Rumah Tangga Bukan Pertandingan Siapa Paling Menang

Lelakiherokeluarga

“Saya dah buat macam-macam untuk keluarga.”

“Saya pun penat. Bukan saya seorang yang ada tanggungjawab.”

“Kenapa awak tak pernah faham saya?”

Barangkali dialog seperti ini pernah kita dengar, atau tanpa sedar pernah diucapkan sendiri. Perkara yang kecil seperti pinggan yang belum dibasuh, perbelanjaan yang tidak dipersetujui, atau rancangan hujung minggu boleh bertukar menjadi pertengkaran apabila masing-masing berasa tidak difahami.

Ketika emosi menguasai, sesiapa mudah terperangkap dalam keinginan untuk membuktikan bahawa dirinya benar. Kita mahu pasangan mengakui kesilapannya, menerima pandangan atau mengalah terlebih dahulu. Namun, selepas hujah dimenangi dan pasangan terdiam, adakah masalah benar-benar selesai? Atau kita cuma berjaya menamatkan perbualan, sedangkan hati masing-masing semakin jauh?

Rumah tangga bukan pertandingan yang memerlukan seorang pemenang dan seorang yang kalah. Apabila seorang terluka, hubungan itu turut menerima kesannya. Kemenangan yang membuat pasangan berasa kecil, tidak dihargai atau tidak didengari akhirnya bukan kemenangan untuk keluarga. 

Menghargai sumbangan

Tanpa sedar, adakalanya kita mula mengira segala yang telah dilakukan. Siapa lebih banyak bekerja, siapa lebih kerap mengurus anak, siapa lebih banyak mengalah dan siapa yang paling penat. Rumah tangga seolah-olah mempunyai buku akaun yang perlu sentiasa diseimbangkan.

Sudah tentu pembahagian tanggungjawab itu penting. Tiada pasangan yang sepatutnya dibiarkan memikul semua beban seorang diri. Namun, hubungan akan terasa semakin berat jika setiap kebaikan dijadikan hutang dan setiap pengorbanan menuntut bayaran segera.

Menjadi satu pasukan bukan bermakna kedua-duanya mesti melakukan perkara yang sama banyak pada setiap masa. Ada waktu suami perlu mengambil lebih banyak tanggungjawab; ada waktu isteri pula menjadi tempat keluarga bergantung.

Keadaan, kesihatan, tuntutan kerja dan keperluan anak-anak boleh berubah. Yang penting ialah kesediaan untuk berbincang, saling membantu dan memastikan tiada pihak yang terus-menerus terbeban.

Daripada bertanya, “Siapa yang dah buat lebih banyak?” cuba tanyakan, “Apa yang kita perlukan supaya urusan keluarga menjadi lebih baik?” Perubahan kecil dalam cara kita melihat masalah boleh membuka ruang kepada kerjasama.

Yang kita perlukan ialah rasa difahami

Pertengkaran tentang kerja rumah sebenarnya bukan semata-mata tentang pinggan atau pakaian yang belum berlipat. Di sebaliknya mungkin ada rasa letih, kesunyian, kecewa atau keinginan untuk dihargai. Begitu juga pasangan yang memilih untuk berdiam diri. Diamnya mungkin bukan tanda tidak peduli; dia mungkin buntu, tertekan atau tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan perasaannya.

Kita tidak boleh mengetahui isi hati pasangan dengan meneka atau membuat andaian. Sebab itu, bertanya dan mendengar sangat penting. Ada masa pasangan memerlukan bantuan menyelesaikan masalah. Ada masa dia hanya mahu kita mendengar tanpa segera memberi nasihat atau mempertahankan diri.

Apabila perbualan mula tegang, cuba ubah cara kita menyampaikan rasa tidak puas hati. Daripada berkata, “Awak memang tak pernah peduli tentang rumah,” kita boleh berkata, “Saya rasa penat apabila banyak urusan rumah belum selesai. Boleh kita bincang bagaimana hendak membahagikannya?”

Perbezaannya mungkin nampak kecil, tetapi ayat pertama menyerang peribadi pasangan, manakala ayat kedua menerangkan keadaan, perasaan dan permintaan dengan lebih jelas. Kita tidak perlu memendam perasaan, tetapi perlu belajar menyampaikannya tanpa merendahkan pasangan.

Belajar berhenti seketika

Ketika marah, kita mungkin bercakap lebih keras daripada yang dimaksudkan, mengungkit perkara lama, menggunakan perkataan seperti “selalu” dan “tak pernah”, atau melontarkan kata-kata yang akhirnya disesali. Jika suara mula meninggi dan emosi semakin sukar dikawal, ambillah jeda.

Beritahu pasangan dengan jelas, “Saya sedang terlalu emosi. Saya perlukan sedikit masa untuk bertenang. Boleh kita sambung berbincang selepas ini?” Pastikan jeda itu benar-benar untuk menenangkan diri dan kembali berbincang, bukan untuk menghukum pasangan dengan berdiam diri tanpa penjelasan.

Apabila sudah tenang, cuba dengar pandangan pasangan sehingga selesai. Kita boleh tidak bersetuju tanpa menghina, menjelaskan pendirian tanpa memperlekeh, apalagi meminta maaf tanpa perlu menunggu pasangan melakukannya terlebih dahulu.

Bahasa yang mengingatkan kita satu pasukan

Perhatikan perbezaan antara ayat “Awak memang menyusahkan saya” dengan “Kita sedang berdepan keadaan yang sukar. Bagaimana kita boleh mengatasinya?” Ayat pertama meletakkan pasangan sebagai punca masalah. Ayat kedua mengajak kedua-duanya mencari jalan keluar.

Perkataan “kita” bukan hanya pilihan bahasa. Ia mengingatkan bahawa kehidupan ini sedang dibina bersama. Apabila berdepan masalah kewangan, cabaran mendidik anak atau tekanan kerja, kita boleh berhenti seketika dan bertanya, “Apakah keputusan yang baik untuk keluarga?”, “Apakah yang perlu kita ubah?”, “Apakah bantuan yang diperlukan?”

Pertanyaan ini tidak bermaksud kita perlu menyembunyikan kesalahan atau menganggap semua perkara sebagai tanggungjawab bersama secara sama rata. Sebaliknya, kita belajar membezakan antara pasangan dengan masalah yang sedang dihadapi. Pasangan bukan musuh yang perlu ditewaskan tetapi masalah itulah yang perlu diusahakan untuk diselesaikan bersama.

Jangan terlalu sibuk menjadi ibu dan ayah hingga terlupa menjadi pasangan

Apabila anak-anak semakin membesar dan tuntutan kerja semakin banyak, perbualan suami isteri mudah dipenuhi urusan harian. Kita bercakap tentang bil, jadual sekolah, kerja rumah, janji temu dan keperluan anak-anak. Semua itu penting, tetapi hubungan suami isteri juga memerlukan ruang untuk dipelihara.

Bila kali terakhir duduk berdua, bukan hanya menyelesaikan urusan, tetapi berbual tentang kita? Bila kali terakhir berbual tentang apa yang sedang dilalui, apa yang diimpikan, apa yang merisaukan dan bagaimana keadaan hati masing-masing? Bila kali terakhir berbual tentang anak-anak, bukan hanya keputusan peperiksaan mereka, tetapi nilai, emosi dan sifat insani yang sedang mereka lalui?

Setiap pasangan, tidak semestinya memerlukan percutian mahal atau masa yang panjang. Kadangkala, secawan minuman selepas anak-anak tidur, berjalan bersama atau berbual tanpa telefon di tangan sudah cukup untuk membuka ruang mendengar dan memahami. Yang penting, kita hadir dengan perhatian, bukan sekadar duduk bersebelahan.

Anak-anak juga belajar daripada cara ibu dan ayah berinteraksi. Mereka melihat bagaimana kita berbeza pendapat, meminta maaf, menghormati satu sama lain dan menyelesaikan masalah. Rumah tangga yang saling menghormati memberikan contoh bahawa kasih sayang bukan bermaksud tidak pernah berselisih, tetapi tetap berusaha menjaga hubungan ketika berdepan perbezaan.

Membina rumah tangga sebagai tempat kembali

Allah SWT menggambarkan suami dan isteri sebagai pakaian antara satu sama lain dalam Surah al-Baqarah, ayat 187. Pakaian melindungi, menutup dan mendekatkan. Gambaran ini mengingatkan kita tentang peranan pasangan untuk saling menjaga maruah, memberikan perlindungan dan menjadi sumber ketenangan.

Rumah tangga yang baik bukanlah yang tidak pernah bergolak tetapi rumah tangga yang pasangan di dalamnya terus belajar antaranya mendengar, mengalah apabila perlu, menetapkan batas dengan baik, dan sentiasa membaiki kesilapan. Saling memaafkan tidak bermakna kita perlu menerima penghinaan, ancaman atau keganasan. Keselamatan dan maruah setiap ahli keluarga tetap perlu dilindungi.

Perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah besar. Mungkin hari ini kita boleh memulakan satu perbualan dengan nada yang lebih lembut, mengucapkan terima kasih atas perkara yang selama ini dianggap biasa, bertanya kepada pasangan, “Apa yang boleh saya bantu minggu ini?” atau berkata, “Saya mahu kita selesaikan perkara ini bersama-sama.”

Perkahwinan bermula dengan aku dan kau. Namun, membina “kita” memerlukan usaha yang berterusan. Kita tidak perlu sentiasa sama pandangan, sama kuat atau sama cara. Kita cuma perlu terus memilih untuk saling menghormati dan bergerak menuju tujuan yang dikongsi bersama.

Menang bersama

Pada akhirnya, ukuran kejayaan rumah tangga bukanlah siapa yang paling kerap menang dalam pertengkaran, siapa yang paling banyak berkorban atau siapa yang sentiasa mendapat kata putus. Ukurannya, ialah sejauh mana seseorang itu mampu membina kehidupan yang membuat kedua-duanya berasa dihargai, didengari dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan keluarga.

Jadi, apabila perbezaan pendapat muncul, sebelum bertanya “Siapa yang betul?” cubalah bertanya, “Apa yang terbaik untuk kita?” Dan apabila kehidupan terlalu sibuk, carilah ruang untuk duduk berdua, berbual bersama tentang anak-anak, dan mengingatkan diri tentang impian yang pernah dibina bersama.

Ingatlah, rumah tangga bukan medan untuk menentukan siapa yang menang. Rumah tangga ialah tempat dua insan belajar menjadi satu pasukan, bukan dengan menghilangkan diri masing-masing, tetapi dengan saling menguatkan.

Aku, kau, menjadi kita. Kita bukan sekadar tinggal di bawah satu bumbung, tetapi berjalan ke arah yang sama dan belajar menang bersama.

Dr. Siti Munirah Jamil 

Timbalan Ketua Wanita IKRAM Johor &

JK Pendidikan Masyarakat

IKRAM Negeri Johor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia