Awas 10 Pencuri Puasa dan Ramadan!

Awas 10 Pencuri Puasa dan Ramadan! | IKRAM

Apabila disebut pencuri, pasti kita terbayang sifat jahat perbuatan itu dan membencinya. Walaupun biasanya mencuri harta, namun pencuri ini banyak kategorinya, termasuklah pencuri dalam ibadah.

Daripada Abu Qatadah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk manusia adalah yang mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana seseorang mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” Atau baginda berkata: “Dia tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.” (HR Ahmad, No. 22642, Sahih)

Hadis di atas menunjukkan bahawa wujudnya pencuri dalam solat, iaitu mereka yang tidak melaksanakan rukuk dan sujud dengan sempurna. Jika dalam solat sebagai tiang agama pun ada pencurinya, apatah lagi dengan puasa dan ibadah-ibadah lain.

Oleh itu, pada bulan Ramadan ini, umat Islam mesti berhati-hati dengan pencuri-pencuri ini yang bukan sahaja boleh melalaikan daripada melakukan ibadah, bahkan mengurangkan pahala puasa.

Pencuri 1: Televisyen

Ini adalah pencuri yang berbahaya yang boleh merosakkan puasa dan dan mengurangkan pahala dengan menonton filem, drama dan program yang sia-sia dan melekakan. Manfaatkanlah televisyen dengan menonton tazkirah, program dakwah dan keilmuan, serta rancangan yang memberi mesej positif lagi berpahala.

Pencuri 2: Pasar dan bazar

Pasar (termasuk pasar online) atau pasar saya adalah pencuri khusus yang menghabiskan harta dan waktu tanpa terkira supaya kita disibukkan dengannya. Tetapkan apa yang mahu dibeli sebelum pergi ke sana untuk menjimatkan masa.

Membeli makanan yang banyak dan mengikut nafsu di bazar Ramadan pula boleh menyebabkan pembaziran kerana sudah pasti ia tidak habis dimakan sewaktu berbuka dan bakal berakhir sisanya di tong sampah. Oleh itu, belilah makanan mengikut keperluan, bukan mengikut kemahuan.

Pencuri 3: Berjaga malam

Berjaga malam tanpa tujuan adalah pencuri masa yang begitu berharga. Apabila tidur lewat malam, ia akan menghalang kita daripada bangun qiamullail pada malam Ramadan terutamanya malam-malam terakhir. Elakkan berjaga malam agar mudah bangun daripada tidur untuk menghadap Tuhan.

Pencuri 4: Dapur

Pencuri ini sasarannya khusus bagi para wanita yang menghabiskan masa begitu lama untuk memasak pelbagai jenis makanan, hingga boleh membawa kepada pembaziran dengan dibuang ke dalam tong sampah. Masaklah makanan mengikut keperluan keluarga untuk berbuka dan sahur tanpa membazir.

Pencuri 5: Telefon bimbit

Ini pencuri paling dahsyat setakat ini. Manusia boleh berbual panjang, menonton atau berkomunikasi di media sosial tanpa tujuan di telefon bimbit hingga membuang masa dan terjebak dalam dosa-dosa seperti mengumpat, mengeji, mengadu domba dan mengaibkan orang lain. 

Bahkan, kepelbagaian aplikasi permainan video di telefon bimbit lebih menambah parahnya apabila ia digunakan dengan berlebihan hingga melalaikan dan membuang masa sementara menunggu waktu berbuka.

Oleh itu, gunakanlah telefon bimbit untuk menambah pahala, bukan menambah dosa, gunakannya untuk perkara bermanfaat, bukan perkara sia-sia. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

“Antara tanda-tanda keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan sesuatu yang sia-sia baginya.” (HR Tirmidzi, No. 2317, Hadis Hasan)

‎Pencuri 6: Bakhil

Sikap bakhil atau kedekut boleh menghalang kita daripada mendapat ganjaran dan pahala sedekah yang dapat memelihara daripada api neraka khususnya sedekah pada bulan Ramadan. Contohilah Rasulullah SAW yang sangat dermawan pada bulan penuh keberkatan ini.

‎Pencuri 7: Majlis tanpa zikrullah

Berkumpul untuk bersembang kosong, membuang masa dalam majlis-majlis yang tidak disebut zikrullah menyebabkan kerugian orang yang berada padanya pada hari kiamat. Bicara ini adalah sia-sia dan tidak membuahkan manfaat. Oleh itu, serikan majlis dengan mengingati Allah dan bicara yang bermanfaat.

Pencuri 8: Tidur berlebihan

Pencuri ini begitu efektif menghabiskan masa ketika berpuasa, terutama hari cuti. Perut yang terasa lapar boleh menyebabkan badan menjadi letih dan lesu, lantas membawa kepada tidur yang berlebihan semata-mata supaya dapat ‘memendekkan masa’ dan hampir dengan waktu berbuka. Tidurlah sekadarnya untuk menghilangkan lelah dan isi masa yang dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Pencuri 9: Riyak

Pencuri ini lebih bahaya dan licik, tidak nampak zahirnya tapi mampu menghapuskan terus pahala puasa. Ia adalah perbuatan syirik kecil yang mana seseorang beribadah bukan semata-mata kerana Allah, tetapi untuk dipamerkan kepada manusia. Oleh itu, ikhlaskanlah diri untuk berpuasa dan beribadah Ramadan.

Daripada Mahmud bin Labid r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kamu adalah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Apa itu syirik kecil Ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Itulah riyak. Allah Azzawajalla akan berfirman kepada mereka (yang riyak) pada hari kiamat kelak apabila dibalas manusia amalan mereka, “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” (HR Ahmad, No. 23630, Hadis Hasan)

Pencuri 10: Mencampurkan dosa

Pencuri ini lebih berani, contohnya berpuasa tapi tidak solat lima waktu, berpuasa tapi tidak menutup aurat atau melakukan maksiat lain. 

Walaupun puasa seperti ini tidak batal dan tetap sah, tapi pahalanya tidak sempurna. Jadikan Ramadan bulan untuk memperbaiki dan melatih diri supaya dapat melakukan kewajipan-kewajipan agama yang lain.

Ada juga yang berpuasa tapi berbuka dengan yang haram atau memudaratkan seperti rokok atau vape. Buangkanlah tabiat ini supaya tidak memudaratkan diri untuk jangka panjang.

Jauhi pencuri elak kerugian

Umat Islam perlu menjauhi pencuri-pencuri yang boleh merosakkan puasa dan mengurangkan pahala ibadah sepanjang bulan Ramadan, malah mengakibatkan orang yang berpuasa itu sia-sia dan hanya mendapat lapar dan dahaga. 

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” (HR Ibnu Majah, No. 1690, Hadis Hasan)

Ramadan adalah bulan tarbiah yang melatih dan mendidik jiwa untuk mentaati perintah Allah dan serta mengawal diri untuk menjauhi larangan-Nya bagi mencapai tingkat takwa.

Jika salah satu, sebahagian atau semua pencuri ini menguasai kita, dibimbangi kita akan termasuk dalam mereka yang amat rugi selepas Ramadan kerana tidak diampunkan Allah sepertimana hadis berikut:

Jabir bin Abdullah berkata, Nabi SAW menaiki mimbar. Ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin,” kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin,” kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin.”

Para sahabat bertanya,”Ya Rasulullah, kami mendengar engkau menyebut amin sebanyak tiga kali.” Baginda menjawab: “Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: “Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya…” (HR Bukhari, Adab al-Mufrad, No. 644)

Semoga Allah memberikan taufik kepada kita untuk berpuasa dan beribadah dengan sebaik-baiknya pada bulan Ramadan, dan akhirnya kita kembali kepada fitrah yang suci kerana dosa-dosa yang diampunkan serta beroleh keredaan Ilahi.

“Ramadan, Aku Kembali, Mendamba Reda Ilahi.”

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Editor IKRAM
AJK Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia