Dakwah Bil Hikmah – Maksud dan Cara Rasulullah Sebarkan Islam

Cara dakwah dengan hikmah | IKRAM

Dalam al-Quran, selain ayat-ayat Allah yang menuntut kita untuk berdakwah, terdapat juga ayat yang menyebut bahawa dakwah hendaklah dilakukan secara berhikmah (dakwah bil hikmah). Ayat ini wajar menjadi panduan dan pegangan Muslim supaya usaha dakwah tidak tersasar daripada tujuannya yang sebenar. 

Ayat tersebut adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) DENGAN HIKMAH dan berilah nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu jua yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah.” (An-Nahl: 125)

Di sini timbul persoalan, apakah maksud ‘al-hikmah’ dalam ayat di atas? Ulama memberikan banyak pandangan mengenai maksud perkataan tersebut. Namun yang biasa kita fahami adalah bermaksud ‘kebijaksanaan’. Terdapat ayat lain dalam al-Quran yang terkandung perkataan al-hikmah yang bererti kebijaksanaan. Firman Allah yang bermaksud:

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah: 269)

Definisi hikmah

Al-Hikmah adalah perkataan Arab dengan kata jamaknya hikam. Hikmah atau hikmat juga kini sudah biasa digunakan dalam bahasa Melayu. Dari segi bahasa, hikmah bererti ilmu, kepandaian, kebijaksanaan dan kesaktian. Kata-kata hikmat bermaksud kata-kata yang mempunyai maksud yang mendalam. 

Dari segi istilah, hikmah bermaksud meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal atau hasil buku dan dibenarkan pula oleh matlamat yang dikehendaki dalam sesuatu urusan.

Sebagaimana Ibnu Hajar al-’Asqalani pernah menyebut di dalam kitab Fath al-Bari, “Makna yang paling benar daripada al-hikmah adalah bahawa al-hikmah itu adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Manakala Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Kata-kata lembut, sopan

Para nabi dan rasul menggunakan pendekatan berhikmah dalam usaha dakwah mereka. Terdapat beberapa kaedah penting dalam pelaksanaan dakwah dengan hikmah, antaranya ialah penggunaan kata-kata yang lembut, sopan dan lunak.

Sebagai contoh, Allah memerintahkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. berkata dengan lemah-lembut ketika berdakwah kepada pemerintah yang bengis dan zalim seperti Firaun. Perhatikan firman Allah berikut (yang bermaksud):

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taaha: 43-44)    

Berhubung dengan ayat ini, suatu ketika dahulu Khalifah al-Ma’mun Ibn Harun al-Rasyid pernah didatangi oleh seorang pendakwah yang mengkritik beliau dengan menggunakan perkataan yang keras dan kasar.

Lalu beliau berkata, “Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku dan Musa itu lebih baik daripada kamu, namun demikian Musa menggunakan bahasa yang lunak.”

Penggunaan kata-kata yang lembut dan sopan amat penting bagi mendekatkan kita kepada orang yang kita dakwahkan. Bayangkan jika kita berdakwah dengan kata-kata kesat dan menyakitkan, sudah pasti dakwah kita sukar untuk diterima, malah mungkin wujud ketegangan dalam perbualan.

Berkatalah kita dengan kata-kata yang lembut walaupun terpaksa berdepan dengan orang yang bercakap kasar dan keras kepada kita. Sebagaimana kata Hasan al-Banna, “Jadilah kamu seperti pokok, para manusia membalingnya dengan batu, pokok menggugurkan kepada mereka buah-buah yang ranum.”

Fahami keadaan, suasana

Berdakwah dengan hikmah juga adalah kita mengetahui keadaan orang yang kita dakwahkan. Kita tahu tahap pemikiran mereka, keadaan jiwa mereka, malah amat baik juga untuk kita memahami aspek-aspek budaya, kepercayaan dan cara hidup mereka.

Jika di Malaysia, biasanya orang bukan Islam adalah dalam kalangan orang bukan Melayu. Maka sudah tentu mereka mempunyai budaya, adat resam dan pantang larang berdasarkan etnik masing-masing yang perlu kita fahami jika kita ingin berdakwah dengan lebih efektif kepada mereka. 

Selain itu, hikmah juga menuntut kita untuk memahami suasana masyarakat yang kita hadapi. Hal ini penting supaya kita dapat menghindari sebarang ancaman dan penolakan kepada usaha dakwah.

Sebagai contoh di dalam sirah, ketika Nabi Muhammad SAW menjadi pemerintah di Madinah, baginda telah menulis surat kepada raja-raja dengan tujuan untuk mengajak mereka kepada agama Islam.

Ketika hendak menulis surat-surat tersebut, baginda telah diberitahu bahawa raja-raja pada waktu itu tidak mahu menerima surat kecuali jika diberikan stempel (cap).

Maka baginda pun membuat stempel daripada perak dengan ukiran “Muhammad Utusan Allah” (kisah ini diceritakan oleh Anas bin Malik r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Sampaikan secara bertahap

Satu lagi pendekatan dakwah secara hikmah adalah dengan menyampaikan mesej Islam secara bertahap (al-tadarruj). Dengan pendekatan ini, pendakwah haruslah menitikberatkan persoalan masa dalam usaha dakwahnya dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai tujuan dakwahnya.

Hal ini juga dapat kita rujuk melalui cara Nabi Muhammad SAW yang berdakwah secara bertahap, dimulai dengan dakwah secara rahsia di Mekah diikuti dakwah secara terang-terangan, kemudian melalui tahap-tahap dakwah yang lain sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di Madinah dan akhirnya Islam tersebar dengan meluas di setiap pelosok tanah Arab. 

Kepentingan dakwah secara bertahap ini juga boleh kita fahami melalui cara penurunan Al-Quran itu sendiri yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Ayat demi ayat al-Quran mula turun di Mekah yang menjelaskan persoalan pokok akidah seperti keimanan kepada Allah, hari akhirat, balasan syurga dan neraka dan keimanan kepada rasul-rasul. 

Ayat demi ayat al-Quran yang diturunkan selepas umat Islam berhijrah ke Madinah masih menekankan aspek pemantapan akidah di samping ayat-ayat berkenaan aspek muamalat. Di sini kita dapat memahami betapa pentingnya mesej berkaitan akidah Islam diutamakan dalam pelaksanaan dakwah. 

Kisah dakwah lelaki keluarga Firaun

Dalam al-Quran, terdapat satu kisah mengenai seorang lelaki beriman dalam kalangan ahli keluarga Firaun yang menyampaikan mesej Islam secara bertahap.

Pada mulanya lelaki beriman ini memberi nasihat dan pandangan secara umum kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Beliau menyatakan bahawa Nabi Musa a.s. tidak harus dibunuh hanya kerana baginda beriman kepada Allah, bukannya melakukan sebarang jenayah berat.

“Dan seseorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata: ‘Apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia berkata,“Tuhanku adalah Allah”, padahal sungguh, dia telah datang kepadamu dengan membawa bukti-bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta, maka dialah yang akan menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu.’ Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan pendusta.” (Ghafir: 28)

Kemudian beliau mengingatkan mereka akan bencana yang pernah ditimpakan Allah terhadap kaum sebelumnya akibat menentang utusan Allah. Beliau juga mengingatkan mereka terhadap azab seksa pada hari kiamat yang sangat dahsyat yang akan dikenakan kepada mereka sekiranya mereka tidak beriman.

“Dan orang yang beriman itu berkata: ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku khuatir kamu akan ditimpa (bencana) seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu. (Iaitu) seperti keadaan kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud dan orang-orang yang datang sesudah mereka. Dan Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya. Wahai kaumku, sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan seksaan hari panggil-memanggil. (Iaitu) hari (ketika) kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan kamu daripada (azab) Allah, dan siapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorang pun yang akan memberi petunjuk.’” (Ghafir: 30-33)

Beliau juga mengingatkan lagi tentang kesesatan Firaun dan pembesar-pembesarnya yang ragu-ragu dengan ajaran Nabi Musa. Mereka juga sesat kerana mengatakan bahawa Allah tidak akan mengutuskan lagi rasul sesudah kewafatan baginda.

Seterusnya beliau mengulangi nasihatnya mengenai balasan Allah kepada orang yang ingkar, juga membuat penambahan terhadap ganjaran Allah iaitu nikmat syurga bagi orang yang beriman. 

“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila dia mati, kamu berkata: ‘Allah tidak akan mengutuskan lagi rasul sesudahnya’; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya).” (Ghafir: 34)

“Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia akan dibalas sebanding dengan kejahatan itu. Dan barang siapa mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberikan rezeki di dalamnya tidak terhingga.” (Ghafir: 40)

Kemudian apabila Firaun mengajaknya supaya menyembah berhala, beliau menolaknya dengan baik. Beliau menegaskan bahawa usaha mereka itu hanya akan membawa ke neraka dan sembahan mereka itu tidak mendatangkan manfaat. 

“Dan wahai kaumku! Apa halnya aku dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku ke neraka? Kamu mengajakku supaya aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah dan mempersekutukan-Nya dengan apa yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun? Tidak syak lagi, bahawa makhluk-makhluk yang kamu ajak aku menyembahnya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan (atau memberikan sebarang pertolongan) sama ada di dunia atau di akhirat; dan sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah kepada Allah, dan sebenarnya orang-orang yang melampau kejahatannya itu, merekalah ahli neraka.” (Ghafir: 41-43)

Peringatan terakhirnya kepada Firaun dan para pembesar yang enggan menerima dakwahnya ialah suatu masa nanti mereka akan tahu kebenaran seperti yang diperkatakannya. Beliau juga menyatakan penyerahan dirinya kepada Allah Yang Maha Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya. 

“(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya.” (Ghafir: 44)

 

Wan Muhammad Wan Ibrahim
Pengarah Jabatan Pengurusan Daie dan Sukarelawan, Hidayah Centre Foundation
Ketua Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Negeri Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia