Eidul Adha 1434H: Perutusan Pengerusi Aqsa Syarif

aqsa

Saat ini hampir empat juta umat Islam sedang berada di Makkatul Mukarramah untuk melaksanakan ibadah haji, kemuncak kepada rukun Islam kelima. Hari Raya Haji juga disebut sebagai Yaum-un-Nahar atau hari menyembelih haiwan qurban. Hari itulah yang disambut sebagai Eidul Adha hari Raya yang dikaitkan dengan ibadah ‘udhiyah atau korban.

Ibadah Qurban adalah sunnah para Nabi sejak awal. Ia telah disyariatkan dari Nabi Adam AS di mana anak-anak baginda telah diperintahkan oleh Allah melakukan ibadah tersebut sebagai suatu ujian. Riwayat menunjukkan bahawa Habil telah melepasi ujian tersebut dan mendapat keredhaan Allah sedang Qabil gagal, dimurkai oleh Allah. Sesungguhnya ibadah qurban yang disyariatkan kepada umat Muhammad SAW adalah mengambil sempena dari ibadah qurban yang diperintahkan kepada keluarga Ibrahim AS.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS telah melepasi satu tahap ujian yang membuktikan kesediaan untuk melaksanakan perintah Allah meski ianya amat berat iaitu seorang ayah diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Sebagai ganjaran di atas kesabaran dan benarnya iman keluarga Ibrahim, maka Allah telah menggantikan Ismail dengan sebuah domba yang besar.

Hari ini ibadah qurban ini dihayati dalam bentuk menyembelih haiwan ternakan pada Hari Raya Qurban. Ia adalah satu lambang bahawa seorang Muslim sentiasa bersedia untuk berqurban demi meninggikan kalimah Allah dalam semua keadaan. Jika Ibrahim AS bersedia menuruti perintah Allah untuk mengorbankan anak yang paling disayanginya, maka tidak ada yang menghalang seorang Muslim untuk mengorbankan apa sahaja pada dirinya demi melaksanakan perintah Allah SWT.

Ibadah qurban juga adalah lambang perpaduan ummah yang tidak mengenali batas sempadan. Pada hari ini, seringkali umat Islam digalakkan untuk berkorban kepada ‘yang lebih memerlukan’. Daging ibadah qurban akan diagih-agihkan di tempat-tempat di mana umat Islam menderita akibat konflik, peperangan dan bencana alam. Kini terdapat pelbagai skim penyertaan ibadah qurban yang disempurnakan melalui inisiatif pelbagai NGO di negara-negara umat Islam yang menjadi keutamaan.

Namun yang lebih penting dari ibadah qurban itu sendiri ialah sejauh manakah umat Islam menghayati hikmah di sebaliknya. Ia bukan sekadar menyembelih haiwan qurban dan daging diagih-agihkan kepada fakir miskin setiap tahun tanpa diiringi dengan perubahan sikap dan keutamaan dalam menyusun agenda kehidupan. Sesungguhnya ibadah qurban yang dilakukan pada pagi Eidul Adha itu, hanyalah satu permulaan dan penterjemahan kepada tekad yang bulat untuk sedia berkorban dalam setiap ketika.

Solidariti umat bukan diukur dengan mengagihkan daging korban setahun sekali kemudian melupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk membela umat Islam di mana sahaja mereka berada. Di Palestin khususnya , tanggungjawab umat Islam tidak selesai dengan hanya melakukan ibadah qurban, kemudian melupakan penderitaan saudara-saudara seakidah yang ditindas oleh musuh-musuh zionis sepanjang masa. Rakyat Palestin sudah terjajah lebih dari 65 tahun kini dan Baitul Maqdis, tanah suci umat Islam serta Masjid al-Aqsa yang terdapat di sana sudah berada dalam cengkaman zionis selama lebih dari 46 tahun.

Tentunya umat Islam punya kewajipan untuk membebaskan tanah suci umat Islam dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang sentiasa diancam oleh musuh-musuh zionis Israel. Jika warga Palestin berada di barisan depan bumi ribat Baitul Maqdis (bumi peperangan), maka saudara-saudara seiman di seluruh dunia memberi mereka segala bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk memenangkan jihad ini.

Saudara-saudara mereka tidak akan membiarkan mereka bersendirian mempertahankan tanah suci umat Islam. Lebih dahsyat lagi jika saudara-saudara mereka berkhianat dan bersekongkol pula dengan musuh-musuh mereka dalam menjalankan makar untuk melemahkan perjuangan rakyat Palestin seperti yang berlaku pada hari ini.

Di dalam keadaan Israel terus mengkhianati perjanjian-perjanjian yang mereka meterai, sebahagian umat Islam terus menaruh kepercayaan dan harapan terhadap musuh. Israel di waktu yang sama terus melakukan pencerobohan demi pencerobohan, membina lebih banyak penempatan haram Yahudi di Baitul Maqdis Timur dan Tebing barat yang dijajah pada tahun 1967. Israel terus berdolak-dalih untuk melaksanakan penyelesaian dua negara ‘two state solution’ yang dijadikan umpan kepada Mahmud Abbas dan pihak berkuasa Palestin.

Tembok pemisah yang menceroboh jauh ke dalam wilayah yang diduduki di Tebing Barat dan hampir mengepung Baitul Maqdis dari semua arah terus dibina di atas tanah rakyat Palestin, menghalang mereka dari mengerjakan ladang-ladang zaitun yang mereka warisi sejak ratusan tahun. Anak-anak mereka terhalang dari meneruskan persekolahan kerana tembok menghalang perjalanan mereka untuk ke sekolah.

Di masa yang sama kesan kudeta di Mesir, penduduk Gaza telah dikepung dari semua arah dan dikenakan sekatan ekonomi yang menyeluruh sejak tujuh tahun yang lalu. Semua pintu masuk ditutup kepada sebarang laluan, sehingga kini Gaza menjadi penjara terbuka terbesar di dunia. Makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan bahan api, semuanya disekat dari penduduk Gaza. Pada saat ini, hampir 50% dari kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan.

Semua ini menuntut seluruh dunia Islam merenung sedalam-dalamnya implikasi tuntutan ibadah qurban yang disyariatkan pada Hari Raya Eidul Adha. Apakah umat Islam telah menghayati makna ibadah qurban yang dilakukan saban tahun setiap tibanya Eidul Adha? Bahkan sudah menjadi semacam trend pula bagi setengah-setengah pemimpin politik berbangga dengan jumlah puluhan atau ratusan haiwan qurban yang disedekahkan oleh mereka. Namun ia tidak menatijahkan dan diterjemahkan dalam bentuk yang dituntut oleh Islam. Umat Islam terus dibiarkan tanpa pembelaan. Rakyat Palestin terus dinafikan hak mereka dan dibiarkan tanpa sebarang pembelaan.

Sudah tibalah waktunya umat Islam membuat satu lonjakan untuk menterjemahkan ibadah qurban yang dilakukan mulai tahun ini melepasi sekadar satu ‘ritual’ atau ibadah khusus. Sepatutnya ia membekas dijiwa untuk umat Islam bangkit dan menyahut perintah Allah dalam menunaikan tuntutan jihad sebagaimana keluarga Ibrahim mengorbankan anaknya yang paling disayangi demi mentaati arahan Allah SWT. Dalam nada yang sama, umat islam harus bersedia untuk mengorbankan masanya, tenaganya, harta dan sumber-sumber yang dimilikinya, mengerah pelbagai usaha untuk perjuangan pembebasan tanah suci.

Umat Islam lebih wajar untuk mempelopori usaha-usaha membela rakyat Palestin kerana ia merupakan satu tuntutan ukhuwah yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi bumi Palestin adalah bumi anbiya’, bumi yang penuh keberkatan, bumi di mana berlakunya peristiwa besar Isra’ dan Mikraj, dan tempat yang akan menyaksikan pertarungan terakhir di antara hak dan batil menjelang hari kiamat.

Semoga Eidul Adha tahun ini membawa satu perubahan dalam diri setiap dari kita untuk melakukan apa sahaja pengorbanan ke arah perjuangan pembebasan al-Aqsa.

Dr Ir Selamat Aliman
Pemangku Pengerusi
Aqsa Syarif Berhad

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia