Ramadan merupakan makhluk istimewa diciptakan Allah SWT berupa ruang dan peluang bagi orang-orang yang beriman memperbaiki diri. Mereka yang kuat keazamannya akan merasakan Ramadan datang dan akan berlalu dengan kadar yang segera sekali.
Berbeza dengan orang yang tidak bersungguh-sungguh untuk memaknai Ramadan, akan merasakan Ramadan sebagai beban yang mengambil masa yang lama untuk berlalu pergi.
Pengampunan dosa-dosa lalu adalah antara keistimewaan peluang yang mesti direbut oleh setiap Muslim dengan kedatangan Ramadan. Daripada Abdurrahman bin Auf, Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَهُ وَقَامَهُ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا خَرَجَ مِنْ ذُنُوْبِهِ كَيَوْمٍ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan beribadah (solat tarawih) pada malam harinya kerana iman dan mengharapkan ganjaran Allah SWT, maka keluarlah ia daripada segala dosa-dosanya sebagaimana bayi yang baru lahir daripada kandungan ibunya.” (HR Ahmad No. 1660 dan Ibnu Majah No.1328, Disahihkan al-Albani)
Setiap daripada kita boleh mengukur pencapaian diri pada satu pertiga terakhir Ramadan ini. Sejauh manakah usaha telah dilakukan untuk merebut peluang keampunan tersebut?
Sebanyak manakah masa yang diperuntukkan pada siang ataupun malam untuk merenung kesilapan lalu dan memohon keampunan daripada Allah Taala?
Syafaat ketika sukar
Ramadan dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Beruntunglah orang yang menjadikan Ramadan sebagai rutin untuk mengulangkaji al-Quran dengan lebih kerap dan rapat.
Kitab mukjizat ini mestilah ditunaikan haknya dengan tilawah, tadarus dan tadabbur agar menjadi panduan dan pedoman dalam kehidupan. Bacalah al-Quran dengan lebih banyak ketika Ramadan.
Itulah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri bersama Jibril a.s. dan para sahabat. Daripada Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW bersabda:
الصِّيامُ والقرآنُ يشفعان للعبدِ يومَ القيامةِ يقولُ الصِّيامُ أيْ ربِّ منعتُه الطَّعامَ والشَّهوةَ فشفِّعني فيه ويقولُ القرآنُ منعتُه النَّومَ باللَّيلِ فشفِّعني فيه قال فيشفعان
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata, “Ya Rab, aku telah menghalang makan dan syahwatnya, maka berikan syafaat untukku kepadanya.” Al-Quran berkata, Ya Rab, aku telah menghalangnya tidur pada malam hari, maka berikan syafaat untukku kepadanya.” Baginda bersabda : “Lalu kedua-duanya memberi syafaat.” (HR Ahmad No. 6626, Thabrani 14/72 No. 14672 dan Hakim No. 2036, Hadis Hasan))
Kita sedang memasuki fasa 10 terakhir Ramadan, keadaan makin sengit dan ruang makin menghimpit. Pengisian 10 malam terakhir seharusnya dimeriahkan lagi dengan solat, taubat dan doa penuh pengharapan kepada Allah SWT.
Bertilawahlah dan bertadaruslah hingga penat dan lelah. Moga bacaan tersebut akan membantu ketika susah di alam barzakh.
Pedoman para salafussoleh
Sheikh bin Baaz rahimahullah berkata:
“Suatu waktu dulu para salafus soleh apabila masuk bulan Ramadan, maka mereka sibuk dengan al-Quran dan hadis, menuntut ilmu dan majlis taklim. Ini yang majoriti yang dilakukan oleh golongan salaf.”
Maka sudah sewajarnya kita sebagai seorang mukmin baik lelaki ataupun wanita, untuk menyibukkan dirinya dengan al-Quran yang mulia dengan membacanya, mentadabburnya, memahaminya, dan membacanya dengan kitab-kitab tafsir, serta perkara lainnya yang berhubungan dengan al-Quran dan fokusnya dengan al-Quran.
Jangan pula kita terjerumus ke lembah tanggapan yang salah. Ada sebahagian pihak mendakwa, janganlah bersikap hipokrit, banyak membaca al-Quran ketika Ramadan sahaja, banyak melakukan solat sunat ketika Ramadan cuma.
Ini semua tanggapan kurang tepat yang tidak akan membawa Muslim ke mana-mana melainkan kerugian yang besar. Kerugian yang dimaksudkan kerana terlepas peluang keampunan dan barakah yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Kesungguhan boleh diukur
Kesungguhan boleh diukur kepada masa yang kita peruntukkan untuk beribadah. Keazaman kita juga diukur dengan wang dan tenaga yang dikhususkan untuk melakukan pengorbanan sempena kedatangan Ramadan.
Masih belum terlambat melipatgandakan usaha untuk beribadah dan bersedekah. Biarlah kita menangis pada pagi Aidilfitri kerana merindukan Ramadan yang telah pergi, bukan menangis menyesali diri kerana membiarkan Ramadan pergi tanpa pengisian ibadah serta taubat yang cukup sesungguhnya.
Maka pada ketika itu, tiada sesiapa yang perlu disalahkan melainkan diri sendiri yang bersikap sambil lewa dan acuh tak acuh dengan tawaran Allah Yang Maha Esa.
Kata orang, buatlah sesuatu dengan dengan melihat apakah penghujungnya akan dicapai. Penghujung kepada ibadah puasa ialah TAKWA yang ingin diraih buat bekalan menjalani kehidupan dan bukti ketaatan untuk memasuki syurga-Nya.
Moga 10 malam terakhir yang berbaki ini dapat dimuatkan dengan perkara-perkara penting berupa zikir, solat, taubat dan munajat.
Moga-moga tahun hadapan kita masih berpeluang mendepa tangan untuk mendakap lagi Ramadan yang menjanjikan hamparan keampunan dan rahmat.
Teruskanlah pecutan kita.
Dr Hamidah Mat
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN),
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM)