Kejohanan ini telah disertai oleh 84 buah pasukan yang mewakili 31 buah sekolah dari kalangan sekolah berasrama penuh dan swasta di dalam dan luar negara.
Penyertaan sekolah-sekolah terkemuka di arena debat seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah, Maktab Melayu Kuala Kangsar, SBPI Gopeng, Sekolah Datuk Abd Razak Seremban, Â Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Baharu, Sekolah Menengah Al-Amin Gombak dan Sekolah Menengah Islam Al Azhar Jitra turut memeriahkan lagi acara debat ini.
Selain itu beberapa buah sekolah dari negara jiran seperti Nurul Fikri Boarding School, Indonesia, Madrasah Al-Junied Singapura dan Jaringan Sekolah As-Salam, Thailand juga sama-sama memberi persaingan di dalam merebut kejuaraan kejohanan ini.
(Gambar utama Debat Bahasa Inggeris, gambar kiri Debat Bahasa Arab, gambar kanan Debat Bahasa Melayu)
Setelah berhempas pulas selama 4 hari 3 malam mulai 30 Jun 2011, akhirnya 6 buah sekolah telah menempatkan diri di peringkat akhir kejohanan. Madrasah Al-Junied A, Singapura telah menjuarai kategori Debat Bahasa Arab manakala bagi kategori Debat Bahasa Inggeris diungguli oleh Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor.
Bagi kategori Debat Bahasa Melayu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng telah dinobatkan sebagai Johan. Perdebatan peringkat akhir kategori Bahasa Melayu ini telah dipersembahkan di hadapan YB Dr Mohd Puad Zarkashi.
Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak mnunjukkan prestasi cemerlang kerana berjaya memasuki peringkat akhir bagi kategori Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris walaupun terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua di kedua-dua kategori. Sementara itu,  Madrasah Al-Junied Singapura mencapai kejayaan cemerlang apabila Kumpulan B Al-Junied mendapat Naib Johan bagi Kategori Bahasa Arab.
Dalam ucapan perasmian penutup tersebut, Dr. Fuad Zarkashi telah menekankan kepentingan mengasuh aspek akhlaq di dalam perdebatan dan muzakarah. Sikap menuduh dan menghentam pihak lawan adalah kurang berakhlaq. Sebaliknya, Â masing-masing pihak perlu mencari hujjah dan fakta dan mengenengahkan idea secara profesional.
Kejohanan ini telah membuka ruang kepada sekolah harian, sekolah berasrama penuh kerajaan dan juga sekolah-sekolah swasta di negara ini serta negara jiran. Ternyata kejohanan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari perbagai sekolah dan diharapkan ia akan terus menjadi acara tahunan demi untuk melahirkan generasi yang memiliki ciri kepimpinan dan menjadi harapan negara bangsa.