Kesatuan ummah sering disebut sebagai satu keperluan penting bagi umat Islam. Namun, kesatuan tidak seharusnya terhenti pada seruan supaya semua pihak bersatu. Ukuran sebenarnya ialah sejauh mana kesepakatan itu mampu menggerakkan usaha bersama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi umat.
Hari ini, umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kemiskinan, jurang pendidikan, kelemahan kepimpinan, kemunduran ekonomi dan masalah sosial. Isu-isu ini saling berkait dan memerlukan perhatian yang serius. Usaha menanganinya juga tidak boleh bergantung pada satu organisasi atau gerakan Islam sahaja.
Setiap organisasi mempunyai kekuatan, kepakaran dan pengalaman tersendiri. Ada yang mempunyai pengalaman dalam pendidikan, ada yang aktif dalam kerja kebajikan, manakala yang lain memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat dan kepimpinan. Jika kekuatan ini dapat digabungkan, usaha membantu umat boleh dilaksanakan dengan lebih luas dan berkesan.
Di sinilah pentingnya kesatuan. Bukan sekadar untuk menunjukkan bahawa gerakan Islam boleh duduk semeja, tetapi untuk memastikan pertemuan dan kesepakatan itu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.
Keperluan membina kesatuan dan kerjasama ini turut menjadi tumpuan Muktamar Antarabangsa Penyatuan Ummah (Muktamar al-Wahdah) pada 28 hingga 30 Oktober lalu di Istanbul anjuran Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS).
Muktamar yang menghimpunkan kira-kira 250 ulama, pemikir dan pendakwah terpilih dari lebih 30 negara itu membincangkan usaha memperkukuh kesatuan umat Islam serta membina kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran semasa.
Perbincangan ini mengangkat satu persoalan penting iaitu, bagaimana kesepakatan dalam kalangan gerakan dan pemimpin Islam dapat diterjemahkan kepada usaha bersama yang memberi manfaat kepada umat? Persoalan tersebut telah saya jawab dalam ucapan ringkas dalam muktamar tersebut.
Kesatuan tidak bermaksud semua pihak mesti bersetuju
Salah satu cabaran dalam membina kesatuan ialah perbezaan pandangan dan pendekatan antara organisasi. Setiap gerakan mempunyai sejarah, pengalaman dan keutamaan tersendiri. Perbezaan ini tidak perlu menjadi penghalang kepada kerjasama.

Kesatuan tidak menuntut semua pihak bersetuju dalam setiap perkara. Sebaliknya, organisasi Islam perlu mencari titik persamaan, mengenal pasti perkara yang boleh disepakati dan menentukan bidang yang boleh diusahakan bersama. Dalam perkara yang berbeza pandangan, ruang perbincangan perlu dibuka dengan ilmu, adab dan sikap saling menghormati.
Pendekatan ini penting supaya perbezaan tidak menular menjadi perselisihan yang mencerai-beraikan. Tenaga dan sumber yang ada lebih baik dimanfaatkan untuk menangani masalah umat daripada dihabiskan dalam pertikaian sesama sendiri.
Prinsip inilah yang menjadikan kesatuan lebih lestari. Ia bukan berkenaan keseragaman fikiran, tetapi kesediaan untuk bekerjasama demi matlamat yang lebih besar.
Apakah peranan Piagam Wasatiyyah?
Di sinilah terletak kepentingan Piagam Wasatiyyah. Kesatuan ummah tidak akan terbina dengan memaksa semua gerakan Islam mempunyai pendekatan yang sama.
Sebaliknya, ia memerlukan kesediaan untuk mencari titik persamaan, menghormati perbezaan dan mengutamakan perkara yang boleh dilakukan bersama. Prinsip wasatiyyah yang menekankan keseimbangan, keadilan, kesederhanaan dan kecemerlangan menyediakan asas untuk membina sikap tersebut.
Namun, kesepakatan pada peringkat prinsip sahaja belum cukup untuk menggerakkan perubahan. Piagam ini tidak seharusnya berakhir sebagai dokumen yang dipersetujui, sebaliknya perlu menjadi panduan kepada tindakan bersama.
Gerakan Islam perlu lebih proaktif menterjemahkan kesepakatan kepada tindakan dengan mengenal pasti keutamaan umat, menggabungkan kepakaran dan sumber serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Daripada dialog kepada projek bersama
Kesatuan yang berkesan memerlukan lebih daripada pertemuan dan perbincangan. Dialog penting untuk membina kefahaman, tetapi langkah seterusnya ialah menterjemahkan hasil perbincangan kepada tindakan.
Dalam konteks ini, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) yang menghimpunkan IKRAM, ABIM, WADAH dan HALUAN mempunyai ruang untuk memainkan peranan sebagai platform kerjasama antara gerakan Islam. Dua siri Dialog Ummah yang telah diadakan menjadi antara usaha membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi umat Islam di Malaysia.
Perbincangan seperti ini perlu diteruskan dengan agenda yang lebih tersusun. Antara bidang yang boleh diteroka termasuk pendidikan, pembangunan keluarga, kebajikan masyarakat, ekonomi dan kepimpinan belia. Setiap organisasi boleh menyumbang berdasarkan kepakaran serta kemampuan masing-masing.
Kerjasama tidak semestinya bermula dengan projek yang besar. Usaha kecil yang dirancang dengan baik, dilaksanakan secara konsisten dan memberi manfaat kepada masyarakat juga mampu membina kepercayaan antara organisasi. Apabila kepercayaan semakin kukuh, lebih banyak ruang kerjasama dapat dibuka.
Apa yang penting ialah setiap pertemuan mempunyai susulan yang jelas. Isu yang dibincangkan perlu disertai tindakan, pihak yang bertanggungjawab dan matlamat yang ingin dicapai. Dengan cara itu, dialog tidak berakhir sebagai perbincangan semata-mata.
Anak muda perlu dilibatkan dalam membina masa depan ummah
Masa depan kesatuan ummah turut bergantung pada keupayaan melahirkan generasi pelapis yang mampu meneruskan dan mengembangkan usaha ini. Justeru, golongan muda, khususnya Gen Z, tidak boleh sekadar dilihat sebagai pewaris, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada proses membina masa depan umat.
Untuk itu, penglibatan mereka perlu melangkaui kehadiran dalam program atau perhimpunan. Anak muda perlu diberi peluang menyumbang idea, terlibat dalam perancangan dan memikul tanggungjawab melaksanakan strategi organisasi. Pengalaman sedemikian dapat membina kefahaman, kematangan dan keupayaan memimpin.
Usaha ini perlu disokong dengan modul kepimpinan serta program pembangunan yang tersusun. Dialog dan perhimpunan ummah juga wajar membuka ruang lebih besar kepada suara generasi muda, bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai rakan yang turut menentukan agenda dan hala tuju.
Kesatuan ummah akan lebih terjamin kesinambungannya apabila generasi pelapis bukan sahaja dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan, tetapi turut diberi peluang membina pengalaman sejak sekarang.
Kesatuan perlu diukur melalui manfaat kepada umat
Kesatuan ummah akhirnya perlu memperlihatkan hasil yang melangkaui hubungan baik antara organisasi. Apabila kepakaran, pengalaman dan sumber dapat digabungkan, gerakan Islam sepatutnya mampu melakukan sesuatu yang sukar dicapai secara bersendirian.
Masalah pendidikan dapat ditangani melalui usaha yang lebih tersusun, golongan memerlukan dapat dibantu dengan lebih meluas dan generasi muda mendapat peluang untuk dibimbing serta dipersiapkan sebagai pemimpin.
Inilah cabaran sebenar kepada setiap usaha menyatukan ummah. Bukan sekadar membina kesepakatan dalam kalangan pemimpin organisasi, tetapi memastikan kesepakatan itu membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.
Piagam Wasatiyyah, dialog dan kerjasama antara gerakan Islam hanya akan memperoleh makna apabila kekuatan yang dihimpunkan benar-benar digunakan untuk menjawab keperluan umat.
Persoalannya bukan lagi sejauh mana gerakan Islam mampu mencapai kesepakatan, tetapi sejauh mana mereka sanggup menggembleng kekuatan bersama untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap umat.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




