Budaya ‘Flex’ Anak Musim Raya: Ini Kesan Buruknya

Hari raya merupakan hari yang cukup dinantikan memandangkan inilah masanya sanak saudara yang duduk berjauhan dapat berkumpul bersama-sama setelah sekian lama.

Apabila berkumpul, sudah pasti banyak topik perbualan mengiringi sesi ramah mesra di samping menikmati juadah yang disediakan.

Antara topik yang kerap dibincangkan ialah berkaitan soal peribadi seperti perkembangan terbaharu ahli keluarga, tidak kiralah sama ada melibatkan soal pendidikan, pekerjaan mahupun perkahwinan.

Kebanyakan perkongsian tersebut pastinya berkisarkan kejayaan atau pencapaian yang membanggakan keluarga.

Antara perkongsian tersebut adalah seperti kejayaan anak-anak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, menerima tawaran biasiswa bagi melanjutkan pelajaran, mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, rasa syukur dan bangga atas kejayaan anak-anak merupakan lumrah perasaan manusia. Walau bagaimanapun, secara tidak sedar, kadangkala perkara itu membawa kepada kesan yang negatif sesama ahli keluarga.

Anak lain rasa dipinggirkan

Bukan semua anak ditakdirkan menempa kejayaan dalam sesuatu bidang. Justeru, sesetengah anak berasa dipinggirkan kerana mungkin merasakan diri mereka kurang mendapat perhatian ibu bapa atau tidak mampu memberi sumbangan kepada keluarga.

Kejayaan dinilai dari satu perspektif

Kebanyakan situasi memperlihatkan bahawa pujian hanya diberikan kepada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran atau pekerjaan.

Hal ini menyebabkan sebahagian anak-anak menganggap bahawa ibu bapa hanya akan menghargai mereka sekiranya mereka berjaya dalam bidang tersebut sahaja.

Justeru, skop kejayaan itu telah dihadkan kepada sesuatu pencapaian sahaja dan boleh membawa kepada implikasi yang lebih buruk.

Contohnya, anak-anak tersebut sanggup melakukan apa sahaja dengan cara yang baik atau buruk demi memperoleh kejayaan semata-mata untuk mendapatkan perhatian daripada ahli keluarga.

Iri, dengki sesama ahli keluarga

Perkongsian berkenan kejayaan seseorang anak boleh membawa kepada perbandingan antara ahli keluarga. Ini termasuklah perbandingan bapa kurang bercerita mengenai anak-anak yang berada dalam situasi yang dianggap kurang membanggakan keluarga.

Hal ini demikian kerana fokus perkongsian hanya berkisarkan anak-anak yang memperoleh sesuatu yang mampu mengagumkan telinga yang mendengar.

Perkara ini menyebabkan anak-anak lain antara adik-beradik mahupun saudara yang lebih jauh berasa disisihkan dan akhirnya membentuk rasa kurang senang dengan kejayaan ahli keluarga yang lain.

Perkara ini secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka mula menjauhkan diri antara satu sama lain dan sesetengah situasi juga memperlihatkan anak-anak mula membenci adik-beradik atau ibu bapa mereka sendiri.

Kesan pada pembentukan personaliti anak-anak

Anak-anak yang merasakan diri kurang mendapat perhatian ibu bapa cenderung mengasingkan diri daripada orang lain. Hal ini demikian kerana mereka berasa bahawa tiada sesiapa yang menyayangi atau menghargai mereka.

Mereka juga mula berasa rendah diri dan hilang keyakinan terhadap masa depan kerana dianggap tidak setara dengan orang lain.

Rasa sunyi kerana menyangka ibu bapa lebih sukakan adik-beradik yang lain juga boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk seperti depresi.

Hal ini tidak mustahil akan berlarutan untuk suatu tempoh masa yang lama dan akhirnya membentuk personaliti yang pasif.

Setiap anak ada kelebihan

Setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing dan ibu bapa atau ahli keluarga merupakan salah satu sumber penguat semangat mereka dalam menghadapi pelbagai situasi.

Terdapat sebahagian anak yang kurang berjaya dalam pelajaran atau memegang jawatan biasa tetapi dapat menggalas tanggungjawab sebagai anak dengan baik.

Sesetengah anak ini juga mampu memberi nafkah bulanan walaupun bergaji rendah, menjaga atau menghantar orang tua ke hospital ketika sakit, selalu bertanya khabar walaupun sibuk bekerja dan tidak lekang daripada mendoakan kesejahteraan ibu bapa.

Justeru, raikanlah perbezaan yang ada dan teraplah nilai kasih sayang yang adil terhadap anak-anak. Hargailah segala usaha mereka dan terus menjadi pendorong untuk mereka meraih kejayaan dunia dan akhirat.

Nasihat kepada anak-anak pula, sentiasa hormati ibu bapa dan bersangka baik kepada mereka. Suatu masa nanti sekiranya kita berada di tempat mereka, pastinya kita mengharapkan perkara yang sama.

Hargailah mereka selagi masih ada kerana pengorbanan mereka untuk membesarkan kita sudah membuktikan bahawa mereka cukup menyayangi kita.

Khairunisa Zul Kuraini
Graduan Linguistik Melayu, Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia