KUALA LUMPUR, 30 April 2026 – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah hadir memberi input strategik dalam Mesyuarat Libat Urus Pemerkasaan Lelaki anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada Khamis, 30 April lalu.
Dalam pertemuan yang menghimpunkan hampir 40 wakil daripada agensi kerajaan, pakar akademik dan 24 NGO, IKRAM diwakili oleh Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat, Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan.
Mesyuarat ini bertujuan untuk merangka gerak kerja bagi Kajian Lelaki Budiman Negara, salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) melalui Strategi B4.8 yang memfokuskan kepada pengukuhan institusi kekeluargaan.

Justifikasi kajian dan isu sosial semasa
Pelaksanaan kajian ini dilihat kritikal bagi menangani beberapa isu sosial yang semakin meningkat di Malaysia, antaranya:
- Keganasan Rumah Tangga: Rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 29% dengan 7,116 kes pada tahun 2024 berbanding 5,507 kes pada tahun sebelumnya.
- Krisis Perceraian: Sebanyak 60,457 kes perceraian dicatatkan pada tahun 2024 akibat ketiadaan persefahaman dan kurangnya tanggungjawab dalam rumah tangga.
- Kesihatan Mental: Kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki dikesan tiga kali lebih tinggi berbanding wanita akibat tekanan ekonomi dan norma maskuliniti.
- Pendidikan: Isu keciciran lelaki dalam enrolmen pendidikan turut memberi kesan langsung kepada peranan mereka dalam institusi keluarga.
Hala tuju Kajian Lelaki Budiman Negara
Projek yang bakal dilaksanakan selama 18 bulan bermula Julai 2026 sehingga Disember 2027 ini akan menumpukan kepada beberapa objektif utama, antaranya termasuklah membangunkan Definisi Nasional Lelaki Budiman serta mengenal pasti keperluan dan cabaran golongan lelaki merentas pelbagai segmen masyarakat.
Hasil kajian ini akan digunakan untuk membina Prototaip Pendidikan Lelaki Budiman dan kerangka strategik bagi menyokong perancangan dasar serta intervensi di peringkat kebangsaan.

Langkah ini selaras dengan agenda nasional KASIH Keluarga Negara yang menekankan peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pendidik yang berwibawa dalam keluarga.
Penglibatan aktif IKRAM dalam sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan pertubuhan dalam menyokong usaha kerajaan ke arah mewujudkan keluarga yang lebih sejahtera, harmoni dan berdaya tahan.




