Lelaki Qawwam: Seimbang Amanah Keluarga dan Ummah

Menjadi lelaki Qawwam

Seperti yang kita sedia maklum, menjadi seorang ketua keluarga bukan sekadar memikirkan tanggungjawab makan, minum dan menyediakan keperluan hidup yang lain.

Bahkan, menggalas gelaran mulia, iaitu suami dan bapa, turut melibatkan bebanan memastikan keluarga bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, perubahan sosial yang pantas dan persekitaran kehidupan yang semakin kompleks. 

Sudah tentu cabaran ini menjadi lebih berat bagi lelaki muda yang terlibat dalam aktivisme pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana mereka bukan sahaja perlu membina kerjaya, mengurus keluarga dan memenuhi tuntutan sebagai ketua dalam keluarganya, malah turut membawa cita-cita untuk menyumbang kepada perkembangan masyarakat.

Justeru, mengenai mereka inilah, al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna berkata dalam Risalat al-Ma’thurat:

الواجبات أكثر من الأوقات

Maksudnya: “Kewajipan itu lebih banyak daripada waktu yang ada.”

Masakan tidak, bukankah setiap manusia hanya dikurniakan 24 jam sehari? Namun para aktivis sering memikul beban berkali-kali ganda, mencurahkan tenaga tanpa imbuhan dan melaksanakan amanah yang mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran orang lain.

Dalam keadaan sedemikianlah, aktivisme boleh menjadi ruang pengabdian yang bermakna, tetapi dalam masa yang sama menuntut pelbagai bentuk pengorbanan seperti masa, tenaga, wang dan perhatian yang tinggi.

Seorang aktivis muda mungkin perlu memilih antara kewajipan menghadiri program persatuan atau meluangkan masa bersama keluarga, antara menyumbang kepada aktiviti gerakan atau membina simpanan rumah tangga.

Jadi persoalannya di sini, bukan sama ada lelaki itu perlu memilih keluarga atau masyarakat, tetapi bagaimana kedua-dua tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan dengan tuntas tanpa terabai salah satu amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Lelaki qawwam 

Dalam konteks inilah, konsep qiwamah, atau mungkin lebih dikenali sebagai “lelaki qawwam” menjadi penting untuk dibincangkan selain daripada konsep-konsep yang sudah biasa kita dengar, contohnya mujahadah dan pengorbanan. Konsep qiwamah ini berasal daripada Surah an-Nisa’, ayat 34 yang berbunyi:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan oleh sebab kelebihan yang Allah berikan kepada sesetengah mereka atas sesetengah yang lain.”

Seperti yang dapat dilihat daripada terjemahan, “qawwam” bermaksud “pemimpin keluarga”. Justeru, “qiwamah” boleh ditakrifkan sebagai “kepimpinan dalam konteks keluarga Muslim”.

Apabila konsep ini digandingkan dengan prinsip wiqayah (perlindungan) daripada Surah at-Tahrim, ayat 6 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, lindungilah diri-diri serta ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batan”, maka dapat difahami bahawa kepimpinan tersebut adalah berlandaskan prinsip melindungi yang sangat menepati ciri-ciri maqasid syariah, iaitu penjagaan (al-hifz).

Ciri-ciri qiwamah yang berteraskan perlindungan amat penting pada zaman sekarang memandangkan seorang lelaki bukan sahaja dituntut untuk membina kehidupan, mencari rezeki dan menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga perlu memastikan segala usaha tersebut tidak memusnahkan dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. 

Bayangkan apabila keghairahan seorang lelaki untuk meraih keuntungan dan mengumpul kekayaan, meskipun pada asalnya demi kesejahteraan keluarga, akhirnya menjerumuskannya ke dalam skim penipuan, budaya berfoya-foya atau ketagihan arak dan dadah.

Usaha yang pada mulanya bertujuan membina kehidupan yang lebih baik, akhirnya bertukar menjadi punca kemusnahan diri, bahkan boleh meruntuhkan rumah tangga yang dibina sekian lama. 

Keadaan ini memperlihatkan bahawa niat yang baik semata-mata tidak menjamin hasil yang baik tanpa disertai kebijaksanaan membuat pertimbangan, kewaspadaan terhadap risiko dan keupayaan menjauhi perkara yang boleh membawa kemudaratan. 

Di sinilah pentingnya prinsip perlindungan dalam qiwamah yang bermaksud seorang lelaki bukan sahaja perlu berusaha mendapatkan sesuatu untuk keluarganya, tetapi juga memastikan usaha tersebut tidak menjadi jalan yang memusnahkan dirinya dan keluarga yang ingin dilindunginya.

Melindungi diri lebih dahulu sebelum melindungi ahli keluarga yang lain

Pada zaman yang segala perkara bergerak pantas dan penuh ketidaktentuan ini, seorang lelaki qawwam sangat perlu memahami bahawa tanggungjawabnya melindungi keluarga bermula dengan keupayaannya untuk melindungi diri sendiri terlebih dahulu. 

Seorang lelaki perlu tahu, pelbagai peluang dalam pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan sosial hadir bersama risiko yang boleh menjejaskan agama, akal, kesihatan, integriti dan masa depannya. 

Sifat ghairah (beremosi dalam menghendaki sesuatu) dan kurang berhati-hati sebelum mengambil keputusan sangat bahaya dan boleh mengundang masalah akan datang yang tidak terjangka. 

Risiko pula boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti janji pulangan kewangan yang tinggi, kawan-kawan yang menyeronokkan serta suasana kerja yang kononnya kondusif, dengan pergaulan bebas dan waktu kerja yang tidak tetap (flexible working hours).

Semua itu mungkin membawa keburukan sekiranya seorang lelaki tidak berfikir panjang. Saya sendiri pernah melihat beberapa kes yang melibatkan sekumpulan ejen insurans atau ejen perumahan tanpa deposit yang menabur janji-janji yang sangat mengasyikkan. 

Sekiranya seseorang ejen yang direkrut itu tidak pandai membawa diri, dia mungkin terdedah kepada pergaulan bebas, mula mengabaikan keluarga dan akhirnya terjebak dengan tabiat keji “main perempuan”.

Oleh sebab itu, pesanan supaya lelaki melindungi diri mereka sendiri ini bukanlah tanda kelemahan atau sikap mementingkan diri, tetapi sebenarnya suatu bentuk kebijaksanaan dalam memelihara keupayaan untuk terus memikul amanah yang besar sebagai suami dan bapa.

Keperluan ini menjadi lebih penting bagi bapa-bapa muda yang terlibat dalam aktivisme NGO. Di samping tuntutan pekerjaan dan keluarga, mereka turut memikul tanggungjawab sosial yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan kewangan.

Semangat juang yang tinggi juga, jika tidak disertai pengurusan diri dan pertimbangan yang bijaksana, boleh menyebabkan mereka mengabaikan kesihatan, kestabilan kewangan dan hubungan kekeluargaan. 

Lantaran itu, seorang lelaki perlu mengetahui batas kemampuan dirinya, memilih perjuangan yang mampu dilaksanakan secara berterusan dan berani menolak komitmen atau peluang yang boleh menjejaskan amanah yang lebih utama.

Hakikatnya, perlindungan tidaklah bermaksud menghindari semua risiko, tetapi ia adalah keupayaan untuk membezakan risiko yang wajar dihadapi (selalunya risiko yang terkawal) dengan risiko yang boleh membawa kemudaratan kepada dirinya dan ahli keluarga.

Qiwamah terhadap diri dan keluarga mengabaikan amanah di luar?

Menjadi lelaki qawwam yang berteraskan prinsip melindungi diri dan keluarga tidak bermaksud seseorang lelaki perlu sentiasa mengutamakan keluarga sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kerja dan masyarakat. Sebaliknya, cabaran sebenar terletak pada keupayaan untuk mengimbangi amanah yang pelbagai tanpa cuai mana-mana daripadanya. 

Hal ini bermaksud, ketika menumpukan perhatian kepada kerja atau aktivisme, dia tidak seharusnya mengabaikan keperluan emosi, pendidikan dan perkembangan anak-anak. Begitu juga, ketika meluangkan masa bersama keluarga, dia tidak seharusnya mengabaikan amanah terhadap organisasi tempat dia bekerja atau persatuan tempat dia berkhidmat.

Qiwamah dalam pengertian ini bukan sekadar melindungi satu pihak, tetapi kebijaksanaan mengurus pelbagai tanggungjawab secara adil dan bertanggungjawab.

Jika kita telusuri kehidupan al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, kita akan dapati satu contoh yang menarik untuk direnungkan. Walaupun sibuk dengan gerakan dakwah, beliau dilaporkan memberikan perhatian yang terperinci terhadap perkembangan anak-anaknya.

Menurut satu wawancara dengan anak sulung beliau yang bernama Ahmad Sayf al-Islam al-Banna pada 2003, Hasan al-Banna dikatakan menyimpan rekod kesihatan dan persekolahan setiap anak, mencatat tarikh-tarikh penting seperti hari lahir, nombor pendaftaran (untuk kegunaan rasmi dengan institusi kerajaan atau pendidikan), di samping turut mencatat keperluan rawatan berkala mereka.

Beliau juga dikatakan turut memberi perhatian khusus terhadap perkembangan pembelajaran, pendidikan agama, menggalakkan anak-anak membaca dan memantau kegiatan harian mereka.

Kisah ini memperlihatkan bahawa kesibukan dalam perjuangan tidak semestinya menghalang seseorang daripada memberikan perhatian terhadap keluarga, sekiranya tanggungjawab tersebut diurus dengan kesedaran dan perancangan.

Justeru, paradoks lelaki qawwam bukanlah satu masalah untuk memilih antara keluarga dengan masyarakat, bahkan ia merupakan kebijaksanaan bagaimana kedua-duanya dapat dipelihara tanpa mengorbankan amanah salah satu daripadanya. 

Sehubungan itu, lelaki qawwam seharusnya bukan sekadar tahu siapa yang perlu dilindungi, tetapi turut memahami amanah mana yang perlu ditunaikan, bila ia perlu ditunaikan dan bagaimana melaksanakannya tanpa mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Lelaki qawwam bukan sentiasa bagus dan “pandai bawa diri”

Perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa ialah hakikat bahawa menjadi lelaki qawwam pada usia muda bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Mereka sering berada dalam fasa membina kerjaya, menstabilkan kewangan, mengurus keluarga dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab dakwah serta kemasyarakatan.

Oleh itu, lelaki qawwam muda bukan sahaja perlu diingatkan tentang tanggungjawab mereka, tetapi juga perlu diraikan, difahami dan disokong oleh orang-orang di sekeliling mereka.

Di sini, saya menyenaraikan beberapa poin yang mungkin penting untuk ditekankan:

1. Keluarga perlu menghargai usaha, bukan sekadar hasil. 

Seorang bapa muda mungkin belum mampu menyediakan kehidupan yang mewah. Tetapi yang pasti, dia sedang berusaha memenuhi keperluan keluarga dan membina masa depan. Pasangan dan ahli keluarga sangat perlu menghargai kesungguhannya, bukan hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah pendapatan, harta atau pencapaian material.

2. Lelaki qawwam juga memerlukan ruang emosi untuk berehat dan mengadu. 

Perkara ini adalah sesuatu yang sangat penting. Masyarakat sering mengharapkan lelaki menjadi kuat, tabah dan mampu menyelesaikan masalah sendiri. Namun, lelaki juga sebenarnya mengalami saat letih, berasa bimbang dan menghadapi kekecewaan.

Memberikan ruang untuk mereka meluahkan perasaan tanpa dipersendakan bukanlah sesuatu yang melemahkan, sebaliknya membantu mereka menjadi resilient (mampu bangkit kembali), bertanggungjawab dan menjadi matang dengan cepat.

3. Pasangan perlu menjadi rakan seperjuangan, bukan sekadar penerima hasil perjuangan.

Kehidupan keluarga bukanlah tanggungjawab seorang lelaki secara bersendirian. Pasangan perlu membina persefahaman tentang kewangan, masa, pengasuhan anak dan penglibatan kemasyarakatan. Sokongan ini tidak bermaksud semua pengorbanan lelaki mesti diterima tanpa soal, tetapi kedua-duanya mesti belajar mengurus tanggungjawab secara adil, saling memahami serta tidak mengungkit.

4. Masyarakat perlu menyediakan sistem sokongan, bukan menambah beban semata-mata. 

Organisasi NGO, gerakan dakwah dan komuniti perlu memahami bahawa aktivis muda mempunyai pekerjaan, keluarga dan keterbatasan sumber. Pembahagian tugas yang munasabah, penghargaan terhadap sumbangan serta budaya kerja yang sihat akan membolehkan mereka terus berkhidmat tanpa mengorbankan kesejahteraan diri dan keluarga.

5. Lelaki qawwam muda perlu diraikan sebagai manusia yang sedang berkembang. 

Perlu diingat, mereka tidak semestinya sudah memiliki semua kemahiran, kestabilan dan kebijaksanaan yang diperlukan. Mereka memerlukan bimbingan, teladan dan peluang untuk belajar daripada kesilapan. Meraikan mereka bukan bererti membenarkan kecuaian yang dilakukan, tetapi mengiktiraf usaha dan membantu mereka memperbaiki diri supaya mereka segera memahami.

Paling penting, ketika lelaki qawwam telah melakukan sesuatu pengorbanan, sama ada mereka menampakkannya atau menyembunyikannya, mereka juga memerlukan penghargaan daripada semua. Jangan mereka hanya dicari ketika diperlukan dan dilupakan setelah tugas mereka selesai.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia