1. Salah seorang daripada 529 yang dihukum mati ini berada di luar negara. Beliau tergelak apabila menjawab panggilan daripada Al-Jazeera yang bertanya tentang hukuman gantung yang dikenakan ke atasnya yang mana beliau tidak tangkap, tetapi dibicarakan dan terus dikenakan hukuman gantung.
2. Lima orang daripada 529 yang dijatuhkan hukuman mati sudah berada di Arab Saudi sejak tiga tahun lalu sebelum bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan lagi. Peliknya, mereka sudah berada di luar Mesir tapi disabit kesalahan atas tuduhan membunuh di Mesir.
3. Tiga daripada yang dijatuhkan mati ini telah pun syahid sewaktu Medan Rabi’ah Adawiyah diserang pada 14 Ogos tahun lalu dan dua daripada mereka berumur 17 tahun dan tidak boleh dihukum gantung mengikut undang-undang Mesir.
4. Kertas pertuduhan berjumlah 3,070 helai tetapi hakim tidak lihat langsung. Ini menyebabkan banyak berlaku perkara yang pelik. Apabila peguam bela ingin mengemukakan hujah pembelaan kepada tertuduh keempat, hakim jadi berang dan berkata: “Aku diminta untuk selesaikan kes ini tiga hari sahaja. Kalau macam ini, bila nak selesai?
5. Hanya 20-30% sahaja daripada 529 yang dihukum mati ini adalah ahli Ikhwan Muslimin (IM) sementara yang lain hanyalah orang awam biasa yang menentang rejim kudeta. Pimpinan IM juga tiada di kalangan 529 ini.
6. Selepas Dr Mohamed Mursi dijatuhkan, Hosni Mubarak mempunyai empat kes tetapi semuanya terlepas atas arahan hakim yang baru. Beliau telah dibicarakan selama dua tahun dalam 48 sesi perbicaraan.
7. Selepas Dr Mursi mengumumkan bahawa Mesir tidak akan bergantung pada Barat dari segi keperluan dan kecukupan makanan, membuat senjata sendiri serta keperluan ketenteraan dan ubat-ubatan, ketika itulah bermulanya usaha tali barut Yahudi untuk menjatuhkan beliau.
Ketakutan Barat dan Yahudi semakin meningkat apabila Dr Mursi mengisytiharkan sokongannya kepada pejuang pembebasan Syria yang menentang rejim Bashar Assad dalam satu himpunan besar-besaran di stadium terbesar di Kaherah. Mursi turut mengatakan Bashar perlu menghentikan pembunuhan di Syria dan Hizbullah tidak ada hak dan mesti keluar dari Syria.
8. Pembunuhan di Medan Rabi’ah Adawiyah sahaja mencecah 3,000 orang pada hari kejadian. Masjid dan mayat dibakar di samping puluhan ribu jadi tahanan selain yang cedera parah.
9. Keadaan Dr Mursi sekarang, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Beliau sendiri pun tidak tahu beliau di mana beliau sekarang kerana disembunyikan. Beliau datang perbicaraan menggunakan helikopter serta terus dibicarakan dengan pelbagai tuduhan. Kita doakan keselamatan ke atas beliau dan ahli keluarganya, juga kepada seluruh rakyat Mesir yang ditindas.
10. Ada tiga siri perbicaraan yang dirancang untuk dijatuhkan dihukum bunuh. Siri pertama ke atas 529 orang ini, kerana mereka adalah orang-orang berani supaya orang lain jadi takut untuk menentang. Dua lagi siri seterusnya juga lebih kurang 500 orang yang akan dihukum mati.
11. Lihatlah betapa korup dan rosaknya sistem kehakiman di Mesir. Dari sebawah-bawah pegawai sehingga setinggi-tinggi pegawai yang menjawat jawatan kerajaan, semuanya korup. Mereka ditapis agar tiada seorang pun (malahan moyang dan keturunannya) pernah terlibat dengan IM dan seangkatan dengannya.
12. Situasi masyarakat awam (khususnya pelajar Malaysia di Mesir) agak menyedihkan. Jenayah sangat kerap, keselamatan mereka sangat terancam. Di kalangan mahasiswi Malaysia yang memakai niqab, disarankan tidak memakai niqab ketika keluar agar tidak disalah anggap sebagai orang Arab.
13. Mereka yang dihukum mati seramai 529 orang, yang dalam tahanan seramai 218 orang dan yang dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan hanya 68 orang. Baki tertuduh yang selebihnya itu masih bebas dan tidak dibicarakan ketika perbicaraan dilakukan di Mahkamah el-Meniya. Apabila ditanya ke mana baki tertuduh yang tidak hadir, hakim enggan menyatakan sebabnya.
14. Perbicaraan berlangsung selama 20 minit, iaitu dua sesi selama tiga hari di mana 15 minit (sesi 1) dan 5 minit (sesi 2), kemudian 529 orang ‘banduan’ ini terus dijatuhkan hukuman gantung. Sekarang hukuman ini menunggu sokongan mufti.
Amalan di Mesir memerlukan sokongan mufti untuk semua hukuman bunuh. Sehingga kini mufti belum memberikan jawapan. Jika mufti menyokong hukuman ini, Hakim Saed Yusuf akan adakan sidang khas untuk menjatuhkan hukuman tersebut.
15. Zaman Hosni Mubarak ada 500,000 tentera tetapi seorang pun tidak pernah pergi berperang walaupun berdekatan dengan Israel. Jeneral Abdul Fattah As-Sisi juga tidak pernah pergi berperang.
Beliau juga mempunyai seramai 40,000 polis dan 900,000 Amna Daulah (pasukan keselamatan khas untuk menjaga kepentingan Mubarak). Untuk masuk tentera atau polis, memang tidak boleh (zaman Mubarak) sebab tidak mungkin diterima kerana ada silsilah kecenderungan Islam.
16. Pada 1979, telah dimeterai perjanjian damai Camp David antara Mesir dan Israel. Pada 1982, Mesir dan Israel dapat bantuan kewangan dari Amerika Syarikat (AS); Israel dapat USD3 bilion, Mesir dapat USD2.1 bilion di mana USD815 juta untuk ekonomi dan USD1.3 billion untuk tentera. Sebagai balasan, AS mendapat kebebasan untuk melalui ruang udara ketenteraaan dan laut Mesir dan perlu membeli senjata dari AS. Diberitakan juga bahawa gaji As-Sisi sahaja ialah 3 juta pound Mesir (RM1.5 juta) sebulan.
17. Dr Mursi merupakan orang awam pertama yang memerintah Mesir sejak sistem beraja digulingkan sekitar tahun 1950-an. Bahkan ada yang mengatakan, Mursi adalah orang awam pertama memerintah Mesir sejak zaman Firaun.
18. Semua stesen minyak di Mesir dipegang oleh tentera, termasuk kilang roti.
19. Seramai 529 orang penyokong legitimasi ini masih belum dihukum gantung lagi.
20. Pilihanraya tempoh hari (2012) adalah bersih tapi kudeta dilakukan untuk menjaga kelangsungan agenda dan keselamatan Israel.
21. Yaman mempunyai 20 juta orang rakyat. Jika setiap mempunyai tiga, jumlah senjata ringan di Yaman adalah 60 juta, tetapi senjata tersebut tidak digunakan oleh rakyat ketika mereka bangkit menjatuhkan Presiden Ali Abdullah Saleh untuk mengelakkan campurtangan Barat.
22. Firaun membunuh dan menyembelih anak lelaki (simbolik kepada mereka yang berani), dan membiarkan hidup anak perempuan (simbolik kepada mereka yang hidup dalam ketakutan), intipati surah al-Baqarah ayat 49.
23. Hakim di Mesir ini bukan korup sekarang sahaja tetapi boleh dirujuk sejak zaman Nabi Yusuf (surah Yusuf: 23-29).
24. Antara tanda kebobrokan sistem kehakiman Mesir ialah mereka pernah mengisytiharkan bahawa sejumlah warga Palestin (anggota Hamas) telah menceroboh penjara-penjara Mesir selepas kejatuhan Hosni Mubarak pada awal 2011, dikatakan untuk membebaskan tahanan tertentu. Namun, terbukti nama-nama yang disebutkan telah berada dalam tahanan rejim Israel sejak 18 tahun lalu dan sebahagian yang lain telah syahid terkorban sejak sekian lama.