Pernahkah seorang suami berasa segala usahanya masih belum cukup di mata isteri? Nafkah sudah diberikan, tempat tinggal disediakan dan keperluan keluarga diusahakan. Namun, masih ada perkara yang diminta dan belum dapat dipenuhi.
Dalam masa yang sama, isteri pula berasa penat mengurus rumah, menjaga anak dan membantu kewangan keluarga, tetapi sumbangannya seolah-olah tidak dipandang. Apa yang dilakukannya setiap hari dianggap perkara biasa. Malah, permintaan untuk mendapatkan bantuan kadangkala disambut dengan rungutan.
Lalu bermulalah perhitungan. Siapa lebih banyak berkorban? Siapa lebih penat? Siapa lebih banyak memberi? Siapa pula yang sepatutnya mengalah?
Kedua-duanya mahu difahami. Namun, dalam mempertahankan sumbangan sendiri, masing-masing boleh terlupa bahawa pasangan juga mempunyai beban dan keperluan yang perlu diperhatikan.
Persoalannya, apabila setiap pemberian mula menuntut balasan dan setiap pengorbanan mahu dihitung, adakah pasangan masih dilihat sebagai teman hidup atau sekadar pihak yang perlu memenuhi tuntutan?
Perkahwinan memang mempunyai hak dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Namun, jika hubungan hanya berlegar pada apa yang wajib diberikan dan apa yang berhak diterima, ada satu nilai penting yang semakin terpinggir iaitu ihsan.
Mengapa pasangan semakin berkira?
Suami yang pulang selepas seharian bekerja mengharapkan ruang untuk berehat. Isteri yang seharian mengurus rumah dan anak-anak juga mengharapkan perkara yang sama. Kedua-duanya penat, tetapi apabila seorang terlalu tertumpu pada beban sendiri, dia mudah untuk terlepas pandang kepenatan pasangan.
Lama-kelamaan, masing-masing mula mempertahankan sumbangan sendiri. Suami merasakan nafkah yang diberikan sudah mencukupi, manakala isteri merasakan urusan rumah tangga tidak selesai dengan wang perbelanjaan semata-mata.
Di sinilah hubungan mula berubah menjadi gelanggang perhitungan, sedangkan perkahwinan bukan urusan untung rugi yang setiap pemberian mesti dibalas dengan pulangan setimpal.
Memang ada tanggungjawab yang ditetapkan oleh syarak dan hak yang wajib ditunaikan. Namun, kehidupan berumah tangga turut memerlukan persefahaman, kerjasama dan pengorbanan yang lahir daripada kasih sayang.
Pada masa yang sama, pengorbanan tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan ketidakadilan. Hak isteri tidak boleh diabaikan atas nama ketaatan sebagaimana sumbangan suami tidak wajar dinilai hanya berdasarkan wang yang mampu diberikannya.
Ihsan bukan bermaksud mengabaikan hak sendiri. Sebaliknya, ihsan mengajar pasangan menunaikan tanggungjawab dengan mengambil kira perasaan, keadaan dan keperluan orang yang dikasihi.
Jika tidak wajib, adakah bermakna tidak perlu dilakukan?
Satu kecenderungan yang boleh merenggangkan hubungan ialah apabila setiap permintaan dinilai melalui satu ukuran, “wajib atau tidak?”
Dalam soal nafkah, kewajipan suami memang perlu difahami dan ditunaikan berdasarkan ketetapan syarak, kemampuan serta keperluan yang sewajarnya. Namun, kehidupan berkeluarga tidak seharusnya terhenti pada penentuan batas minimum kewajipan.
Misalnya, hadiah hari lahir, membawa pasangan makan di luar atau membantu kerja rumah mungkin bukan kewajipan khusus dalam setiap keadaan. Begitu juga keperluan penjagaan diri isteri yang perlu dilihat berdasarkan keadaan dan kemampuan keluarga. Namun, perkara-perkara ini boleh menjadi cara untuk menyatakan kasih sayang dan penghargaan.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 19:
“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang makruf.”
Prinsip mu’asyarah bil ma’ruf menuntut suami isteri saling melayani dengan baik, menghormati dan mempertimbangkan keadaan pasangan. Hubungan tidak sepatutnya dibina dengan sekadar bertanya apa yang wajib dilakukan, tetapi juga dengan memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk menggembirakan dan meringankan beban pasangan.
Hak ialah sesuatu yang wajib ditunaikan. Ihsan pula mencerminkan kualiti seseorang ketika menunaikan hak tersebut. Jika setiap kebaikan perlu menunggu sehingga diwajibkan, banyak ruang untuk menyuburkan kasih sayang akan terlepas begitu sahaja.
Adakah tanggungjawab suami dan isteri perlu dipisahkan secara mutlak?
Kefahaman tentang peranan suami dan isteri turut menentukan cara tanggungjawab dilaksanakan dalam keluarga.
Ada suami yang menganggap tugasnya selesai apabila nafkah diberikan, manakala urusan rumah dan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada isteri. Ada pula isteri yang memfantasikan semua kehendaknya dipenuhi tanpa mengambil kira kemampuan kewangan keluarga.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila kedua-duanya bekerja, tetapi sebahagian besar urusan rumah dan pengasuhan anak masih dipikul oleh isteri. Beban ini mudah tidak disedari apabila sesuatu tugas sudah menjadi kebiasaan.
Konsep qawwamah bukan lesen untuk suami menguasai keluarga tanpa mengambil kira pandangan dan keperluan isteri. Ia datang bersama amanah dan tanggungjawab.
Pada masa yang sama, sumbangan isteri tidak boleh dinilai berdasarkan wang yang dibawa pulang semata-mata. Pengurusan rumah, pengasuhan anak dan usaha menjaga kesejahteraan keluarga juga mempunyai nilai yang besar.
Tanggungjawab suami dan isteri mempunyai asas serta ketetapan yang perlu dihormati. Namun, pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan pertimbangan terhadap keadaan sebenar keluarga termasuk kemampuan, kesihatan, pekerjaan dan keperluan anak-anak.
Membantu pasangan yang sedang terbeban bukan bermakna menghapuskan peranan masing-masing. Sebaliknya, itulah tanda bahawa amanah keluarga dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan orang yang berkongsi kehidupan bersama.
Perkahwinan bukan sekadar menunaikan hak, tetapi membina sakinah
Apakah tujuan sebenar sebuah perkahwinan? Adakah cukup sekadar suami menunaikan nafkah, isteri melaksanakan tanggungjawab dan kedua-duanya tidak melanggar hak masing-masing?
Jika itu sahaja ukurannya, perkahwinan mungkin dapat bertahan, tetapi belum tentu menjadi tempat hati menemukan ketenangan.
Allah SWT menjelaskan dalam Surah ar-Rum, ayat 21 bahawa antara tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan agar manusia memperoleh ketenangan (sakinah), serta menjadikan antara mereka kasih sayang (mawaddah) dan belas ihsan (rahmah).
Sakinah menghadirkan rasa aman dalam hubungan. Mawaddah menyuburkan kasih dan keinginan untuk mendekati pasangan. Rahmah pula mengajar pasangan berbelas ihsan, terutama ketika berhadapan kelemahan, kesusahan dan kekurangan.
Ketiga-tiganya tidak hadir secara automatik selepas pernikahan. Ia perlu dipupuk melalui usaha, kefahaman dan kesediaan menjaga hubungan, termasuk ketika kehidupan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Suami isteri perlu belajar menegur tanpa menghina, meminta tanpa memaksa dan memberi tanpa mengungkit. Inilah perbezaan antara sekadar tinggal bersama dengan benar-benar membina kehidupan bersama.
Menjadi penyejuk mata hati, bukan sekadar pemenuh tuntutan
Allah SWT merakamkan satu doa yang indah dalam Surah al-Furqan, ayat 74:
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.”
Doa ini bukan sekadar permohonan agar dikurniakan pasangan yang menyenangkan hati. Ia juga menggambarkan cita-cita membina keluarga yang membawa kebaikan dan menjadi teladan dalam ketakwaan.
Namun, ketika berdoa agar pasangan menjadi penyejuk mata hati, adakah seseorang turut berusaha menjadi penyejuk hati pasangannya? Ketika mengharapkan pasangan memahami kesusahannya, adakah dia juga berusaha memahami kesusahan pasangan?
Doa ini mengajak setiap pasangan melihat bukan sahaja apa yang diharapkan daripada orang yang dikasihi, tetapi juga apa yang perlu diusahakan dalam dirinya sendiri.
Hal ini bukan bermakna seseorang perlu menyalahkan diri apabila haknya diabaikan atau berlaku ketidakadilan. Setiap pihak tetap bertanggungjawab terhadap perbuatannya.
Namun, keluarga yang menyejukkan mata hati tidak terbina dengan hanya menunggu pasangan berubah. Kedua-duanya perlu bersedia memperbaik diri, menunaikan tanggungjawab dan mencari penyelesaian yang menjaga hak serta maruah masing-masing.
Akhirnya, perkahwinan bukan medan untuk membuktikan siapa paling banyak berkorban atau siapa paling banyak menerima. Ia adalah amanah untuk saling membantu menuju kebaikan.
Jangan hanya berdoa agar dikurniakan pasangan yang menyejukkan mata hati. Berusahalah juga menjadi pasangan yang membawa ketenangan, menyuburkan kasih sayang dan menghadirkan rahmah.
Hak perlu ditunaikan dan tanggungjawab tidak boleh diabaikan. Namun, ihsanlah yang menjadikan semua itu sebahagian daripada kehidupan bersama yang penuh makna. Tanpanya, perkahwinan mungkin terus bertahan atas dasar kewajipan, tetapi belum tentu menjadi hubungan yang menenangkan jiwa.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




