Cabaran Tangani Kos Sara Hidup dan Kewangan Rakyat

Kos sara hidup menjadi isu yang semakin kritikal dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara mendadak mutakhir ini yang sangat mengesani golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, rakyat menyambut baik usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat melalui kawalan harga barang dan pengekalan tarif elektrik serta inisiatif-inisiatif bantuan yang diumumkan melalui pembentangan Bajet Mini 2023 yang dibuat pada Selasa lalu.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun 2021 iaitu setelah pademik Covid-19, mencatatkan sebanyak 20 peratus daripada golongan M40 telah beralih kepada kumpulan B40. 

Manakala kumpulan T20 yang mengalami kemerosotan pendapatan yang beralih kepada kumpulan M40 adalah sebanyak 12.8 peratus. Covid-19 secara jelas telah mempengaruhi pendapatan isi rumah di Malaysia

Pendapatan dan Kos Sara Hidup

Pada waktu yang sama, ketika kos kehidupan terutamanya di bandar-bandar utama di Malaysia meningkat,  pertumbuhan pendapatan individu turut meningkat tetapi lebih perlahan dan tidak seiring.

Menurut DOSM, purata gaji bulanan rakyat Malaysia berada pada nilai RM3,037 tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbading RM2,933 tahun sebelumnya.

Jika dibahagikan mengikut kategori usia, golongan yang berusia 15 hingga 24 tahun menerima gaji bulanan purata sebanyak RM1, 659. Bagi yang berusia 25 hingga 34 tahun, purata gaji mereka adalah RM2,664. Manakala golongan yang berusia 35 hingga 44 tahun menerima RM3,637 dan yang berusia 55 hingga 64 tahun menerima gaji purata sebanyak RM3,608. 

Mari bandingkan pula pendapatan individu dengan keperluan pendapatan yang harus diperoleh untuk hidup selesa.

Laporan Belanjawanku daripada Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2021 mendapati seseorang individu yang memiliki kenderaan perlu meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM2,570 sebulan bagi menampung kos kehidupan di Lembah Klang. Kos ini meningkat sehingga RM5,910 bagi individu berkahwin yang mempunyai seorang anak.

Sebahagian besar perbelanjaan individu diperuntukkan untuk kos pembayaran rumah, kenderaan atau pengangkutan yang termasuk kos membaiki kereta, mengisi minyak, membayar tol dan parkir.

Ini diikuti oleh perbelanjaan makanan dan yang lain-lain. Sekiranya memiliki anak, kos penjagaan atau pendidikan anak-anak juga mengambil sebahagian besar pendapatan bulanan individu.

Berdasarkan keadaan ini, jelas sekali berlaku ketidakpadanan pendapatan individu dan kos sara hidup. Lebih memburukkan keadaan, kos sara hidup semakin meningkat mendadak dengan kenaikan inflasi, namun pertumbuhan pendapatan atau gaji sangat perlahan.

 Faktor Yang Mempengaruhi

Kos sara kehidupan merangkumi perbelanjaan pembiayaan rumah, kenderaan, penjagaan dan pendidikan anak-anak, kesihatan dan keperluan lain. Perbelanjaan ini juga dipengaruhi oleh gaya kehidupan dan tanggungan keluarga individu.

Apabila harga kos bahan api, makanan, komoditi, barangan serta perkhidmatan meningkat, keseluruhan ekonomi akan terjejas secara domino. Kenaikan harga barangan atau inflasi memberi kesan kepada kos sara hidup, kos menjalankan perniagaan, skim pinjaman wang dan sektor ekonomi yang lain.

 Cabaran Kewangan Rakyat

Rakyat Malaysia menghadapi cabaran kesempitan kewangan yang harus ditangani. Sebanyak 70 peratus daripada rakyat Malaysia didapati tidak dapat menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung.

Ini disifatkan sebagai simpanan terburuk sepanjang lima tahun kajian ini dibuat sejak 2018 berdasarkan tinjauan celik kewangan RinggitPlus Malaysia 2000 yang melibatkan seramai 3,144 responden daripada pelbagai latar belakang.  

Seramai 82 peratus merasakan duit simpanan mereka dalam KWSP tidak mencukupi untuk menampung hidup selepas bersara.

Namun di sebalik keadaan yang mencengkam sebegitu , 66 peratus responden berumur 21 ke atas menimbang untuk mengeluarkan wang KWSP mereka jika kerajaan membenarkan.

Situasi kewangan rakyat Malaysia secara jelas perlukan pemulihan. Penyelesaian jangka panjang diperlukan dengan sokongan yang berterusan untuk menyelamatkan generasi ini agar tidak tercicir dan harus ditangani agar mereka mampu kelak menjadi sebahagian pemacu pembangunan negara.

Sekiranya situasi tidak ditangani dengan teliti, negara akan mengalami konflik pertumbuhan ekonomi dan ketidakstabilan sosial.

Iktibar Korea Selatan

Sejarah banyak memberikan peringatan tentang natijah daripada pembangunan negara yang tidak berjalan seiring dengan pembangunan rakyat.

Korea Selatan dikatakan pernah melalui zaman keajaiban ekonomi yang digelar The Miracle on the Han River apabila berjaya keluar daripada kepompong negara termiskin dunia pada 1950an kepada salah satu negara terkaya di dunia dalam satu generasi.

Namun, banyak kajian sejak 2015 sehingga kini menunjukkan ramai anak-anak muda negara itu berkeinginan untuk melakukan migrasi kerana kesukaran dan kesempitan hidup dan juga akibat rasa tidak dapat mengawal kehidupan sendiri.

Golongan generasi umur 20an dan 30an dilabelkan sebagai generasi sampo atau tiga terbiar kerana rata-rata daripada mereka mengalami putus asa dalam kehidupan perkahwinan dan memiliki anak yang tidak mampu ditanggung termasuk sukar mencari pekerjaan dan apatah lagi memiliki rumah sendiri.

Korea Selatan kini mempunyai kadar kesuburan yang terendah di dunia dan juga populasi warga tua yang semakin meningkat.

Keadaan ini menjadi tanda aras amaran dan iktibar kepada negara bagi memastikan jaminan keselamatan sosial rakyat terpelihara, agar tanah air yang dicintai terus bergerak ke hadapan dengan makmur dan sejahtera.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia