Barah rasuah yang semakin parah

Semakin hari, barah rasuah semakin membimbangkan kita. Integriti yang dahulunya dilaungkan sebagai prinsip unggul kini sekadar terpahat di lencana, tetapi tidak di jiwa.

 

Kempen yang menelan berjuta-juta sekadar menghangatkan suasana. Pendidikan dicanang bagai sekadar melepaskan kata-kata. Undang-undang tidak lebih sebagai perca-perca kertas sahaja.

 

Malangnya, biarpun badan pencegahan rasuah yang dahulunya sebuah biro di bawah Jabatan Perdana Menteri, tahun 2008 menyaksikan pertukaran taraf menjadi sebagai sebuah suruhanjaya khas rasuah, masih gagal memainkan peranannya bahkan badan tersebut juga terpalit dengan skandal rasuah.

 

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah merupakan sesuatu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

 

Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun. Di bawah Akta SPRM 2009, terdapat empat pertuduhan yang diperuntukkan untuk pertuduhan rasuah seperti Seksyen 16 dan 17, meminta/menerima rasuah, Seksyen 17 (b) menawar dan memberi suapan, Seksyen 18 mengemukakan tuntutan palsu dan Seksyen 23 menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

 

Amat malang sekali, budaya rasuah kini membarah dalam kalangan masyarakat tanpa mengenal pangkat dan kedudukan.

 

Jika dahulu, perasuah biasanya terdiri daripada kalangan mereka yang melakukan perniagaan seperti kontraktor, memberi rasuah untuk menerima habuan tender projek, kini gejala rasuah semakin rancak membarah sehingga melibatkan para pegawai tertinggi perkhidmatan awam.

 

Lebih mendukacitakan lagi, kes rasuah dipandang sepi bagai angin yang lalu, seolah-olah kita sedang menormalisasikan budaya rasuah dalam kalangan masyarakat.

 

Sepertimana kita memandang jijik kepada perbuatan zina, lebih teruk dan dahsyat lagi sepatutnya kita memandang gejala rasuah sebagai jijik, kotor lagi tidak bermaruah.

 

Hal ini kerana, akibat sesuatu perbuatan zina tersebut akan merosakkan sesebuah keturunan sahaja. Paling teruk, barangkali satu dua pihak sahaja yang terkesan.

 

Tetapi jika masalah rasuah ini berlaku, bukan setakat merosakkan sesuatu keturunan, bahkan menghancurkan masa depan negara sekali gus meleraikan nilai agama dan moral dalam diri manusia.

 

Islam sangat tegas dalam melarang umatnya melakukan amalan rasuah, apatah lagi dibudayakannya pula. Ketegasan ini dapat kita lihat menerusi firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.”

 

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam ketika mengulas ayat ini berkata:

“Termasuk memakan harta orang lain dengan cara batil ialah menerima rasuah/suapan, iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.”

 

Dalam hal ini, baginda Nabi Muhammad SAW turut menzahirkan sifat ketegasan baginda kepada pelaku rasuah, sama ada mereka yang memberi atau yang menerima. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, daripada Thauban RA yang bermaksud:

 

“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya.”

 

Penegasan ini bukan suatu isyarat baharu, bahkan inilah peranan sebenar umat Islam yang mesti diterjemahkan dengan tindak-tanduk kita yang benar-benar membenci dan memusuhi rasuah.

 

Ia tidak sekadar ungkapan tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan. Namun realiti yang sedang ditonjolkan pada hari ini bagai semut yang kecil; gigit tidak sakit, tapi dibunuh semahu-mahunya.

 

Berbeza dengan si lalat besar; terbang bersama kotoran, tetapi dibiar terbang bebas tanpa sebarang tindakan. Apakah undang-undang negara kita sudah dinodai oleh kuasa politik tertentu? Atau sememangnya kita sedang berjalan menuju misi negara korupsi?

 

Dalam keadaan ini, secara tidak langsung, kita bukan sahaja sedang menghadapi krisis rasuah, bahkan lebih menakutkan adalah kita sedang berdepan dengan krisis keruntuhan nilai agama dan moral.

 

Jika dahulu, dapatan kajian mendapati pelaku rasuah berlaku dalam kalangan pegawai yang bergaji rendah. Akibat desakan peningkatan kos sara hidup, diambilnya rasuah bagi menampung kehidupan.

 

Tetapi hari ini bukan sahaja pegawai rendah bahkan pegawai tertinggi yang mengepalai sesebuah organisasi juga termakan rasuah.

 

Apakah gaji mereka juga rendah? Soal rasuah tidak lagi berputar alasan kerana gaji rendah. Ia telah menjurus kepada soal diri sendiri yang tamak haloba, kelam mata dan jiwa.

 

Ingatlah bahawa rasuah bukan sahaja merosakkan nilai agama dan moral kita di dunia, bahkan dijanjikan ancaman azab yang amat pedih tidak terperi sakitnya.

 

Peringatan Nabi SAW kepada mereka yang memakan harta daripada sumber yang haram termasuklah rasuah, dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, seorang yang memasukkan sekerat daging haram ke perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan sesiapa yang dagingnya tumbuh daripada barang haram dan riba, maka neraka lebih utama untuk membakarnya.”

 

Kita dalam apa jua lapangan, seharusnya mengambil sikap bertanggungjawab melawan dan memusuhi rasuah sepertimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. 

 

Meskipun kita bukan siapa-siapa, namun hal itu tidak akan sesekali membuatkan kita memilih untuk terus berdiam diri dan meredai kemaksiatan bermaharajalela merosak serta memusnahkan sistem kehidupan yang normal, aman dan sentosa.

 

Negara ini ada undang-undangnya. Jangan biarkan undang-undang hanya untuk warga marhaen sahaja, mesti telus dan halus tanpa mengira siapa. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia