Ceritera merdeka: Dulu dan kini

Ogos bulan kemerdekaan, diraikan saban tahun kerana tarikh 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat fizikalnya Malaya bukan lagi di bawah jajahan kuasa British.

 

Lewat 60 tahun yang sudah, perjuangan tertumpu kepada memerangi kuasa dunia daripada terus memperhambakan watan. Sudah sekian lama tanah air terbelenggu di bawah arahan sekian episod penjajahan. Segala kudrat dan keringat dikerahkan bagi merealisasikan impian untuk berdiri dengan tampuk pimpinan sendiri. 

 

Sejarah mengajar kita erti perjuangan memerdekakan nusa tidak datang dalam sehari. Perjuangan yang tidak datang percuma malah lelah menjadi peneman. Nama-nama besar pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Maharaja Lela, Tok Janggut dan Rentap antara nama-nama yang menjadi aspirasi penceritaan apabila kisah merdeka disingkap oleh generasi kini.

 

Tokoh-tokoh ini pastinya punya jati diri dan semangat yang luar biasa hebat sehingga mereka mampu bangun melawan serta mempengaruhi pengikut masing-masing untuk kekal mengasak walau mereka sedar musuh bukan calang-calang.

 

Hari ini, ceritera merdeka sedikit berbeza. Perlawanan dan asakan bukan lagi kepada penjajah yang tidak segan untuk kita selar sebagai musuh. Hari ini kita berpencak dengan bangsa kita sendiri, orang kita sendiri termasuk mungkin diri kita sendiri.

 

Yang khianat hari ini bukan lagi orang asing, yang langgar amanah hari ini bukan lagi penjajah, yang menipu bukan lagi musuh tetapi orang-orang kita yang mungkin lahir daripada kalangan kita juga. 

 

Tanggal 9 Mei 2018 sentiasa akan kekal dalam lipatan sejarah dan pasti menjadi titik tolak serta harapan pada setiap rakyat Malaysia. Tarikh keramat ini menyaksikan kerajaan yang sekian lama berkuasa tumbang dan tersungkur.

 

Dunia terasa baharu, langit dilihat ceria dan biru lebih daripada biasa, hati para pemuda berbunga mendambakan harapan untuk Malaysia masih ada. Hari-hari diharungi dengan 1001 harapan untuk melihat Malaysia baharu bakal menyinar hingga ke hujungnya.

 

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Langkah menjatuhkan kerajaan baru betul-betul meranapkan impian para pengundi yang telah melabur masa dan wang ringgit pulang mengundi untuk perubahan. Adakah ini cerminan bangsa merdeka? 

 

Pandemik memburukkan lagi keadaan. Pelbagai episod terpaksa dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat. Kestabilan ekonomi kian memburuk begitu juga dengan kesejahteraan emosi masyarakat.

 

Sejak melalui pelbagai fasa PKP, telah dilaporkan pada 18 Jun 2021 oleh Sinar Harian, lebih daripada 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis Covid-19. Ini bukan suatu isyarat yang baik kepada keutuhan ekonomi negara dan kesejahteraan negara.

 

Seusai pengumuman PKP 3.0 dilanjutkan, wanita bernama Nik Jah dipercayai menjadi orang pertama yang mencetuskan idea kempen #BenderaPutih bagi membantu golongan memerlukan ketika pandemik. 

 

Masyarakat seperti sudah mengantuk disorongkan bantal. Seusai dikongsikan di media sosial beliau, kempen ini terus tular dan dikongsikan oleh orang kebanyakan termasuklah daripada ahli politik pelbagai parti.

 

Ini menunjukkan betapa tenatnya keadaan masyarakat hari ini yang menyambut sahaja apa-apa inisiatif agar kelangsungan hidup mereka dapat diteruskan. 

 

Selain masalah ekonomi yang semakin menekan, masalah emosi turut dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat pada ketika PKP ini.

 

“Berdasarkan 8,380 panggilan telefon yang diterima setakat semalam, 46.8 peratus berdepan dengan masalah emosi”, mengikut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

 

Keadaan terus memburuk dengan peningkatan kes keganasan rumah tangga serta kes bunuh diri yang saban hari meningkat.

 

Ini dapat dibuktikan dengan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan tahun lalu mendedahkan, sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh 18 Mac hingga 30 Oktober ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

 

Kisah demi kisah telah dilalui oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Sehingga kita kita telah melalui peristiwa ini lebih setahun. PKP demi PKP juga telah dilaksanakan. Hari ini kes semakin meningkat dan angka kematian semakin bertambah.

 

Hampir setiap hari kita mendengar orang di sekeliling kita kehilangan orang yang tersayang termasuk anak-anak kecil yang menjadi yatim piatu. Episod duka ini terus membayangi. Pastinya ada sinar di hujung terowong, namun kita juga masih tidak tahu bilakah sinar itu bakal muncul. 

 

Namun al-Quran sentiasa menyajikan penawar buat kita. Ayat Allah ini memberikan kita ketenangan dan mengajak kita untuk pasakkan pergantungan kita hanya kepada-Nya semata-mata.

 

“Hanya orang mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

 

Saat iman teruji, emosi tertekan dan tatkala hidup semakin menghimpit, pulangkan segalanya kepada Allah SWT, itu yang paling tepat boleh kita lakukan. Inilah sebenar-benar jiwa merdeka bagi seorang Muslim dapat dipamerkan.

 

Merdekakan diri daripada tekanan duniawi dan kembalikan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Walau apa pun peranan kita di muka bumi ini, apabila kita masih teguh meletakkan Rab kita sebagai pergantungan utama, kita pasti kekal sebagai bangsa merdeka.

 

Roselinee Mohammad Radzi

Kredit foto: Trebz @ Flickr

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia