Lelaki Pemimpin Keluarga: Akhlak, Rahmah dan Amanah

Lelaki pemimpin keluarga

Jam menunjukkan pukul lapan malam. Seorang bapa melangkah masuk ke rumah selepas seharian berdepan dengan kesesakan jalan raya dan tekanan kerja. Dia duduk di ruang tamu bersama isteri dan anak-anak.

Namun, meskipun berada di sisi keluarga, perhatiannya masih tertumpu pada skrin telefon. Anak kecil yang ingin bercerita tentang pengalaman di sekolah akhirnya memilih untuk berdiam diri. Isteri yang ingin berkongsi cerita dan keletihan sepanjang hari pula mengambil keputusan untuk memendamnya.

Situasi seperti ini mungkin tidak asing dalam kehidupan sebahagian keluarga di Malaysia. Ramai lelaki bekerja keras demi memastikan keperluan keluarga dipenuhi. Namun, dalam kesibukan menunaikan tanggungjawab mencari rezeki, adakalanya aspek hubungan dan keperluan emosi keluarga terlepas daripada perhatian.

Persoalannya, apakah yang sebenarnya menjadikan seorang lelaki itu pemimpin keluarga yang kukuh? Adakah kedudukannya sebagai ketua keluarga semata-mata atau kesediaannya memikul amanah dengan penuh tanggungjawab?

Amanah sebagai asas kepimpinan 

Dalam Islam, kepimpinan lelaki dalam keluarga bukan sekadar berkaitan kedudukan atau kuasa, namun merupakan amanah yang menuntut kesungguhan dan tanggungjawab. Allah SWT menjelaskan kedudukan lelaki sebagai qawwam dalam Surah an-Nisa’ ayat 34.

Konsep qawwam sering difahami dari sudut kuasa dan autoriti, sedangkan pengertiannya turut merangkumi tanggungjawab untuk mengurus, menjaga dan melindungi keluarga. Maka, kepimpinan bukanlah suatu keistimewaan untuk dinikmati, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Prinsip ini diperkukuh melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya… Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan ditanya tentang mereka.” (al-Bukhari, no. 893; Muslim, no. 1829)

Hadis ini mengingatkan bahawa kepimpinan tidak hanya diukur melalui kemampuan membuat keputusan atau menyediakan keperluan keluarga, malah juga melalui cara seseorang menunaikan amanah terhadap mereka yang berada di bawah tanggungannya. 

Oleh itu, kekukuhan seorang lelaki bermula daripada kesedaran bahawa kepimpinan ialah amanah, bukannya lambang kekuasaan. Dalam kehidupan berkeluarga, amanah tersebut diterjemahkan melalui tiga unsur yang saling melengkapi iaitu akhlak, rahmah dan tanggungjawab.

Akhlak: Memimpin melalui teladan 

Seorang bapa pulang dalam keadaan letih lalu meninggikan suara kerana perkara kecil. Tanpa disedari, anak-anak mula meniru cara yang sama ketika berhadapan dengan adik-beradik. Situasi ini memperlihatkan bahawa anak-anak lebih mudah mencontohi perlakuan ibu bapa berbanding mendengar nasihat sahaja.

Akhlak merupakan asas kepimpinan yang membentuk suasana harmoni dalam keluarga. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri mahupun pembantu baginda (Muslim no. 2328).

Baginda memimpin keluarga dengan kelembutan, bukan dengan ketakutan. Baginda juga mengingatkan bahawa orang yang kuat ialah mereka yang mampu mengawal dirinya ketika marah (al-Bukhari no. 6114; Muslim no. 2609).

Kekuatan lelaki bukan diukur pada ketegasan suara, tetapi pada keupayaannya menahan emosi, menjaga tutur kata, menghormati pasangan dan mengakui kesilapan. Teladan inilah yang  membina rasa hormat dan kepercayaan dalam keluarga.

Rahmah: Kasih sayang yang dirasai 

Kasih sayang yang tidak dizahirkan mungkin tidak dirasai oleh ahli keluarga. Ada bapa yang terlalu sibuk atau tegas sehingga anak-anak sukar merasa kasih sayangnya.  

Allah SWT menjadikan mawaddah dan rahmah sebagai asas hubungan suami isteri (Surah ar-Rum 30:21). Rasulullah SAW menunjukkan kasih sayangnya dengan mencium cucu baginda, al-Hasan bin Ali sambil mengingatkan bahawa “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (al-Bukhari no. 5997; Muslim no. 2318)

Rahmah dalam keluarga bukan sekadar perasaan, tetapi diterjemahkan melalui keprihatinan dan tindakan. Mendengar keluhan pasangan, memahami emosi anak-anak dan meluangkan masa bersama merupakan amalan sederhana yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Tanggungjawab: Amanah dalam tindakan 

Ada bapa yang bekerja keras untuk menyara keluarga, namun kurang mengetahui perkembangan kehidupan anaknya. Mencari nafkah merupakan tanggungjawab yang mulia, namun amanah seorang lelaki bukan hanya pada keperluan kewangan sahaja.

Islam menuntut bapa menyediakan nafkah secara makruf (Surah al-Baqarah, 2: 233) serta  memelihara diri dan keluarga daripada api neraka (Surah at-Tahrim, 66: 6).

Rasulullah SAW sendiri membantu urusan keluarga ketika berada di rumah. Apabila Aisyah r.a. ditanya tentang tugas baginda di rumah, Aisyah menjawab bahawa baginda membantu urusan keluarganya dan keluar apabila tiba waktu solat (al-Bukhari no. 676).

Baginda turut mengingatkan bahawa seseorang itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan orang yang berada di bawah tanggungannya (Abu Dawud no. 1692).

Perkara ini menunjukkan bahawa tanggungjawab itu merangkumi keperluan fizikal, pendidikan, rohani dan kesejahteraan keluarga. Mengambil tahu perkembangan anak-anak, membimbing mereka menunaikan solat, membantu kerja rumah dan menyediakan persekitaran yang selamat merupakan antara tindakan yang mencerminkan amanah seorang bapa.

Amanah membina keluarga sejahtera 

Tiada lelaki yang dilahirkan sebagai pemimpin keluarga yang sempurna. Setiap suami dan bapa melalui proses pembelajaran, melakukan kesilapan dan berusaha memperbaik diri. Lelaki yang kukuh bukanlah yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi yang bersedia bermuhasabah dan terus menunaikan amanahnya.

Hakikatnya, kekukuhan keluarga bermula apabila lelaki menyedari bahawa kepimpinan merupakan amanah daripada Allah SWT.

Amanah yang diterjemahkan melalui akhlak terpuji, rahmah yang dirasai dan tanggungjawab yang dilaksanakan akan membina keluarga yang harmoni. Daripada keluarga yang kukuh inilah terbentuknya masyarakat yang lebih sejahtera.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia