Bermujahadah membantu demi mardhatillah

Pada suatu hari, Muawiyyah bin Abu Sufyan RA telah menulis surat kepada Aisyah RA Ummul Mukminin, beliau meminta agar Aisyah RA menuliskan suatu wasiat nasihat kepada dirinya dengan nasihat yang ringkas.

 

Kemudian Ummul Mukminin menulis, “Salaamun ‘alaika, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ الْتَمَسَ رِضَا اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ وَمَنْ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

 

“Barang siapa yang mencari reda Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barang siapa yang mencari reda manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, No. 2414)

 

Pesanan yang ringkas dan sarat maknanya ini adalah suatu nasihat yang penting buat kita semua agar senantiasa mencari keredaan Allah SWT dan juga keredaan orang yang berada di sekeliling dengan kita.

 

Dalam meneliti hadis ini, Syeikh al-Mubarakfuri dalam mensyarahkan, “Yang dimaksudkan ‘Allah SWT akan menyerahkannya kepada manusia’ adalah Allah SWT akan membiarkan orang lain menguasainya dirinya sehingga dia itu akan disakiti atau dizalimi oleh manusia (yang menguasai dirinya itu).” [Tuhfah al-Ahwazi: 82/7]

 

Makna reda boleh dibahagikan kepada dua hal seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Raghib iaitu:

1. Reda hamba kepada Allah, dan 

2. Reda Allah kepada hamba. 

 

Maksud reda hamba kepada Allah adalah seorang hamba itu tidak membenci pada qadak atau ketentuan yang berlaku ke atas dirinya. Adapun reda Allah kepada hamba iaitu Allah SWT akan memastikannya sentiasa mentaati perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

 

Tetapi dalam kehidupan kita ini selalu kita dikaburi dengan berusaha mendapatkan keredaan manusia agar suatu hari nanti manusia akan memberikan pengiktirafan dan manfaat yang belum pasti ke atasnya. Begitulah pesanan Imam as-Syafii kepada Rabi’ dalam kitab Hilyah al-Awliya’ oleh Imam Abu Nu’aim menyebut:

 

رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لَا تُدْرَكُ، فَعَلَيْكَ بِمَا يَصْلُحُكَ فَالْزَمْهُ فَإِنَّهُ لَا سَبِيْلَ إِلَى رِضَاهُمْ

 

“Keredaan manusia merupakan satu matlamat yang tidak mampu dicapai. Maka hendaklah kamu melakukan apa-apa yang baik buat diri kamu dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sesungguhnya tidak ada jalan untuk sampai kepada keredaan mereka (manusia).” [Hilyah al-Awliya’, 123/9]

 

Dalam usaha mendapatkan reda Allah SWT, dengan keimanan yang ditanam di dadanya kemudian melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya sepertimana yang telah diwahyukan ke atas kita melalui tauladan junjungan mulia nabi pilihan Muhammad SAW. 

 

Para sahabat yang mengikuti tauladan Nabi Muhammad SAW serta mengajarkan kepada generasi yang seterusnya dengan kasih sayang sepertimana ar-Rasul SAW mengajari mereka untuk saling berkasih-sayang, Allah reda ke atas mereka dan mereka juga reda kepada Allah.

 

Marilah kita mengikuti jejak langkah mereka yang Allah gelarkan sebagai ridhuanullahu ‘alaihim ajma’in (Allah reda ke atas mereka kesemuanya).

 

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.”

“Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.”

“Allah reda terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (Al-Mujadilah : 22)

 

Adapun membantu manusia yang lain juga adalah suatu cara bagi mendapatkan reda Allah, dengan saling berkasih sayang, bantu-membantu dan menguatkan mereka atas janji pertolongan Allah, Allah akan memudahkan urusan mereka yang membantu manusia yang lain.

 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Barang siapa membebaskan seorang mukmin daripada suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya daripada suatu kesulitan pada hari kiamat. 

“Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. 

“Barang siapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. 

Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama Muslim. 

“Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke surga baginya. 

“Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.”

“Barang siapa yang ketinggalan amalnya, maka nasabnya tidak juga meninggikannya.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 4867)

 

Sesungguhnya Imam Hassan al-Banna juga menanamkan usaha bagi mendapatkan reda Allah ini kepada ahli Ikhwanul Muslimin pada Rukun Ikhlas dalam Risalah at-Ta’alim.

 

“Bahawa saudara menumpukan niat hanya kepada Allah dalam kata-kata, amalan dan segala daya usaha saudara – semata-mata mengharapkan keredaan dan ganjaran-Nya, tanpa mengendahkan habuan, pandangan zahir, pangkat, gelaran mahupun maju atau mundurnya sesuatu. Dengan itu saudara menjadi tentera kepada fikrah dan akidah, bukannya hamba kepada habuan dan faedah.” 

 

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (al-An’aam: 162)

 

“Dengan ini saudara akan faham erti laungan keramat [Allahu Matlamat kami] dan [Allah Maha Besar dan segala puji hanya bagi Allah].”

 

Penumpuan tujuan dengan permulaan niat bagi setiap kata-kata kita, gerak kerja kita, malah kesungguhan kita hanyalah semata-mata kerana Allah adalah permulaan segala kebaikan yang kita kerjakan. Ini semua hanyalah mengharapkan reda-Nya dan balasan baik seperti yang Allah janjikan dalam wahyu-Nya.

 

“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).” (Ar-Ra’d: 22)

 

Tetapi ada juga kelompok manusia yang bersungguh-sungguh berbuat amal kebaikan untuk mendapatkan pengiktirafan manusia dan mengharapkan manfaat atau faedah daripada manusia sebagai membalas budinya.

 

Faedah itu mungkin dalam bentuk habuan, pangkat, gelaran, diberi kelebihan, populariti dan sebagainya. Malah mereka tertipu dengan habuan yang sementara. Takutlah apabila Allah berikan habuan yang mereka kejarkan sehingga jauh daripada jalan Allah. Itulah bahaya nikmat istidraj.

 

Imam al-Banna mengingatkan kita agar terus mengikhlaskan hati dan tidak menjadi hamba kepada habuan tetapi menjadi orang yang bersungguh-sungguh dalam merealisasikan apa yang dituntut dalam agama bagi manfaat sejagat walaupun dirinya terkorban kerana yakinnya mereka terhadap janji Allah dan mereka akan terus merealisasikannya.

 

Ustaz Dr Ali Abdul Halim Mahmud menyatakan dalam syarahnya atas rukun ini, “Dakwah ini sangat panjang dan banyak bebannya. Langkah yang perlu ditempuhi oleh harakah juga sangat banyak tahap dan strateginya. “

 

“Pemahaman terhadap tanzhim juga sangat kompleks dan dalam. Medan dakwah tarbiah pula sangat luas terbentang. Kesemuanya ini tidak ada yang dapat terselamat daripada terpesong melainkan dijaga oleh Allah.”

 

Mereka yang ikhlas di jalan-Nya akan merasa lapang dadanya, terubat hatinya daripada sifat mazmumah, terus yakin dengan janji-Nya, dan amalannya pasti diterima Allah selagi mana merealisasikan niat yang jernih dan mengikuti syarak. 

 

Mereka yang ikhlas selalunya akan takut kepada kemasyhuran. Hatinya tidak dikuasai oleh keegoan. Mereka sangat suka membuat kerja tanpa menghebahkan perbuatannya. Tidak juga mereka menuntut setiap kebaikan mereka dengan kepentingan peribadinya.

 

Mereka sangat bergembira bersama-sama dengan pasukan yang ikhlas membuat kerja kebaikan. Mereka memulakan amal mereka dengan bertujuankan Allah, bukan semata-mata untuk berjaya.

 

Tetapi jika mereka berjaya, itu adalah kurniaan Allah. Jika mereka tidak berjaya, itulah usaha mereka kerana Allah dan mereka akan cuba lagi. Kerana itu mereka tidak peduli apa yang manusia kata terhadap mereka.

 

Dengan ini, mereka terus membuat kebaikan adalah kerana kebesaran Allah SWT adalah melangkaui daripada segala apa yang ada di dunia. Tidak ada yang dapat memberikan mudarat kepada mereka tanpa izin-Nya dan tidak ada manfaat yang akan mereka dapat tanpa izin-Nya.

 

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (aI-Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (daripada syirik).”

“Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata), “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.”

“Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.”

“Kalau sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentu Dia akan memilih apa yang dikehendaki-Nya di antara ciptaan-ciptaan yang telah diciptakan-Nya. Maha Suci Allah, Dialah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.” (Az-Zumar: 2-4)

 

Mohd Syariffudin Abu Kassim

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia