“Tajuk pementasan ini juga boleh membawa mesej bahawa kononnya bandaraya Georgetown selama ini penuh dengan cerita-cerita lucah dan tidak bermoral,” kata Yang Dipertua IKRAM Pulau Pinang, Hj Isahak Ismail dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, walaupun ia mungkin tiada adegan seks sebenar, tetapi dialog dan lakonan seperti di atas katil sudah cukup membawa gambaran imaginasi seks yang dipersembahkan dalam bentuk komedi yang berunsur lucah.
“Hal ini sangat bertentangan dengan norma, budaya dan ajaran semua agama di Malaysia,” tegasnya.
Tambahnya, penganjuran program sebegini menyalahi salah satu Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi asas ke arah pembentukan negara Malaysia.
“Bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang, IKRAM Pulau Pinang menyeru agar pihak penganjur tidak terikut-ikut dengan penggiat seni barat yang telah merosakkan sebahagian besar pemikiran masyarakat mereka termasuk golongan kanak-kanak dengan membudayakan kebebasan seks,” jelas Isahak.
“IKRAM Pulau Pinang mencadangkan agar pihak penggiat seni seperti PenangPAC dapat menghasilkan pementasan teater, filem atau drama pada masa hadapan yang boleh memberi pengajaran dan teladan kepada masyarakat yang tiada unsur-unsur seks atau lucah walaupun ia dalam bentuk komedi.”
Beliau turut menyeru supaya pihak berwajib mengambil langkah dan tindakan sewajarnya terhadap penganjuran aktiviti seumpama ini.
“Ia boleh memberi kesan negatif kepada budaya, kepercayaan agama, keharmonian dan kerukunan masyarakat pelbagai agama serta bangsa di Malaysia,” tegasnya.