Ramadan, bulan istimewa yang dinantikan

Syaaban bakal melabuhkan tirai. Ini bermakna Ramadan akan bertamu. Apakah reaksi kita dan keluarga apabila mendengar perkataan Ramadan? Mula terbayang pasar-pasar yang menghidangkan pelbagai juadah? Deretan air-air sejuk nan dingin tatkala melintasi tekak yang haus?

 

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, bukan hanya bulan untuk kita kisahkan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Tetapi Ramadan yang Allah turunkan kepada hamba-Nya lebih daripada itu.

 

Ia suatu bulan yang sangat istimewa yang sepatutnya dinanti-nantikan oleh setiap jiwa yang mahu meraih keredaan Allah SWT seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Bulan kegemilangan

 

Membaca hadis ini sudah memberikan motivasi kepada jiwa orang yang beriman dan menanti-nanti keampunan daripada Allah SWT, apatah lagi apabila menyorot kembali zaman di mana Ramadan menjadi bulan kegemilangan buat ummah.

 

Antaranya ketika tentera Muslim berjaya menjulang kemenangan dalam perang Badar al-Kubra pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah.

 

Ini diikuti pula dengan peristiwa Fathu Makkah iaitu pembebasan kota Makkah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliyah pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. 

 

Tidak berhenti sekadar zaman Rasulullah SAW sahaja, malah kisah kegemilangan ummah melakar sejarah dalam bulan Ramadan terus dirakam.

 

Antara yang turut terpahat adalah apabila kota Andalusia berjaya ditawan oleh tentera Muslim yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad pada 28 Ramadan tahun ke-91 Hijrah.

 

Kejayaan-kejayaan besar yang ditempa oleh umat terdahulu menjadi bukti bahawa bulan Ramadan bukan sekadar bulan untuk umat Islam berpuasa, menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa, malah bulan Ramadan perlu dilihat lebih daripada itu.

 

Memaknai Ramadan

 

Hari ini, bagaimana agaknya kita mendidik diri dan ahli keluarga kita memaknai Ramadan? Apakah sama makna Ramadan kita dengan ummah yang terdahulu?

 

Ketika Ramadan makin mendekat, inilah masa yang sesuai untuk kita membangkitkan semula roh Ramadan yang sebenar dalam diri dan jiwa serta seluruh ahli keluarga kita. 

 

Mari kita mempersiapkan diri dan ahli keluarga untuk menyambut tetamu agung yang bertandang hanya setahun sekali ini.

 

Kita mahu memasuki Ramadan dalam keadaan bersedia jiwa dan jasad. Seharusnya ia bermula dari hari ini, kita sudah mula mewara-warakan kepada anak-anak kita bahawa Ramadan akan tiba.

 

Sama-sama berdoa agar dipertemukan kita dengan Ramadan sekali lagi pada tahun ini. Biar Ramadan kita dan ahli keluarga pada tahun ini lebih baik dan bermakna daripada tahun-tahun yang sebelumnya.

 

Libatkan anak-anak

 

Sebagai ibu dan bapa yang mengemudi sebuah keluarga, libatkan anak-anak dalam setiap perancangan untuk menyambut tetamu yang mulia ini. Tetamu yang bertandang hanya sekali dalam setahun, tetamu yang dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana hadis berikut:

 

“Sudah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah SWT mewajibkan kamu berpuasa pada bulan ini. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat. Pada bulan ini juga, terdapat malam yang lebih baik berbanding dengan 1,000 bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (HR Ahmad dan an-Nasai’)

 

Ayuhlah duhai jiwa-jiwa yang hidup, bersama kita mempersiapkan diri untuk meraih sebanyak-banyaknya pahala yang telah Allah janjikan buat umat Muhammad SAW.

 

Inilah bulan yang sewajarnya dijadikan sebagai medan perjuangan untuk kita membebaskan diri daripada hawa nafsu yang telah bersarang sebelas bulan sebelumnya.

 

Inilah juga medannya untuk berlumba dengan diri kita sendiri untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertakwa daripada sebelumnya kerana pada akhirnya penilaian yang mutlak adalah di sisi Allah SWT jua.

 

Selamat menantikan bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Moga Allah sampaikan kita semua kepada bulan Ramadan, insya-Allah.

 

Roselinee Mohammad Radzi
Kolumnis Portal IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia