“Duhai anakanda, silakan tukar pakaianmu nak!”
“Kenapakah duhai bondaku?”
“Kerana kita akan ke lapangan terbang menghantar pakcikmu ke Makkah mengerjakan umrah bersama keluarga. Agak tidak manis bukan jika kamu berseluar panjang berkemeja?
Ah, bukankah ini juga sopan? Tambahan pula, bukan kita yang akan ke Makkah bondaku.”
Anak-anak zaman sekarang, indah sungguh budi bahasa.
“Jika begitu, apa sebab kamu berpakaian mengikut tema saat ke majlis sambutan hari lahir temanmu sedikit masa lalu duhai anakanda?”
“Semestinya mengikut tema bondaku, nanti canggung dengan teman-teman saat meraikan!”
“Nah! Itulah juga jawapan kepada persoalan anakanda dikasihi!”
Ruang seakan menjadi vakum dalam tempoh tiga saat dan difahami bahawa perbincangan tersebut sudah ada keputusan.
Pepatah lama ada menyebut, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak! Pepatah ini membawa maksud menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. Secara sosiologikal, situasi ini disebut budaya!
Tidak ada masyarakat yang tidak mempunyai kebudayaan. Begitu juga sebaliknya, tidak ada kebudayaan tanpa masyarakat.
Perkataan kebudayaan berasal daripada bahasa Sanskrit Buddha yang merupakan bentuk jamak daripada perkataan buddhi yang bermaksud budi atau akal. Perkataan culture pula berasal daripada bahasa Latin colere yang bermaksud mengusahakan tanah pertanian.
Cara hidup
Justeru, kebudayaan merupakan suatu cara hidup (way of life), idea, nilai-nilai, norma, peraturan, kelakuan berpola juga kebendaan dan penciptaan! Sementalahan pula Islam is the way of life! Islam ialah cara hidup.
Hatta kehidupan bertuhan di seantero dunia sekalipun tetap mempunyai cara hidup tersendiri. Dalam erti kata lain, kehidupan masyarakat mempunyai budayanya tersendiri.
Ironinya, semua budaya yang mendasari kehidupan ini berbentuk fahaman dan amalan terbaik yang cocok dengan amalan masyarakat setempat.
Tidak ada satu pun budaya baik masyarakat dunia yang membawa kepada kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian berupa budaya yang menyimpang, memburuk serta membinasakan. Budaya ini boleh dikatakan sebagai ‘best practice’ dalam sesebuah masyarakat yang diyakini sesuai dan mendasari latar budaya masyarakat tersebut.
Kes anakanda tadi, memanglah tidak ada ketetapan untuk berpakaian seperti apa pun. Tidak juga menjadi kesalahan jika tidak berpandukan apa-apa garis panduan, tidak! Cuma adalah lebih molek, manis dan berbudaya jika mengambil kira faktor-faktor meraikan dan tidak menjadi canggung dalam persekitaran. Bukankah apabila diterima dan nampak ‘sync’ itu ternyata lebih baik dan sejahtera?
Subbudaya
Isu terbaharu yang dikesan adalah sisi mewujudkan subbudaya (co-culture). Apakah subbudaya? Subbudaya ialah amalan, cara hidup, sikap dan sebagainya sekumpulan orang dalam budaya yang membezakan diri mereka daripada budaya induk yang diamalkan masyarakat seluruhnya.
Subbudaya mengembangkan norma dan nilai mereka sendiri mengenai hal-hal kultural, politik dan seksual. Ia adalah sebahagian daripada cara hidup masyarakat sambil mengekalkan ciri-ciri khusus. Contoh klasik subbudaya dalam kajian sosiologi dan budaya termasuklah hippies, goths dan bikers.
Konsep subbudaya dalam sisi semasa difahami umum seperti sedikit antisosial dan sedikit rebel. Seperti juga aktiviti melawan arus, seronok dilihat berlainan daripada aliran utama. Dalam genre muzik, ia semacam indie dan dalam bidang perfileman pula, ia boleh dilihat seperti golongan antagonis!
Terdapat satu lagi konsep yang dibincangkan juga berkaitan iaitu konsep ‘counter-cultures’ atau budaya saingan yang sering digambarkan sebagai kumpulan radikal orang yang menolak nilai dan amalan sosial yang mantap serta yang menerima cara hidup yang bertentangan dengan arus perdana.
Sejujurnya situasi subbudaya dan budaya saingan ini diyakini juga perlu wujud supaya ada semak dan imbang (check-and-balance) dalam aktiviti masyarakat dan dengannya kehidupan ternyata akan lebih meriah!
Cuma terkadang sisi subbudaya dan budaya saingan dalam masyarakat kita menjadi tidak normatif, terlalu berat dan menjadikan kita tersalah pilih! Lebih parah, ia menjadi aktiviti normalisasi sebagai pemati (kick-off).
Ya benar. Dari satu segi yang lain pula, elemen normalisasi sangat perlu. Budaya yang baik perlu dinormalisasikan manakala subbudaya yang tidak baik pula tidak memerlukan normalisasi! Malah situasi mencemar kemanusiaan tidak wajar diiktiraf sebagai subbudaya pun!
Dalam isu kemanusiaan Palestin, masyarakat dunia yang berbudaya tidak seharusnya menormalisasikan penjajahan sebagai subbudaya dan budaya saingan dunia orde baharu! Ia akan hanya menghalalkan pencerobohan, pembunuhan dan penjajahan!
Isu konsert Coldplay dan lelaki tidak setia bukanlah subbudaya dan budaya saingan yang perlu dinormalisasikan juga. Situasi ini bukanlah isu ‘gender-related’ kerana ia turut berlaku dalam kalangan wanita juga.
Tujahan subbudaya dan budaya saingan begini menjadikan masyarakat keliru dalam menilai, memberi respons dan bertindak. Justeru, sangat penting sebagai ahli masyarakat untuk mempunyai tahap literasi, pemerhatian dan pertimbangan waras dalam menjalani kehidupan seharian.
Hal ini bukan hanya berkaitan penerimaan ahli masyarakat, ‘sync’ atau teradun dalam aspek budaya dan subbudaya masyarakat semata-mata, tetapi elemen lebih sejati ialah nilai serta motivasi kendiri ke arah pemerkasaan diri! Telah dipersetujui bahawasanya keperibadian tinggi adalah pemangkin kemenjadian dan kejayaan.
Hubungan sesama manusia
Human being is a social animal. Manusia adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan dengan keperluan untuk berurusan dengan orang lain dalam mengurus kehidupan seharian.
Setiap hari kita pasti akan berurusan dengan orang lain. Tidak ada insan yang hidup bersendirian dalam dunia ini. Islam amat mementingkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT, dan pada masa yang sama turut menitikberatkan hubungan manusia dengan sesama manusia.
Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan memiliki akhlak yang mulia menerusi hadis yang maksudnya:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapusnya dan berurusanlah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Mutakhir ini, manusia giat memanfaatkan gajet canggih dan komunikasi maya seolah-olah tidak sah kehidupan seharian tanpa berinteraksi dengan telefon pintar masing-masing. Akhirnya ada dalam kalangan manusia yang gagal mengawal akhlak dalam diri sendiri.
Terdapat individu yang menzahirkan kelakuan tidak baik tatkala menggunakan media sosial sehingga meruntuhkan hubungan baik sesama manusia.
“Jika engkau tidak mampu berkata benar, maka usahlah bertepuk tangan untuk kebatilan.” (Terjemahan Juariah Ismail)
Daripada Abu Mas’ûd ‘Uqbah bin ‘Amr al-Anshârî al-Badri radhiyallâhu ‘anhu, dia berkata, “Rasulullah Salallahualaihiwasallam bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.’”
Akhlak dalam diri
Allah SWT menjelaskan perihal kepentingan akhlak dalam diri manusia, termasuk pada diri Rasulullah SAW. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam: Ayat 4)
Marilah kita menjaga akhlak dan keperibadian diri sendiri pada setiap masa sejajar dengan tuntutan Islam.
Orang lain sentiasa memerhatikan tingkah laku umat Islam sama ada untuk menjadikan kita sebagai contoh atau boleh jadi mereka ingin mencipta fitnah terhadap Islam kerana masih ada umat Islam yang gagal memiliki akhlak yang baik.
Yang lebih penting ialah menjadi versi terbaik kepada diri sendiri. Jadilah insan berilmu, bertakwa dan baik budi. Jadilah diri sendiri, jadilah user media sosial yang berintegriti, jadilah pempengaruh, youtuber dan founder yang mukmin!
Rasulullah SAW contoh ikutan terbaik, tiada insan lebih baik selain daripada baginda. Doa ini pernah diajarkan baginda berkaitan akhlak mulia (maksudnya):
“Ya Allah, tunjukkanlah aku akhlak yang paling baik kerana tidak ada yang boleh menunjukkannya melainkan-Mu. Dan jauhkanlah aku daripada akhlak yang buruk kerana tidak ada yang mampu menjauhkannya daripadaku selain daripada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Malu rasa di hati jika tadi anakanda tidak mempertimbangkan cadangan bonda itu.”
“Kenapakah duhai anakanda?”
“Manakan tidak bonda, semua khalayak di lapangan terbang tadi berpakaian seperti cadangan bonda, semua! Jika tidak tadi, malulah anakanda dah jadi pelancong!” (Sudah bijak bergurau senda anakanda kita.) “Maka, terima kasih dan alhamdulillah bonda atas nasihatnya.”
Dr Rosfazila Abd Rahman
Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan
Universiti Islam Selangor (UIS)