Calon PRU15: Pilih Wakil Rakyat Yang Jujur

Calon PRU15: Pilih Wakil Rakyat Yang Jujur | IKRAM

Pernahkan anda mendengar orang mengatakan, “Dengar boleh, percaya jangan” dalam kenyataan ahli-ahli politik? Benarkah ahli politik dan penipuan tidak dapat dipisahkan?

Ada satu pertandingan yang dianjurkan secara tahunan iaitu Pertandingan Berbohong Sedunia di Cumbria, England untuk mencari pemenang yang paling handal berbohong sehingga sukar dipersoalkan keyakinannya.

Tahukah anda, ahli politik dan peguam dilarang menyertainya kerana mereka dikatakan pandai dan telalu mahir berbohong.

Persoalannya, sekiranya ahli politik menipu, masihkah ada sesiapa yang peduli? Atau, adakah masyarakat sudah hilang rasa jijik pada pemimpin yang menipu kerana sudah dinomarlisasikan? Tidak menghairankan bagi seorang pemimpin bermuslihat dalam pertuturannya. 

Menurut kajian kepercayaan dan kredibiliti Barometer Kepercayaan Edelman 2022 yang dibuat secara tahunan, rakyat Malaysia telah mengatakan bahawa keyakinan mereka terhadap kerajaan merosot dan semakin terhakis.

Walaupun Malaysia berada di kedudukan keenam daripada 28 negara dalam Indeks Kepercayaan Global, masyarakat menzahirkan kebimbangan yang mendalam bahawa berita dan maklumat palsu sering digunakan sebagai senjata terhadap mereka oleh pemimpin dan media. 

Apabila dikurniakan kuasa dan pangkat, kejujuran akan seringkali diuji. Bukan mudah untuk mengekalkan kejujuran terutamanya apabila sentiasa berada dalam kedudukan yang sentiasa diberi perhatian dan terbuka pada kritikan serta ancaman melibatkan kepentingan dan kerahsiaan tertentu. 

Namun, jujur ini adalah sifat teras yang mesti ada pada seorang pemimpin yang telah diberikan amanah dan tanggungjawab padanya untuk mengurus rakyat dan mentadbir negara. Ketiadaaan teras ini mengundang anasir buruk dalam pentadbiran seorang pemimpin pembohong yang akhirnya sukar dipulihkan.

Pembohongan adalah pangkal keburukan. Rasulullah SAW menganjurkan agar umatnya bersikap jujur dan melarang umatnya daripada berbohong sepertimana yang diungkapkan dalam hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Jauhilah kamu daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kejahatan, dan perbuatan kejahatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.” (HR Muslim, No. 2607)

Pada sifat jujur ini akan terbina kepercayaan dan memberikan rasa selamat apabila wujudnya sekuriti dalam suatu pemerintahan yang melibatkan tadbir urus yang memegang tampuk kuasa dan pengaruh terpenting. 

Tanpa kepercayaan, persefahaman dan penyatuan sukar dibentuk akibat rasa curiga dan persengketaan yang mudah timbul, bahkan musuh pun hanya percaya pada orang yang ada kejujuran.

Ketika China mengumumkan akan menggantung dialog dengan Amerika Syarikat (AS) di beberapa kawasan berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan pada bulan Ogos lalu, Menteri Luar China Wang Yi berkata kepada media, “Saya mendengar Setiausaha AS, Antony Blinken mengadakan sidang akhbar dan menyebarkan beberapa maklumat salah dan tidak jujur.”

“Kami mahu mengeluarkan amaran kepada Amerika Syarikat iaitu jangan bertindak terburu-buru dan jangan wujudkan krisis yang lebih besar.”

Kejujuran mencipta ketelusan, memupuk akauntabiliti, menonjolkan integriti, mengangkat kehormatan, terbina kepercayaan dan membina kredibiliti. Sifat ini sangat penting bagi seorang pemimpin dalam membuat keputusan yang teguh, mengekalkan kuasa, melakukan kerjasama dan menarik kesetiaan. 

Ternyata ia adalah asas kepimpinan yang baik dan diperlukan. Di samping  itu, ia turut mempamerkan sifat kepimpinan yang ada  kerendahan hati serta keyakinan diri dan memperlihatkan pemikiran yang jelas. 

Masyarakat harus menuntut kepimpinan yang mengangkat nilai kejujuran. Pakar psikologi, Dr Jim Taylor mendapati kecenderungan untuk pemimpin berbohong adalah kerana masyarakat tidak suka mendengar realiti yang menyakitkan dan mewujudkan ketidakselesaan. 

Menurutnya lagi, penipuan boleh menyebabkan apa yang tiada menjadi ada dan apa yang tiada menjadi ada sehingga boleh menjadi suatu yang diimani sebagai benar apabila diulangi banyak kali. Persepsi palsu boleh tercipta! Kepalsuan ini bertukar menjadi merbahaya ketika ia merebak dalam masyarakat!

Oleh itu, tidak menghairankan apabila ada calon PRU15 ahli politik yang percaya bahawa berbohong adalah tindakan terbaik untuk mendapat pengikut dan undian.

Maka, berhati-hatilah ketika memilih pemimpin. Pastikan kita memilih calon yang jujur! Jujur itu berani.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Artikel berkaitan:

Calon PRU15: 3 Ciri Pemimpin Yang Harus Ada – Presiden IKRAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia