Seorang rakan saya yang sudah hampir 20 tahun terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pernah menulis sebuah hantaran di Facebook beliau tentang ibu bapa yang memberikan gajet kepada anak sementara menunggu makanan di kedai makan.
Beliau menulis berdasarkan pemerhatiannya iaitu menasihati ibu bapa agar lebih berkomunikasi dan berbual dengan anak daripada memberikan gajet sementara menunggu.
Hantarannya itu mendapat pelbagai kritikan dan kecaman terutamanya daripada para ibu.
Malah, ada yang menggunakan bahasa kesat dan menyerang peribadi serta keluarga rakan saya itu berdasarkan gambar-gambar di Facebook beliau, hanya kerana para ibu merasa defensif dan tidak bersetuju dengan beliau.
Soalan lazim yang ditanya apabila tidak bersetuju:
“Dia ni ada anak ke tak ni? Mesti tak ada anak kan.” Selalunya itulah ‘kesimpulan’ yang dibuat apabila dinasihati.
Rakan saya mempunyai empat orang anak, memiliki ijazah sarjana dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan memiliki rangkaian ‘playschool’ dan tadika beliau sendiri.
Oleh itu, beliau menulis dan menasihati bukan sahaja daripada pemerhatian dan pengalaman, malah juga berdasarkan ilmu pengetahuan.
Beri peluang anak-anak bereksplorasi
Saya sendiri berasa sedih melihat kanak-kanak sekarang yang tidak berpeluang untuk memerhati dan memberi perhatian kepada dunia sekeliling mereka.
Pemberian gajet tidak kira waktu dan tempat telah meragut minat dan kecenderungan semula jadi kanak-kanak untuk memerhati persekitaran mereka, memerhati benda yang bergerak, memerhati manusia yang bercakap, memerhati riak wajah dan memek muka manusia, memahami aktiviti yang berlangsung di sekeliling mereka.
Tidak terkecuali, mereka tidak dapat menikmati flora dan fauna di sekitar mereka, mempelajari adab dengan orang sekeliling, juga menghargai dan mensyukuri makanan yang disuap ke dalam mulut kerana mata tidak lepas daripada gajet.
Sebab utama yang diberikan oleh ibu bapa adalah tidak mahu anak meragam di kedai makan, tidak mahu anak merayau apalagi mengganggu orang lain.
Quick fix solution?
Perkara ini seumpama ayam dan telur. Apabila anak meragam, gajet diberikan, anak mendapat akal bagaimana untuk ‘memeras ugut’ ibu bapa agar memberikan gajet.
Kanak-kanak sangat bijak dan banyak akal mereka untuk mendapatkan apa yang mereka mahu (tidak semestinya perlu).
Saya sering melihat anak kecil yang tidak meragam terus diberikan gajet sebelum makan. Kita sering menyalahkan kanak-kanak ketagih gajet, walhal ibu bapa yang ketagih memberikan gajet kepada anak kerana itu ‘quick fix solution’.
Saya juga pernah melihat seorang anak kecil berusia lingkungan dua tahun yang kelihatan sangat tertarik membelek-belek buku menu di hadapannya akhirnya pasrah kerana buku menu itu digantikan dengan gajet oleh si ayah. Walhal, mereka sudah pun membuat pesanan dan anak itu belum meragam apabila gajet diberikan.
Biarlah dia membelek. Banyak yang boleh dibualkan dengan anak tentang menu dan gambar-gambar makanan. Selain itu, ayah boleh bacakan menu untuk anak agar dia tahu bahawa simbol yang dilihat itu mengeluarkan bunyi yang menghasilkan perkataan.
Baru-baru ini saya melihat dua orang kanak-kanak dari mula berjalan masuk ke kedai makan, sudah pun mata melekat ke gajet. Apabila mereka duduk sambung lagi dengan gajet, waktu makan mata masih asyik dengan gajet.
Saya terfikir jika alasan yang diberikan oleh ibu bapa bahawa tidak mahu anak meragam itu sah, maka alangkah kasihan anak-anak ini kerana ibu bapa mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menguruskan anak-anak ini hinggakan sepanjang masa harus bergantung kepada gajet.
Berwaspada dan berpada-padalah
Gajet menjadi ‘ayah’ dan gajet menjadi ‘ibu’ yang berbual, menasihati, memberi tumpuan, bercerita dan bergurau senda sementara menunggu makanan.
Gajet tidak dapat mengajar adab di meja makan dan gajet tidak dapat mengajar adab agar tidak mengganggu orang lain. Yang dapat mengajar adab ini hanyalah manusia yang memahami tentang adab, iaitu ibu bapa.
Selama berdekad lamanya anak-anak diajar adab di meja makan tanpa gajet. Berilah peluang untuk kanak-kanak memerhati persekitaran mereka apabila mereka berada di luar.
Banyak soal manusiawi yang boleh dipelajari dan dialami oleh kanak-kanak yang tidak mampu diajar oleh mesin. Gajet itu perlu tetapi pastikan gajet ada tempat dan waktunya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy