Penyalahgunaan Media Sosial Ancaman Perpaduan Kaum

Penyalahgunaan Media Sosial Ancaman Perpaduan Kaum | IKRAM

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi selain kewujudan Internet menyebabkan penggunaan media sosial menjadi semakin dominan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Setiap individu sudah tentu mempunyai akses terhadap Internet yang kini telah menjadi budaya dan keperluan harian. Hal ini kerana dengan Internet, segala maklumat terletak di hujung jari sahaja termasuk mengakses atau memuat turun pelbagai aplikasi media sosial.

Media sosial merupakan saluran komunikasi digital yang membolehkan para penggunanya berkongsi maklumat, berinteraksi dengan segera, berkomunikasi secara dua hala dan penghantaran mesej dengan cepat kepada beberapa individu pada masa yang sama.

Media sosial diklasifikasikan kepada projek kolaboratif, blog, komuniti kandungan, laman rangkaian sosial serta dunia permainan dan sosial maya.

Golongan muda didapati menggunakan media sosial sebagai memenuhi keperluan interaksi sosial, pencarian dan perkongsian maklumat, mengisi masa lapang, hiburan, meluahkan pandangan serta mencipta kandungan.

Media Sosial di Malaysia

Pengguna media sosial di Malaysia pada tahun 2022 adalah 91.7 peratus daripada jumlah penduduknya berbanding tahun 2021 (86%), 2020 (81%), 2019 (78%), 2018 (75%), 2017 (73%) dan 2016 (62%).

Pada tahun 2022, terdapat 30.25 juta pengguna media sosial di Malaysia berbanding 28 juta pada tahun 2021. 

Whatsapp merupakan platform media sosial yang paling kerap digunakan di Malaysia. Seterusnya adalah Facebook, Instagram, Telegram, Facebook Messenger, TikTok, Twitter, Wechat, Pinterest, LinkedIn, Discord, Snapchat, Skype, Line dan IMessage. 

Facebook mempunyai 21.70 juta pengguna di Malaysia pada tahun 2022 dan dijangka meningkat sehingga 23.98 juta pada tahun 2023, 23.7 juta (2024) dan 23.5 juta (2025). 

YouTube pula mempunyai 23.60 juta pengguna di Malaysia, manakala Instagram (15.55 juta pengguna), TikTok (14.59 juta pengguna), Facebook Messenger (12.15 juta pengguna), LinkedIn (6.30 juta pengguna), Twitter (4.40 juta pengguna) dan Snapchat (1.35 juta pengguna).

Fitnah di Media Sosial

Maklumat yang disebarkan melalui media sosial hendaklah mengambil kira kepentingan tanggungjawab untuk mendidik, membawa masyarakat ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Bagi membawa masyarakat ke arah kebaikan, maklumat atau kandungan yang dimuat naik dan disebarkan hendaklah bermanfaat terutama terhadap pemupukan perpaduan kaum.

Malangnya, media sosial kini dijadikan wadah bagi menyebarkan fitnah terutama terhadap individu, organisasi atau kaum-kaum tertentu. Individu yang mencipta dan menyebarkan kandungan atau maklumat berunsur fitnah telah digambarkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau patuhi setiap orang yang suka bersumpah dan suka menghina, yang suka mencela, yang ke sana ke mari menyebarkan fitnah, yang menghalang perbuatan baik, yang melampaui batas dan banyak dosa.” (Al-Qalam: 10 – 12)

Fitnah yang tersebar luas dalam media sosial mampu mencetuskan pergaduhan kerana kandungan yang dimuat naik berbentuk provokasi, berbaur perkauman dan menghina agama.

Masyarakat yang kurang pengetahuan terhadap sesuatu isu begitu mudah percaya dengan kandungan atau maklumat yang disebarkan tanpa sebarang tapisan. Allah SWT mengingatkan manusia melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya akan diminta bertanggungjawab.” (Al-Israa’: 36)

Penghinaan terhadap mana-mana agama dalam media sosial juga semakin membimbangkan. Walaupun Islam adalah agama yang diredai oleh Allah SWT, namun itu bukanlah ‘lesen’ untuk mempersenda agama lain.

Oleh yang demikian, Islam amat melarang penganutnya mempersendakan agama lain seperti yang dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik perbuatan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat mereka kembali, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan.” (Al-An’aam: 108)

Tragedi 13 Mei 1969

Susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat pengguna media sosial yang menjadikan tragedi 13 Mei 1969 sebagai kandungan yang sekali gus menimbulkan kegusaran awam.

Timbul tanda tanya, apakah motif sebenar mereka dengan mencipta kandungan yang boleh mengancam perpaduan kaum dan menggugat keamanan negara? Adakah mereka bangga dan gembira pertumpahan darah berlaku di negara ini? 

Menurut laporan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), seramai 196 orang maut, manakala 439 lagi cedera akibat tragedi 13 Mei 1969. Jumlah yang maut melibatkan 143 orang Cina, 25 orang Melayu dan 28 orang dalam kategori Lain-lain.

Jumlah cedera pula membabitkan 270 orang Cina, 127 orang Melayu dan Lain-lain adalah 42 orang. Manakala 9143 ditahan yang kebanyakannya atas kesalahan melanggar perintah berkurung.

Anugerah keamanan bukanlah mudah dikecapi apatah lagi dikekalkan. Usahlah diroboh tiang perpaduan demi meraih tontonan, perkongsian, sokongan dan undian. 

Tragedi 13 Mei 1969 atau mana-mana peristiwa yang membabitkan pergaduhan antara kaum tidak sepatutnya dijadikan kandungan dengan niat untuk mencetuskan provokasi.

Tragedi yang berlaku perlu dijadikan pengajaran agar sejarah hitam itu tidak berulang lagi. Namun, sebaliknya berlaku apabila wujud ‘keterujaan’ untuk mengulangi peristiwa berdarah tersebut.

Memetik kata-kata George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Hakikat adalah sebaliknya kerana mereka yang mengingati sejarah pasti akan mengulanginya yang bermakna kesilapan yang lalu mahu diulangi.

Implikasi daripada perbuatan mencipta dan menyebarkan kandungan seperti itu amatlah besar terhadap perpaduan kaum.

Kekang Kandungan Provokatif

Bagi mengekang penyebaran kandungan berunsur provokatif dan ekstremis dalam media sosial, penyedia aplikasi TikTok telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sebanyak 2,113 kandungan video dalam TikTok telah disekat secara automatik dari 12 hingga 26 November 2022 kerana didapati melanggar garis panduan komuniti media sosial tersebut. 

Pengguna media sosial juga perlu bertanggungjawab dengan menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang maklumat yang diterima sebelum kongsi kepada orang lain seperti terkandung dalam firman Allah SWT berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya membawa kepada penyesalan.” (Al-Hujurat: 6)

Hal ini bagi mengelakkan kandungan atau maklumat yang berbaur perkauman, provokatif dan keganasan selain berita palsu tidak tersebar.

Jauhi Prejudis

Sentimen perkauman timbul daripada prasangka atau prejudis. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka bermaksud sangka atau anggapan buruk terhadap sesuatu atau seseorang sebelum mengetahui yang sebenarnya.

Prejudis pula didefinisikan sebagai perasaan suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Allah SWT menegah sikap prasangka melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Kepelbagaian aplikasi media sosial harus dimanfaatkan untuk mengutuhkan lagi perpaduan kaum dan membuang prasangka.

Ciptalah kandungan yang bukan sahaja dapat mempromosikan kepelbagaian kaum, budaya dan perayaan kepada masyarakat antarabangsa, malahan mampu menguatkan lagi tali perpaduan.

Syukuri nikmat keamanan kurniaan Ilahi, jika tiada janganlah kesali!

Zulfiqar Mohd Yusof
Pensyarah Kolej Al-Quran Sayyidina Ali

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia