas akidah Islam dalam beberapa hal.

 

Pertentangan ini menyebabkan timbul sedikit keberatan pada sebahagian para ilmuwan Islam untuk menerima istilah falsafah Islam. 

 

Dalam hal ini, Prof. M. Saeed Sheikh, salah seorang ahli falsafah telah membezakan istilah Falsafah Muslim dan Falsafah Islam. Beliau berpandangan, Falsafah Muslim barangkali tidak bersifat Islam.

 

Sebagai contoh, kita boleh melihat beberapa ahli-ahli falsafah beragama Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rushd, mereka berusaha menyesuaikan falsafah mereka dengan acuan falsafah Barat.

 

Demikianlah citra falsafah yang disebut sebagai falsafah Islam pada awalnya. Sememangnya falsafah ini telah dipengaruhi oleh falsafah Yunani khususnya Platonisme, Neo-Platonisme dan Aristotelisme.

 

Sebahagian para ilmuwan Islam menolak usaha mereka ini yang cuba membawa intipati falsafah Islam bermodelkan daripada falsafah Yunani.

 

Sebahagian para ilmuwan Islam dengan keras dan tegasnya menyatakan falsafah Islam yang berasaskan falsafah Yunani tersebut adalah sesat. Malah ada yang sehingga mengkafirkan aliran tersebut.

 

Antara tokoh yang sangat tegas menolak gagasan falsafah Islam ini ialah Imam al-Ghazali, melalui karyanya Tahafut al-Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) dan al-Munqidz Min al-Dhalal (Pembendung Kesesatan). Kedua-dua karya beliau ini telah menjelaskan tentang kesesatan aliran ahli falsafah.

 

Dalam kitab Tahafut al-Falasifah karya Imam al-Ghazali, beliau telah mengemukakan 20 kesalahan akidah dalam falsafah yang dipegang oleh al-Farabi dan Ibn Sina, serta ahli-ahli falsafah yang lain.

 

Ketegasan sebahagian para ilmuwan Islam yang menolak aliran falsafah Islam ini adalah kerana usaha mereka untuk menjaga kemurnian akidah dan syariat Islam daripada dicemari oleh falsafah Yunani yang banyak kontradiknya dengan ajaran Islam. 

 

Sehingga Prof. M. Saeed Sheikh berpandangan, falsafah yang dibawa oleh al-Farabi, Ibnu Sina dan lain-lain ini tidak kurang hanya layak disebut sebagai falsafah Muslim, bukan falsafah Islam.

 

Oleh itu, dapatlah kita fahami bahawa penolakan falsafah Islam oleh sebahagian para ilmuwan Islam adalah kerana wujudnya pengaruh falsafah Yunani yang akan mencemarkan kesucian dan kemurnian akidah dan syariah Islam.

 

Adapun dakwaan yang menyatakan Islam menolak aliran falsafah kerana melarang umatnya menggunakan akal dalam beragama adalah salah dan tidak tepat. Hal ini kerana tidak ada agama lain yang lebih meninggikan kedudukan akal melainkan agama Islam sahaja.

 

Perkara ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk ayat 10 yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: “Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu), tentu kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.”

 

Allah SWT telah merakamkan penyesalan orang kafir kerana tidak mahu mendengar dan memikirkan peringatan sewaktu di dunia dahulu. Kerana gagal mereka menggunakan akal untuk berfikir baik buruk, maka mereka dihukum oleh Allah Azzawajalla.

 

Demikianlah Allah telah memerintahkan para hamba-Nya untuk menggunakan akal yang waras dalam membuat sesuatu penilaian. Islam menolak sikap taklid buta, hanya mengikut-ikut tanpa ada asas pengetahuan tentangnya. Mesti tahu, faham dan amal berdasarkan apa yang kita tahu dan faham.

 

Dalam penggunaan akal yang waras, ada keterbatasan yang akal tidak dapat menongkahnya. Oleh itu, syariat Allah datang membimbing manusia menuju jalan-Nya yang lurus.

 

Menggunakan akal semata-mata hingga mengetepikan al-Quran dan as-Sunnah juga merupakan suatu sikap melampau, apatah lagi bersikap tidak menggunakan akal, hanya terikut-ikut bertaklid buta, juga Islam melarangnya. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-Nya yang bertakwa dan beramal soleh.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia