Tarikh 21 Ogos sengaja dipilih bagi mengingati detik hitam 21 Ogos 1969 apabila Dennis Michael, seorang pelampau Yahudi berbangsa Australia yang kononnya kurang siuman telah bertindak membakar masjid al-Aqsa.
Kempen ini adalah anjuran bersama Aqsa Syarif Selangor dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta sokongan daripada Viva Palestina Malaysia, Palestine Centre of Excellence (PACE) dan Lifeline for Gaza (LL4G).
Majlis pelancaran Hari al-Quds Sedunia 2010 Peringkat Selangor telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor yang jiga ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail di Stadium Melawati 8 Ogos lalu. Sepanjang sambutannya, kempen ini mendapat kerjasama yang baik daripada Masjid Negeri dan Daerah di Selangor. Pada Jumaat lalu, satu khutbah Jumaat khas bersempena sambutan Hari al-Quds Sedunia telah disampaikan di masjid-masjid seluruh negeri.
Konvoi semalam telah melibatkan hampir 200 buah kereta. Para peserta berlepas dari pejabat IKRAM daerah masing-masing lalu bergerak ke bazar-bazar Ramadan untuk mengedarkan risalah penerangan tentang sejarah dan perjuangan rakyat Palestin serta kezaliman berterusan yang dilakukan oleh pihak Zionis Israel. Konvoi seterusnya bergerak ke Stadium Melawati dan tiba di Masjid Negeri kira-kira jam 5.00 petang.
Ruang waktu sebelum Maghrib diisi dengan ceramah oleh Pengerusi Aqsa Syarif, Ustaz Hasanuddin Yunus yang merupakan salah seorang sukarelawan LL4G yang berada di atas kapal Mavi Marmara ketika diceroboh tentera Yahudi Mei lalu.
Kira-kira 700 hadirin tekun mendengar kisah pengalaman Ustaz Hasanuddin. Jumlah itu meningkat hampir 1,000 orang menjelang waktu berbuka puasa. Meskipun juadah yang disediakan tidak mencukupi lantaran kehadiran yang ramai, rata-rata ahli jemaah berpuas hati. Sementelahan pula, apalah nilai satu set juadah yang enak jika dibandingkan selerakan habuk, asap dan peluru yang terpaksa ditelan warga Palestin sejak leih 60 tahun yang lalu!
Solat Terawih pada sebelah malamnya bagaikan ‘rahmat dalam rahmat’ apabila diimami oleh muazin yang suaranya sering berkumandang di TV9, adik Muhammad. Dengan kelunakan suara dan teknik taranum (bacaan al-Quran berlagu) yang pelbagai, naib juara Akademi al-Quran 2010 itu memimpin solat terawih sehingga 20 rakaat. Sebahagian besar ahli jemaah tekun mengikutinya hingga solat witir, bagaikan terlupa rasa penat disebabkan asyik menghayati kemerduan suara imam muda tersebut.
Sebaik selesai solat witir, para jemaah dijemput menghabiskan malam mereka dengan menjayakan acara ‘Malam Palestin Di Hatiku’ di ruang solat tingkat bawah. Acara ini telah dirasmikan oleh Dr Badrul Amin Baharon selaku wakil Kerajaan Negeri Selangor sekali gus mewakili Menteri Besar, Tan Seri Datuk Khalid Ibrahim.Turut menyampaikan pidato malam tadi ialah Yang Dipertua IKRAM Selangor, Ustaz Shamsul Maarif Ismail, Pengarah Program merangkap Pengerusi Aqsa Syarif Selangor, Zun Arif Hakim dan wakil Viva Palestina Malaysia, Noorazian Anidin.
Acara diserikan dengan persembahan pentomin ‘Mavi Marmara’ hasil gabungan ilham serta lakonan aktivis dari Universiti Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Penasyid Muadz kemudiannya tampil diiringi empat orang anak muda yang menggelarkan diri mereka Adam’s Voice. Mereka menampilkan beberapa buah lagu bertemakan perjuangan sebelum berhenti rehat untuk memberi laluan kepada acara simbolik meruntuhkan tembok binaan Israel yang menjadikan umat Gaza terkepung dalam sebuah ‘penjara terbesar di dunia’. Para tetamu khas menurunkan tandatangan berserta kata-kata semangat di atas imej tembok tersebut sejurus sebelum ia ‘diruntuhkan’.
Muadz meneruskan persembahan dengan menjemput rakan duetnya, Shinji, seorang ‘rapper’ berbangsa Jepun yang akhir-akhir ini sering menemani persembahannya ke mana-mana. Biarpun bukan Islam, Shinji yang banyak menulis lagu-lagu berunsur kemanusiaan dan keadilan berasa puas kerana dapat meluahkan nada perjuangannya membela rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan hak untuk hidup.
Kira-kira 2,000 orang penonton yang hadir memberikan tepukan bergemuruh kepada Shinji atas semangat yang ditunjukkannya, diselang-seli laungan takbir yang ditujukan khas kepada para pejuang di Palestin serta aktivis di Malaysia dan seluruh dunia yang tidak jemu-jemu menyokong mereka.
Sebanyak RM11,119.30 berjaya dikumpulkan dalam kutipan kilat yang dibuat sepanjang majlis malam tadi.
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |