Apa Pentingnya Sistem Ekonomi Berasaskan Sedekah?

Apa Pentingnya Sistem Ekonomi Berasaskan Sedekah? | IKRAM

Wang bukan segalanya, namun tanpanya segalanya menjadi sukar. Ungkapan ini mencerminkan realiti yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat, di mana kelangsungan hidup menjadi cabaran ketika kos sara diri meningkat dan jurang pendapatan melebar.

Dalam konteks ini, keperluan untuk mewujudkan sistem ekonomi lebih inklusif dan berkesan menjadi semakin mendesak.

Salah satu tolok ukur bagi merangkumi isu-isu ini adalah melalui Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2023. Skor yang dicapai, iaitu 7.24 daripada keseluruhan 10.0, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, aspek ekonomi masih mencatat skor rendah, terutamanya dalam ciri Agihan Kekayaan yang Saksama (6.14), Ekonomi yang Mampan (6.84), dan Tadbir Urus yang Baik (6.86).

Pemerkasaan sistem kewangan Islam sebagai inisiatif Ekonomi MADANI oleh kerajaan, dilihat sebagai langkah penting dalam mewujudkan pembangunan holistik berkonsepkan halal dan tayyib.

Melalui pengurusan kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah, ia membawa harapan untuk membentuk ekonomi yang lebih inklusif dan adil.

Ganti sistem kapitalis 

Kemakmuran ekonomi tidak hanya diukur dengan pertumbuhan wang, tetapi juga dengan ciri mampan, agihan kekayaan yang saksama dan pembangunan yang lestari. Salah satu pendekatan untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pemerkasaan sistem ekonomi berdasarkan sedekah.

Apabila sistem ini diimplementasikan dengan baik, ia menawarkan alternatif yang lebih berkesan kepada sistem kapitalis yang sering kali menyumbang kepada jurang ekonomi yang besar. Contohnya, kekayaan ekonomi Amerika Syarikat yang besar, sebahagiannya hanya dinikmati oleh segelintir warganegara elit.

Dalam konteks ini, cendekiawan Islam telah lama membahas keperluan untuk mewujudkan ekonomi yang manusiawi, seperti yang diperkatakan oleh Ibnu Khaldun. Konsep ini menekankan nilai-nilai yang baik dan pembangunan potensi manusia sebagai elemen asas bagi kelestarian ekonomi.

Maka, bagi mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummah, sistem ekonomi berasaskan sedekah dilihat sebagai pilihan kepada ketidaksempurnaan yang sedang berlaku.

Instrumen kewangan berasaskan sedekah

Kebanyakan orang akan menggambarkan sedekah sebagai amalan memberi wang kepada masjid, rumah anak yatim, orang susah dan seumpamanya.

Hakikatnya, sedekah bukan sekadar amalan keagamaan, tetapi juga instrumen kewangan yang strategik. Sedekah adalah salah satu elemen dalam perbahasan fikah yang luas iaitu perbahasan ulama berkenaan akad tabarruq.

Terangkum di dalamnya sedekah yang sukarela seperti hibah, hadiah, infak dan wakaf, bertujuan untuk kebajikan umum, manakala zakat sebagai sedekah wajib memberikan sumbangan yang tetap dan disyariatkan secara khusus.

Kesan berganda ekonomi berasaskan sedeka

Zakat, wakaf dan infak menjadi instrumen kewangan penting dalam mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummah. Namun, keberhasilan sistem ekonomi berasaskan sedekah bergantung kepada keterlibatan masyarakat dalam memberikan sedekah.

Sekiranya instrumen ini dapat diuruskan secara baik, ia akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dan negara dengan terjadinya ‘multiplier effect’ atau kesan gandaan pada ekonomi dan sosial. 

Dalam konteks ekonomi, konsep multiplier effect menjadi penting dalam menilai impak sedekah terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Dengan adanya multiplier effect, sedekah tidak hanya memberikan manfaat terhadap penerima langsung, tetapi juga menghasilkan kesan berlipat ganda pada ekonomi dan sosial.

Sebagai contoh, sedekah kepada isi rumah berpendapatan rendah dapat mencipta peredaran wang yang berterusan dalam ekonomi.

Kemungkinan seseorang individu hanya ada lebihan belanja sebanyak RM100 setiap bulan secara purata. Tetapi sekiranya pendapatan isi rumah ini mendapat suntikan daripada sedekah, maka beliau ada dana yang lebih untuk berbelanja dan ini akan menggerakkan ekonomi.  

Isi rumah yang mendapat suntikan sumbangan sedekah akan meningkatkan peredaran wang dalam sesebuah ekonomi berbanding apabila duit itu terperuk di dalam akaun pelaburan bank orang berada yang menunggu interest atau faedah.

Faedah menggemukkan poket individu tetapi tidak berlaku perbelanjaan duit. Sedangkan perbelanjaan isi rumah adalah enjin yang menggerakkan ekonomi. Ini membawa kepada peningkatan perbelanjaan dan pelaburan, memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Kuncinya, adanya edaran wang yang terus-menerus mengalir memberikan multiplier effect. Impak awal suatu perubahan dalam perbelanjaan atau pelaburan akan diperbesarkan dan menyebabkan kesan berantai yang lebih besar dalam ekonomi dan sistem sosial secara keseluruhan.

Dalam konteks sosial, peluncuran Tabung Wakaf MARA MADANI baru-baru ini oleh Perdana Menteri, yang akan didanai oleh alumni MRSM dan IPT MARA, memberi peluang kepada bumiputera untuk mendapat pendidikan berkualiti dan percuma.

Akses ke pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi akan membuka peluang pekerjaan yang bermutu.

Ini pula akan meningkatkan pendapatan mereka serta mengeluarkan mereka dari kitaran kemiskinan. Kesan berganda berlaku apabila hasil daripada pendapatan boleh guna yang meningkat, mereka mampu berbelanja dan menyumbang kepada kitaran ekonomi.   

Sulaiman Abdul Aziz al-Rajhi, tokoh perniagaan Arab yang terkenal di arena global telah membuktikannya. Beliau membentuk landskap pembangunan masyarakat dan negaranya melalui usaha wakaf yang luar biasa. 

Sulaiman memberikan teladan bagaimana prinsip-prinsip wakaf boleh diintegrasikan ke dalam struktur ekonomi dan sosial untuk mencapai pembangunan yang berkekalan dan berdaya tahan.

Usaha-usaha beliau ini bukan hanya memberikan manfaat semasa tetapi juga mencorakkan warisan positif untuk generasi akan datang.

Cabaran dan solusi

Bagi merealisasikan hasrat murni ini, cabaran pelaksanaannya harus ditangani bersama langkah rejuvenasi. 

Langkah penyelesaiannya harus melibatkan semua pihak yang terlibat bagi memperoleh usaha dedikasi sinergi yang harmoni. Terdapat beberapa penyelesaian umum yang dapat diambil kira:

1. Kempen kesedaran masyarakat

Bagi membentuk kesedaran tinggi masyarakat dan membaiki serta membetulkan persepsi berkenaan sedekah terutamanya dalam bentuk wakaf dan zakat, usaha dan kerjasama yang berterusan diperlukan daripada pelbagai pihak. 

Bukti yang jelas ialah transformasi sikap masyarakat yang semakin cenderung untuk melibatkan diri dalam amalan-amalan sunat seperti umrah dan korban setelah memahami secara mendalam tentang kepentingan dan kelebihan sedekah.

Hal ini menunjukkan bahawa pelaksanaan program penerapan dan pendidikan yang efektif memainkan peranan penting dalam membentuk perubahan positif dalam masyarakat.

2. Memperkemaskan pentadbiran

Tatakelola yang baik adalah asas kejayaan visi dan misi yang direncanakan. Pengurusan dan pelaksanaanya melalui institusi dan badan-badan yang diberikan amanah dan pihak yang ingin bekerjasama melaksanakannya boleh disusun menjadi rangkaian bersinergi yang memberikan khidmat yang cekap, telus dan mencapai tujuan kerjasama. 

Untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan sistem ekonomi berdasarkan sedekah, kerjasama erat antara pemegang taruh, pihak berkuasa dan pihak yang terlibat perlu ditekankan. 

Penubuhan jawatankuasa bersama antara semua pihak berkepentingan boleh memudahkan perancangan, koordinasi dan pelaksanaan. Kerjasama ini dapat membantu merangka strategi bersama dan memastikan keberkesanan sistem tersebut

Hubungan yang kukuh, kepercayaan dan sinergi adalah kunci untuk mencapai matlamat bersama dalam mewujudkan ekonomi yang lebih adil dan sejahtera.

3. Penyelarasan undang-undang

Pendekatan yang seragam dan harmoni antara Pusat dan Negeri dari segi perundangan dan adanya fatwa khusus berpusat dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang ingin menyumbang. 

Contohnya dalam hal ehwal wakaf, ada keperluan untuk membuat kajian demi membangunkan enakmen wakaf yang lebih fleksibel mengikut perubahan masa agar dapat disesuaikan dengan keperluan dan kepentingan semasa. 

Menyuburkan sistem ekonomi yang memberi nilai

Sekiranya ingin benar-benar memperkasakan sistem ekonomi berasaskan sedekah, perancangan dan pelaksanaannya harus bersifat menyeluruh (sistemik) dan tersusun (sistematik) sehingga menjadi pilihan masyarakat majoriti dan mampu menggantikan kelemahan sistem yang sedia wujud. 

Manfaat sistem ekonomi berasaskan sedekah telah terbukti mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummah. Bagi umat Islam, amalan bersedekah menjadi motivasi untuk kehidupan pada usia kedua, sepertimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW melalui hadis riwayat Muslim:

“Apabila anak cucu Adam itu mati, maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara, iaitu  sedekah jariah, anak yang soleh (yang memohonkan ampunan untuk kedua-dua ibu bapanya) dan ilmu yang berguna setelahnya.” 

Sistem ekonomi berdasarkan sedekah khususnya, bukan hanya menjadi pilihan untuk memperbaiki ketidaksempurnaan dalam sistem ekonomi konvensional, tetapi juga berperanan sebagai pengekalan nilai-nilai kebajikan dan pembangunan yang berterusan.

Dengan memahami dan mengamalkan konsep sedekah jariah supaya mengalir berpanjangan manfaatnya melalui pemerkasaan sistem yang sedia ada, ia dapat mendorong masyarakat menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi serta memastikan kelangsungan manfaat jangka panjang untuk kebaikan ummah dan negara.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia