Ketidaktentuan global melalui beberapa cabaran terkini terutama inflasi, perubahan iklim dan hubungan geopolitik dunia bakal memberi kesan terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara jika tiada hala tuju yang jelas, sama ada ia dirangka dalam tempoh masa yang panjang atau terhad.
Melalui tema ‘Memperkasa Rakyat’ yang diterjemahkan melalui beberapa teras dan dasar Ekonomi MADANI telah memberi keutamaan terhadap sebahagian besar aspek ekonomi khususnya dari sudut pelaburan dalam konteks negara membangun seperti Malaysia.
Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia bukan lagi cerita dongeng atau retorik politik ketika ini, ia dibuktikan apabila melalui dasar Ekonomi MADANI yang memberikan tumpuan khusus terhadap usaha menstrukturkan semula pelan ekonomi dan limpahan hasilnya yang bakal menjamin kualiti kehidupan rakyat yang lebih baik.
Isu kenaikan kos sara hidup yang pastinya membebankan rakyat memerlukan keseimbangan terhadap usaha daya saing dan daya tarikan untuk menjadi pilihan utama destinasi pelaburan.
Destinasi utama pelaburan
Sikap keterbukaan untuk menerima kehadiran pelabur dan beberapa ahli perniagaan terkemuka dunia adalah suatu perkara yang cukup inklusif dan efektif dan ini telah dizahirkan melalui komitmen yang ditunjukkan oleh beberapa syarikat pelaburan seperti Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng, Geely dan Samsung Engineering.
Pengeluaran Pas Pelabur Strategik (SIP) bagi memudahkan urusan pelabur ke Malaysia yang diumumkan oleh kerajaan juga bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa terdekat.
Usaha kerajaan untuk mengkaji semula dasar insentif pelaburan supaya ia tertumpu ke arah pelaburan yang menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi adalah tepat, memandangkan fokus kini adalah untuk memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif.
Insentif pelaburan yang dimaksudkan tidak hanya berkisar soal insentif kewangan semata-mata, ia boleh dilaksanakan melalui proses pemudah cara dengan membantu para pelabur dari bermula proses mengenal pasti tapak sehingga menyelaras permohonan-permohonan kelulusan pembangunan.
Usaha untuk meningkatkan pembangunan modal insan perlu diteliti secara lebih menyeluruh kerana ia bakal memberi kesan terhadap masa depan generasi muda yang akan datang.
Isu kemahiran tenaga kerja yang sering membelenggu sebahagian besar syarikat tempatan perlu diselesaikan dengan kadar yang segera melalui beberapa perbincangan terperinci bersama Akademi Pembangunan Pengurusan Asia (AMDA) dalam merancakkan proses transformasi di Malaysia.
Peneraju ekonomi Islam global
Dasar Halalan Tayyiban yang sedang dirangka oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti melalui Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam merupakan antara teras terhadap perjalanan Ekonomi MADANI yang diluncurkan.
Usaha yang memberi tumpuan terhadap pembiayaan ekuiti merangkumi modal teroka, ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah, serta kaedah ‘blended finance’ dan beberapa komponen yang lain mampu menjamin kestabilan terhadap institusi kewangan Islam di Malaysia.
Malaysia bukanlah sebuah negara yang asing dalam mempromosi dan memperkenalkan model ekonomi Islam di dunia, ia boleh dibuktikan melalui laporan Skor Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) yang mengiktiraf Malaysia sebagai penggerak utama ekonomi halal global selama sembilan tahun berturut-turut.
Melalui beberapa aspek seperti keselamatan makanan yang bakal memberikan manfaat dan menyumbang kepada ekonomi dan industri Islam dengan mengambil kira tenaga kerja, pelan ini sudah pun digerakkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Januari yang lalu.
Secara peribadi, melalui dasar Ekonomi MADANI yang diluncurkan, saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap prospek masa hadapan Malaysia ke arah pembangunan yang lebih mampan dan sistematik.
Beberapa dasar yang diperkenalkan juga agak realistik dalam tempoh jangka masa yang terhad melalui beberapa gerak kerja dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dan ini bakal merealisasikan matlamat Ekonomi MADANI yang berdaya tahan dan memberi manfaat kepada segenap rakyat Malaysia.
Firzan Hakimi
Bekas Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi
Universiti Sains Malaysia