Demikian antara isi kenyataan bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Ampang Jaya dan Daerah Gombak yang dikeluarkan bersempena dengan sambutan Hari Bapa 19 Jun lalu.
Meskipun telah 10 hari berlalu, bagi IKRAM kedua-dua daerah ini, tarikh sambutan hanyalah angka untuk mudah diingati, namun sambutan sebenar Hari Bapa, begitu juga Hari Ibu, adalah sepanjang masa. Itulah nilai sambutan seorang anak terhadap kedua-dua ibu bapanya.
Selain menjadi ‘Pemimpin’, salah satu peranan yang dirumuskan sebagai 4P, bapa juga adalah ‘Pendidik’, ‘Pelindung’ juga ‘Pembiaya’.
Sebagai pelindung keluarga, sewajarnya bapa menjadi pemelihara maruah dan kehormatan keluarga. Adalah sangat pincang dan menyeleweng seandainya bapa pula yang menjadi perosak maruah keluarganya sebagaimana yang dilaporkan di dada akhbar akhir-akhir ini.
Bapa berkewajipan memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya sama ada ilmu dunia mahupun akhirat. Tugas sebagai pendidik ini bukan sekadar memberi anak-anak pendidikan formal di sekolah atau institusi pengajian tinggi semata-mata, tetapi bapa sendiri perlu mendidik anak-anak secara langsung dalam amalan harian dan nilai-nilai murni kekeluargaan dan kemasyarakatan. Di samping itu, bapa sendiri perlu menjadi role model kepada keluarga agar anak-anak mereka tidak tergapai-gapai mencari role model lain.
Bapa juga perlu menjalankan tanggungjawab sewajarnya sebagai pembiaya atau pemberi nafkah daripada sumber yang halal kepada keluarga agar keluarga dapat hidup dalam keadaan selesa dan sejahtera.
“Peranan bapa ini perlu diiktiraf dan mendapat pengiktirafan. Kita menyeru semua ahli keluarga agar memberi penghormatan yang sewajarnya kepada para bapa. Mereka perlu ditaati, dikasihi, dihormati dan disanjungi. Pengiktirafan ini penting kerana ia akan meningkatkan jati diri dan keyakinan bapa sebagai ketua keluarga,” kata kenyataan itu lagi.
“Ketika mereka semakin tua dan kurang upaya pula, mereka sewajarnya mendapat belas ihsan dan perhatian yang baik daripada anak-anak.
“Pada hari ini, ada segelintir bapa yang mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka berlandaskan peranan 4P di atas. Ia sedikit sebanyak mengakibatkan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja dan belia.
“Dalam masa yang sama, wujud juga segelintir ahli keluarga yang tidak menunaikan hak dan tanggungjawab mereka kepada bapa. Kepincangan-kepincangan inilah yang akhirnya merosakkan institusi kekeluargaan dan akhirnya merosakkan masyarakat dan negara.”
Atas dasar itu, IKRAM Ampang Jaya dan IKRAM Gombak menyeru semua bapa agar menjadikan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sebagai role model, meningkatkan kemahiran sebagai ketua keluarga dengan menghadiri kursus-kursus kebapaan dan kekeluargaan, juga memperuntukkan masa yang berkualiti untuk keluarga mereka.
“Para bapa perlu memainkan peranan mereka sebaik mungkin agar institusi keluarga dapat dimantapkan, seterusnya melahirkan generasi yang bertanggungjawab demi masa depan negara. “