Masjid Al-Aqsa Memanggil Anda!

Masjid Al-Aqsa Memanggil Anda! | IKRAM

Apabila berlaku serangan terhadap mereka yang sedang solat di Masjid al-Aqsa, ramai di media sosial yang mengecam perbuatan Amerika Syarikat yang masih berdiri teguh di belakang Israel. Ramai pula yang seolah-olah mengharapkan sesuatu daripada presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden.

Sudah beberapa kali Amerika Syarikat menukar presiden, tidak pernah ada presiden yang tidak menyebelahi Israel. Kita juga melihat calon-calon presiden AS dalam kalangan parti Demokrat seperti Andrew Yang pun menyebelahi Israel walaupun Israel secara jelas melanggar nilai-nilai liberal yang dipegang oleh mereka.

Tidak boleh tidak, solusi untuk mempertahankan dan memerdekakan al-Aqsa tentunya perlu datang daripada kita. Kita sebagai manusia. Kita sebagai umat Islam. Kita sebagai warga yang teguh mempertahankan keadilan dan menentang kezaliman.

Apa yang kita boleh buat untuk memerdekakan al-Aqsa daripada penjajah-penjajah Yahudi Zionis selama-lamanya?

1. Doakan Palestin

Ini yang paling mudah untuk kita lakukan. Jangan pernah meragui kuasa doa.

Suatu ketika dahulu pada tahun 1071, seorang raja Turki Seljuk bernama Alp Arslan apabila menghadapi musuh yang kuat di peperangan Manzikert, baginda menyusun agar peperangan itu berlaku pada hari Jumaat, kerana ketika itu umat Islam di serata dunia sedang mendoakan kejayaan mereka. Hasilnya, mereka telah memenangi peperangan tersebut dengan sangat gilang-gemilang.

Namun, doa tanpa usaha takkan menyebabkan kemenangan. Tuhan takkan mengubah nasib sesuatu kaum yang tidak mengubah nasib diri mereka sendiri. Itu janji Tuhan. Begitu juga sunnah Nabi SAW. Baginda tidak berteleku di hadapan Kaabah dan hanya berdoa. Baginda berjuang dan berkorban menyampaikan dakwah.

2. Dermakan Harta

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka boleh menderma ke tabung-tabung Palestin termasuklah daripada NGO seperti Aqsa Syarif (MyCARE) dan lain-lain. Kewajipan berjihad dengan harta sering disebut bersama berjihad dengan jiwa.

3. Tingkatkan Kesedaran Masyarakat

Kita boleh bercerita kepada kawan-kawan, ibu bapa, adik-beradik dan semua kenalan kita tentang Palestin. 

Bangkitkan minat mereka. Ceritakan kepada mereka kenapa pentingnya al-Aqsa. Ceritakan kepada mereka kekejaman Israel. Ceritakan kepada mereka, agar mereka pun menjadi aktivis yang menyampaikan kepada masyarakat mengenai kezaliman Israel.

Lebih ramai umat Islam tahu tentang isu ini, lebih ramai akan mendoakan Palestin dan berusaha untuk membebaskan al-Aqsa. Lebih ramai masyarakat dunia yang tahu tentang isu ini, lebih ramai yang simpati dengan Palestin, maka lebih kuat tekanan yang boleh diberikan oleh dunia terhadap Israel.

4. Membaca sebanyak mungkin tentang sejarah konflik Israel-Palestin

Era ini era informasi. Israel akan menggunakan segala cara untuk menyebarkan propaganda mereka. Mereka akan menerobos media sosial dan cuba mengubah persepsi masyarakat.

Maka kita harus persiapkan diri kita dengan pengetahuan tentang isu Palestin. Kita mesti tahu bagaimana Israel menyebabkan perjanjian damai untuk mewujudkan solusi dua negara antara Palestin dan Israel menjadi mustahil melalui pendudukan haram Israel di Tebing Barat.

Kita mesti tahu PBB sudah pun mengisytiharkan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat itu dikira penempatan haram melalui Resolusi 2334. Kita mesti tahu bagaimana Israel diberikan kepada Yahudi oleh penjajah British yang menjajah tanah Palestin walaupun penduduk asalnya ialah penduduk Arab yang telah tinggal di sana zaman berzaman lalu disesarkan dan dihalau pada tahun 1948.

Yang paling penting, kita kena tahu Al-Aqsa sudah pun dibakar berkali-kali sebelum ini oleh penceroboh-penceroboh ini.

Dalam isu kali ini pun, Israel cuba mengatakan bahawa HAMAS yang memulakan serangan, sedangkan sudah jelas memang Israel yang menyerang al-Aqsa terlebih dahulu dan HAMAS cuma menyerang balas. Bahkan, HAMAS hanya berjuang untuk tanah air mereka yang dijajah. Penjajah tidak perlu berlakon menjadi mangsa.

Mempersiapkan diri dengan pengetahuan akan mempertahankan diri daripada termakan propaganda Israel dan membolehkan anda menjadi pahlawan papan kekunci yang lebih efektif untuk melawan propaganda Israel.

5. Boikot Syarikat Yang Menyokong Israel

Di Malaysia, kita tidak mempunyai hubungan ekonomi secara rasmi dengan Israel, maka produk-produk buatan Israel tidak terdapat di Malaysia. Pun begitu, beberapa produk yang menyokong kerajaan haram Israel patut diboikot oleh simpatisan Palestin dan al-Aqsa.

Pertamanya ialah produk elektronik HP atau Hewlett-Packard. Syarikat ini membekalkan teknologi yang membolehkan Israel mengawal penduduk Palestin, termasuklah penggunaan oleh tentera Israel untuk menyekat keluar masuk penduduk Gaza.

Kedua ialah G4S, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat sekuriti yang beroperasi di serata dunia. Di Israel, mereka memberikan latihan kepada polis Israel yang cukup terkenal dengan kekejaman dan penderaan terhadap warga Palestin.

Ketiga ialah syarikat Caterpillar, pembekal jentolak yang sering digunakan untuk merobohkan rumah-rumah orang Palestin.

Keempat ialah PUMA, penaja utama Persatuan Bola Sepak Israel (IFA). Mereka sering menaja pasukan-pasukan bola sepak Israel, kelab-kelab bola yang ditubuhkan di tanah-tanah yang dirampas secara haram oleh Israel.

Gerakan boikot ini amatlah berkesan, sehinggakan berkali-kali Israel meminta dunia untuk berhenti memboikot dan mengatakan bahawa ia adalah gerakan anti-Yahudi. Tidak, gerakan boikot bukan anti-Yahudi. Bahkan, ada banyak sahaja Yahudi yang menyokong Palestin. Gerakan boikot bersifat antikezaliman yang dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap Palestin.

6. Belajar Bersungguh-sungguh

Keunggulan tamadun Barat sekarang ialah kerana mereka mengepalai bidang-bidang ilmu. Melalui penguasaan ilmu, mereka menguasai teknologi seterusnya menguasai ekonomi. Apabila China berkembang menjadi kuasa besar pun, China mengembangkan penguasaan ilmu dan menguasai bidang teknologi seterusnya meningkatkan ekonomi mereka.

Atas sebab itu, kita seharusnya belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk merampas tampuk penguasaan ilmu daripada mereka. Tanpa ilmu, kita takkan boleh bersaing dengan AS yang menjadi sekutu kuat Israel. Akhirnya, kita akan dibuli dan terus dibuli sampai bila-bila.

Rasulullah SAW ketika berdepan dengan tentera yang ramai memanfaatkan strategi daripada Salman al-Farisi untuk membina parit untuk mempertahankan diri. Ketika berdepan dengan kubu-kubu, baginda menghantar pula orang untuk belajar teknologi manjanik iaitu pelontar batu untuk menghancurkan kubu.

Ketika awal Khilafah Bani Umayyah, mereka juga menggiatkan pengalihan bahasa ilmu-ilmu daripada Rom dan Yunani untuk dimanfaatkan dan dikembangkan oleh umat Islam.

Ya. Ilmu kunci kegemilangan.

7. Kukuhkan Kuasa Ekonomi

Israel kelihatan begitu kuat kerana terdapatnya Amerika Syarikat yang memberi wang yang sangat banyak kepada mereka. Teknologi dan senjata memerlukan wang. Pengaruh memerlukan wang. Makan minum pun memerlukan wang.

Segalanya lebih mudah dengan kuasa ekonomi. Atas sebab itu, kita harus membina kekuatan ekonomi kita agar kita dapat menyaingi AS, Israel dan sekutu-sekutunya.

Nampak mustahil?

Suraqah bin Malik RA ketika sedang mengejar Nabi SAW dan Abu Bakar RA yang berhijrah, berasa pelik apabila Nabi SAW menjanjikan beliau gelang Maharaja Parsi, sebuah empayar gergasi ketika itu.

Ketika itu, Nabi SAW tidak pun mempunyai seribu pengikut dan belum pun mempunyai negara. Tetapi pada zaman Khalifah Umar, Umar RA memakaikan gelang Maharaja Parsi di tangan Suraqah sebagai bukti kebenaran Nabi.

Ketika umat Islam di Madinah diancam untuk dikepung oleh 10,000 tentera dan dirasakan seluruh Arab datang menyerang Madinah, dalam keadaan umat tengah dikepung dan diserang, Nabi SAW menjanjikan istana-istana Rom dan Parsi kepada umat Islam. Tidak sampai 100 tahun selepas kewafatan baginda, umat Islam telah pun menawan Rom dan Parsi.

Kita boleh.

8. Membina Masyarakat

Untuk membina tamadun yang kuat dan tidak dibuli oleh orang lain, kita harus membina masyarakat yang baik. Kita takkan boleh membina tamadun seorang diri. Oleh itu, kita perlu bina masyarakat yang berdaya saing, berintegriti dan bersemangat juang.

Atas sebab itu, kita perlu turun ke akar umbi masyarakat, mendidik mereka, menjaga kebajikan mereka dan memberi mereka kehidupan yang lebih baik; agar mereka boleh menjadi aktivis yang menjadikan dunia ini lebih baik, agar anak-anak mereka dapat belajar bersungguh-sungguh menjadi orang yang menguasai ilmu dan teknologi, agar orang yang mereka undi ialah orang yang mampu membawa negara ini menjadi negara yang disegani di peringkat dunia.

Palestin akan menang. Al-Aqsa akan dibebaskan. Itu janji Tuhan. Adakah kita akan menjadi orang yang duduk diam menunggu takdir, ataukah kita yang berjuang membuktikan takdir Allah itu benar? Kita berbangga dengan Briged al-Qassam, tetapi sorak-sorai kita takkan menyebabkan mereka mampu membebaskan al-Aqsa.

Mereka menunggu kita untuk membebaskan al-Aqsa. Sementara kita bangkit, mereka mempertahankan maruah al-Aqsa semampu mereka.

Ayuh sahabat, kita dah lambat!

Azhari Azizi
Aktivis IKRAM Muda Pahang

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia