Bandwagon Effect: Hindari Budaya Terikut-ikut Trend

Bandwagon Effect: Hindari Budaya Terikut-ikut Trend | IKRAM

Fenomena bandwagon effect adalah sesuatu yang sering berlaku dalam masyarakat. Hampir semua orang pernah mengalami situasi di mana mereka berasa tertarik untuk mengikuti trend atau tindakan yang menjadi perbincangan umum.

Keadaan ini diibaratkan sebagai suatu bentuk penyakit sosial, di mana individu cenderung untuk mengikut arus tanpa membuat penilaian yang mendalam atau berfikir panjang.

Apa itu bandwagon effect?

Bandwagon effect merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mengikut tindakan, pandangan atau trend yang sedang popular dalam masyarakat, kerana merasakan bahawa kebanyakan orang lain juga sedang melakukannya.

Dalam konteks ini, wujud kepercayaan bahawa jika sesuatu menjadi trend atau popular, maka tindakan itu dianggap benar atau boleh diikuti walaupun pada hakikatnya tidak wajar dilakukan.

Kecenderungan menyelaraskan kepercayaan dan tingkah laku mereka dengan kumpulan tertentu ini juga dipanggil herd mentality yang boleh berlaku dalam pelbagai konteks termasuk politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Contoh paling mudah di media sosial, jika orang sekeliling melompat ke dalam trend terbaru di Instagram atau TikTok, maka trend ini akan diikuti oleh pengguna lain kerana keseronokan untuk berada dalam kelompok yang sama. 

Tidak lama dahulu, pernah ada suatu ketika berlaku musim ramai orang membeli atau borong bitcoin. Ramai pula yang terikut membeli bitcoin tanpa pengetahuan yang mendalam mengenainya hingga sebahagiannya kehilangan wang yang banyak dan ada yang muflis.

Maka menjadi persoalan, kenapa ramai orang terjebak dalam bandwagon effect atau trend? Adakah ini satu fenomena yang negatif?

Sebenarnya, hal ini tertakluk pada cara seseorang menguruskannya. Sekiranya trend yang diikuti menjadikan individu atau masyarakat lebih peka dengan isu semasa, menginspirasi atau memberikan nilai tambah pada diri, maka perkara ini menjadi usaha yang patut diteruskan.

Contohnya, apabila masyarakat terlibat dalam kempen amal atau kegiatan sukarela kerana tular, aktiviti ini telah memajukan masyarakat secara keseluruhannya.

Tetapi apabila terjadinya keadaan mengikut trend tanpa penilaian yang baik sehingga melibatkan tindakan yang menyalahi nilai, prinsip, adab  agama atau sehingga menjatuhkan maruah dan akhlak individu serta merosakkan masyarakat, maka perkara ini harus dihentikan.

Misalnya, trend bersedekah hingga kaya terlihat baik pada usahanya tetapi menyalahi konsep sedekah yang sepatutnya dibuat semata-mata kerana Allah tanpa mengharapkan ganjaran.  Ini boleh mengubah niat baik menjadi tindakan yang bercampur dengan motif peribadi. 

Juga perkara-perkara seperti aksi mesra antara suami isteri di khalayak ramai yang dinormalisasikan, walhal ini adalah perkara yang ditegah dalam agama kerana boleh menjatuhkan maruah atau kemuliaan akhlak seseorang.

Imam Nawawi menyebut dalam kitabnya, antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, ms. 345)

Bagaimana elak terikut-ikut trend?

Jadilah orang bijak dengan berfikir secara kritis terhadap apa jua tindakan yang dilakukan. Adakah perkara tersebut menjadi amal atau pekerjaan tanpa manfaat? Tanya pada diri sendiri tentang tujuan perkara tersebut dibuat dan adakah ia mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain.

Seseorang harus ada nilai diri dan berpegang teguh pada prinsip yang benar. Pengiktirafan sosial bukan hal yang penting dibandingkan dengan menghormati pegangan diri.

Tidak perlu terikut-ikut membuat apa yang semua orang buat kerana setiap individu mempunyai hak untuk membuat keputusan yang berbeza. Semua orang adalah unik dan itu yang membuatkan masyarakat saling melengkapi. 

Sebelum bertindak, cari maklumat dan fikirkan kesan tindakan tersebut. Beri peluang pada diri sendiri untuk menilai tanpa tergesa-gesa. Berbincanglah dengan orang yang dipercayai untuk mendapatkan pandangan yang lebih luas.

Ingatlah, setiap orang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang bijak berdasarkan nilai-nilai yang dipegangnya. Jangan biarkan tekanan sosial atau keinginan untuk mengikuti trend mengatasi batasan adab, prinsip dan agama.

Jadikan diri menjadi individu yang memberikan nilai tambah kepada masyarakat dengan memberikan maklumat berguna, menginspirasi atau memberikan hiburan yang positif dan membina. 

Fikir panjang, nilai dengan bijak dan kritis sebelum bertindak bagi mengelakkan diri terjebak dalam trend yang tidak memberikan manfaat, apatah lagi yang meruntuhkan masyarakat.

Jangan jadi orang yang suka mengikut-ikut tanpa landasan ilmu. Bak kata peribahasa Aceh, seperti lembu menggigit upih pinang.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia