SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) akan menganjurkan program ilmiah “Bicara Islam Rahmah Siri 2” yang bakal membincangkan topik penting mengenai ajaran sesat dan bahaya sikap taasub dalam masyarakat Islam kontemporari.
Program yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 24 November 2024 ini akan menampilkan Ketua Bahagian Aqidah dan Hadis (Universiti Islam Selangor), Ustaz Dr. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah sebagai penceramah jemputan.
Sesi bual bicara akan dikendalikan olehUstaz Azlan Shah Nabees Khan, seorang pendakwah dan CEO ARBA Foundation. Sesi anjuran Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan IKRAM Kawasan Serdang.
Program ini dirancang untuk memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai cabaran semasa yang dihadapi umat Islam, terutamanya berkaitan ajaran sesat dan sikap taasub yang boleh menggugat kesatuan ummah.
Program ini merupakan kesinambungan kepada siri Bicara Islam Rahmah sebelum ini dengan matlamat bagi memperkasakan kefahaman masyarakat terhadap Islam yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada semua.
Bicara Islam Rahmah Siri 2 yang bertajuk “Membongkar Misteri Ajaran Sesat & Bahaya Taasub” akan berlangsung di Dewan Al-Khawarizmi, Pusat Islam UPM bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Orang ramai yang tidak dapat hadir secara fizikal masih berpeluang mengikuti program ini melalui siaran langsung di platform media sosial TV IKRAM di YouTube dan TikTok, serta Facebook IKRAM Malaysia.
Mereka yang berminat untuk menyertai program ini secara percuma boleh mendaftar melalui pautan https://tinyurl.com/jpmbir2, namun tempat adalah terhad dan pendaftaran awal adalah diperlukan.
Untuk maklumat lanjut, layarii platform media sosial rasmi IKRAM Malaysia atau menghubungi pihak penganjur melalui saluran yang disediakan.