Seseorang itu dilihat mampu memimpin bukan sahaja dipandang sebagai pemimpin kerana jawatan yang disandangnya, tetapi disebabkan oleh kemampuan dirinya sendiri walaupun tiada jawatan.
Ertinya tanpa jawatan dan pangkat, dia mampu dan dilihat mampu untuk memimpin.
Bakat kepimpinannya bersifat semula jadi tanpa perlu memakai apa-apa jawatan hingga mampu memberikannya kuasa dan pengaruh tersendiri di mana sahaja beliau diposisikan.
Ini adalah ciri individu yang dikatakan ada kemampuan untuk memimpin. Sekiranya diberikan amanah kepadanya, beliau bukan sahaja melunaskan tanggungjawab dengan cemerlang, tetapi mampu menyerlah menggalas tugasan melangkaui jangkaan asal.
Masihkah ingat ketika Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menguruskan kes pendakwaan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd terhadap Dato’ Seri Najib Razak?
Ramai tidak menjangkakan mantan Perdana Menteri itu akan berhadapan dengan hukuman penjara atas kesalahan yang disabitkan terhadapnya.
Banyak kes berprofil tinggi yang telah digugurkan tanpa pendakwaan sebelum ini telah menimbulkan spekulasi dan persoalan hingga mencermarkan kredibiliti institusi kehakiman negara.
Namun, Ketua Hakim Negara itu telah menjalankan tugasan kehakiman dengan tegas atas prinsip yang jelas dan keberanian walaupun berhadapan dengan pelbagai mehnah termasuk ugutan bunuh yang ternyata gagal menggugat tugas beliau.
Terjatuhnya hukuman terhadap pihak yang berkedudukan tinggi melalui perbicaraan yang mengikut prosedur dikatakan telah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara sebagai badan kehakiman yang berintegriti.Â
Kepimpinan seperti ini telah memperbaharui semangat penyatuan dan meniupkan keyakinan kepada rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik.
Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu berani membuat perubahan tanpa khuatir ia adalah langkah politik yang tidak popular.
Langkahnya harus telus demi rakyat dan negara melebihi kepentingan diri atau parti. Pemimpin sebegini mampu membangunkan negara bergerak lebih pantas ke hadapan dan menyelamatkan kerosakan yang telah mengakibatkan banyak kerugian.
Oleh itu, pemimpin yang lemah, tidak mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat, membuat onar, korup dan rasuah harus dipecat dan tidak wajar dipilih semula.
Kejatuhan mantan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Liz Truss yang hanya dapat bertahan selama 45 hari pemerintahan harus dijadikan iktibar bahawasanya pemimpin yang lemah dalam mengurus dan mentadbir memberikan ancaman yang tinggi impaknya.Â
Apa yang terjadi kepada UK dalam tempoh singkat pentadbiran tersebut tidak harus dilupakan. Melalui sokongan Liz Truss, bajet mini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kwasi Kwarteng telah menyebabkan masalah ekonomi yang besar.
Ia disebut menjadi pencetus atas kejatuhan nilai mata wang Pound Sterling dan mencetuskan panik pada pasaran kewangan. Tindakan beliau telah dikritik dan ditolak oleh partinya sendiri sehingga didesak untuk lepaskan jawatannya. Terkini, Rishi Sunak telah diangkat sebagai Perdana Menteri yang baharu.Â
Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan pada 19 November ini memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu membina dan mengemudi Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan selama lima tahun.Â
Sehubungan itu, selidik dan semak latar belakang bakal calon-calon PRU15 yang disenaraikan sebelum memangkah mereka. Pastikan calon yang hendak diundi adalah daripada kalangan yang mampu memimpin.
Sewajarnya penjejakan rekod mereka bersih daripada rasuah, berpengalaman dalam mengurus tadbir dengan cekap, berilmu dan berkemahiran untuk bertindak dengan tepat, mudah didekati serta mengalu-alukan teguran demi penambahbaikan.
Pemimpin atau wakil rakyat yang terlantik seharusnya dapat diharapkan untuk membawa suara rakyat untuk didengari dan dilihat penting. Wakil rakyat ini kelak akan bergabung tenaga dengan kerajaan yang memimpin untuk bekerja mengurus rakyat dan mentadbir negara ke arah kecemerlangan dan bukan sebaliknya.Â
Ingatlah, jangan terpengaruh dengan calon-calon yang mengucapkan ‘janji sayang’ mereka ketika berkempen, tetapi kemudian ‘melayang’ apabila berkuasa. Pilihlah yang kompeten dan mampu memimpin!Â
Pemimpin yang terhimpun segala kemampuan dan pengalaman memberikannya kredibiliti untuk memimpin rakyat dan negara menuju kemakmuran dan kesejahteraan, sekali gus teguh dengan cabaran terhadap anasir-anasir yang merosakkan.
Ini sepatutnya ciri pemimpin yang rakyat harus angkat dan dipangkah di kertas undi.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia