Diam Atau Berbicara Lebih Baik? Ini Pandangan Islam

Diam Atau Berbicara Lebih Baik? Ini Pandangan Islam | IKRAM

Membaca kisah-kisah yang dirakamkan dalam al-Quran akan memaparkan kepada kita seribu ibrah dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.

Jika anda masih ingat tentang kisah Maryam a.s., setelah beliau melahirkan Nabi Isa a.s. tanpa kewujudan seorang ayah, Allah SWT memerintahkannya untuk diam dan tidak menjawab sebarang pertanyaan daripada kaumnya. Situasi ini dirakamkan dalam al-Quran iaitu: 

“Makan, minum, dan bersukacitalah engkau. Jika engkau melihat seseorang, katakanlah, ‘Sesungguhnya aku telah bernazar puasa (bicara) untuk Tuhan Yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu, aku tidak akan berbicara dengan siapa pun pada hari ini.’” (Surah Maryam: 26)

Dalam situasi Maryam a.s., kita dapat fahami bahawa diam adalah solusi untuk menenangkan masyarakat yang terperanjat akan hal yang ajaib tersebut.

Melalui kisah ini, mesej yang ingin disampaikan ialah ketika keadaan menjadi genting, diam boleh menjadi pilihan terbaik untuk seseorang bertindak.

Lebih Baik Daripada Kata Sia-sia

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah berpesan agar orang yang beriman kekal diam sekiranya tidak ada  perkara yang baik untuk diperkatakan.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam...” (HR Bukhari [6475] dan Muslim [47])

Hadis ini merupakan panduan terbaik untuk seorang mukmin menguruskan lisannya. Bercakap merupakan salah satu medium komunikasi penting bagi manusia. Justeru, Islam menganjurkan adab-adab tertentu berkaitan lisan atau percakapan.

Berdasarkan kepada hadis di atas, diam adalah lebih baik daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Satu tip yang mudah tetapi ramai yang belum dapat amalkan.

Pada hari ini, ramai yang suka bercakap tentang semua perkara, dan apabila banyak bercakap, banyaklah salahnya. Apabila banyak salah, maka banyak kemudaratan yang akan timbul seperti perbalahan, persengketaan dan permusuhan. 

Tajam Seperti Pedang

Lidah tidak bertulang tetapi mampu menjadi tajam seperti pedang, Kata orang, lajak perahu boleh diundur, lajak mulut, padah balasannya. Justeru, menahan diri daripada berkata perkara-perkara yang tidak berfaedah ialah salah satu kemuliaan dalam Islam.

Berapa banyak persengketaan yang wujud hanya kerana lisan yang tidak terjaga. Malah, orang yang sentiasa bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu diibaratkan seperti tin kosong yang berbunyi tetapi tiada berguna.

Pepatah diam-diam ubi berisi ada benarnya. Diam membolehkan seseorang berfikir dengan baik dan menghasilkan sesuatu dengan hikmah. Pendek kata, dengan diam, akal boleh berfikir dengan tenang.

Oleh sebab itu, Imam Syafie menurut sudut pandangannya menerangkan bahawa apabila seseorang itu hendak berbicara, maka hendaklah berfikir terlebih dahulu.

Jika jelas bahawa kata-katanya itu akan membawa kemaslahatan, maka berbicaralah. Namun, jika sebaliknya, maka eloklah berdiam diri. 

Bagi orang yang beriman, lidah yang dikurniakan untuk menyampaikan tujuan-tujuan komunikasi sesama manusia tidak akan digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia.

Sebaliknya ia digunakan untuk mengeluarkan kata-kata yang berhikmah dan nasihat-nasihat yang membetulkan perjalanan hidup manusia.

Manakala peranan diam pula dijadikan benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau yang tiada keperluannya.

Cakna Pada Yang Perlu Sahaja

Dalam dunia tanpa sempadan, seseorang yang menjadikan imannya sebagai panduan dalam bertindak, akan berfikir sebelum bercakap atau bertindak. Islam menganjurkan Muslim untuk mengelakkan daripada menyibukkan diri dengan hal yang tiada kaitan dengannya. 

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Antara kebaikan keislaman seseorang, dia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya.” (HR Tirmidzi, 2317, Hadis Hasan)

Imam al-Ghazali pernah berkata:

Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, maka perlulah kita sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata.

Dengan kata lain, kita hendaklah bijak ketika berkomunikasi kerana sekiranya kata yang diucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita.

Diam Adalah Kebijaksanaan

Kata-kata ialah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ingatkah anda akan satu ayat dalam Surah Yasin iaitu:

اَلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلٰٓى اَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ اَيْدِيْهِمْ وَتَشْهَدُ اَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ

“Pada hari ini Kami membungkam mulut mereka, tangan merekalah yang berkata kepada Kami dan kaki merekalah yang akan bersaksi terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah Yasin: 65)

Maka, diam memiliki hikmah dan ciri kriteria tersendiri ketika dipraktikkan. Apa yang penting adalah kita mengetahui waktu-waktu yang tepat untuk diam dan ketika bila pula bersuara sebagai sikap ketika berinteraksi dengan orang lain.

Diam pada tempatnya boleh menjadi kebiasaan apabila ia diterapkan dalam diri, dan mampu menjadikan kita lebih produktif.

Bersikap diam itu juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan, bahkan merupakan akhlak baik yang mampu mendidik masyarakat awam daripada terjerumus ke lembah permusuhan dan kekeliruan. Rasulullah SAW pernah menyatakan kepada Abu Zar r.a.:

Semoga Allah merahmati Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ketika beliau berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (salafussoleh) itu berhenti (tidak bersikap melampau) atas dasar ilmu, mereka memiliki penelitian yang tajam (menembus), namun adakalanya mereka menahan dirinya (daripada meneruskan sesuatu perbahasan) sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya.” (Bayan Fadhli Ilmi Salaf)

Walau bagaimanapun, ada ketika diam bukan pilihan yang baik. Sebagai contoh, diam jika dizalimi, diam ketika menyaksikan kemungkaran atau kezaliman.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Katakanlah kebenaran walaupun pahit.” (HR Ibnu Hibban, 361)

Ini bermakna, kemungkaran tidak boleh didiamkan kerana setiap Muslim bertanggungjawab untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.

Kata Baik Sumber Pahala

Lalu, diam atau berkata-kata? Yang manakah lebih utama? Dalam banyak keadaan, iman dan etikalah yang menentukannya.

Islam menggambarkan kata-kata yang baik sebagai suatu yang terpuji. Ini bermakna, bercakap tentang kebaikan dan perkara yang mendatangkan manfaat – meskipun banyak – ialah amalan yang baik. Dalam surah Ibrahim, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: 

“Tidakkah engkau memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah ṭayyibah? (Perumpamaannya) seperti pohon yang baik, akarnya kuat, cabangnya (menjulang) ke langit, menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan untuk manusia agar mereka mengambil pelajaran.” (Surah Ibrahim: 24-25)

Dalam ayat ini, jelas sekali perumpamaan tentang kalimah dan kata-kata yang baik, perkataan yang membawa kepada keimanan kepada Allah Taala, percakapan yang mendatangkan kebaikan kepada pendengar atau penuturnya, dianggap sebagai sumber kebaikan berupa pahala dan manfaat yang akan dikecapi oleh semua. 

Manakala kata-kata yang buruk atau bertujuan jahat pula digambarkan sebagai sepohon pokok yang buruk akarnya lemah dan tidak berasas sama sekali. 

“(Adapun) perumpamaan kalimah khabitsah seperti pohon yang buruk, akar-akarnya telah dicabut daripada permukaan bumi, (dan) tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.” (Surah Ibrahim : 26)

Dr Hamidah Mat
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia