Lelaki Qawwam: Langkah Imbangi Keluarga dan Dakwah

Lelaki Qawwam

Dalam gerakan dakwah, kita sering menyaksikan para aktivis dakwah yang begitu komited menggerakkan usrah, menyampaikan ceramah, mengendalikan program kebajikan, menyusun strategi tarbiah dan turun membantu masyarakat. Kesungguhan ini merupakan manifestasi tanggungjawab seorang Muslim untuk menyeru manusia kepada kebaikan sebagaimana firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ  

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Namun, di sebalik semangat berdakwah tersebut, terdapat satu amanah yang tidak kurang besarnya, iaitu memimpin dan membina keluarga. Hakikatnya, kejayaan seorang lelaki bukan hanya diukur melalui pengaruhnya dalam masyarakat, bahkan sejauh mana beliau berjaya menjadi qawwam  kepada keluarganya.

Allah SWT berfirman:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ 

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa’: 34)

Ayat ini meletakkan tanggungjawab kepimpinan keluarga sebagai amanah yang mesti dipikul oleh seorang lelaki. Qawwam bukan sekadar ketua keluarga dari sudut autoriti, bahkan pemimpin yang membimbing, melindungi, mendidik, menyayangi dan memastikan ahli keluarganya menuju keredaan Allah SWT.

Persoalannya, bagaimana seorang aktivis dakwah mampu menyeimbangkan antara komitmen keluarga dengan tanggungjawab dakwah kepada masyarakat? Yang berikut adalah langkah-langkah dalam mengimbangi antara komitmen keluarga dan tanggungjawab  kepada masyarakat:

1. Memahami Keutamaan Amanah

Dalam Islam, setiap amanah mempunyai hak yang perlu ditunaikan. Rasulullah SAW sendiri membenarkan kata-kata Salman al-Farisi r.a. kepada Abu Darda’ r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dirimu mempunyai hak ke atasmu, isterimu mempunyai hak ke atasmu, maka berikanlah kepada setiap yang mempunyai hak akan haknya.” (Riwayat al-Bukhari, 6139)

Hadis ini menjadi panduan penting kepada setiap pendakwah. Kesibukan dalam kerja dakwah tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan hak isteri, anak-anak dan ibu bapa. Begitu juga kecintaan kepada keluarga tidak boleh menyebabkan seseorang meninggalkan tanggungjawab menyebarkan risalah Islam. Keseimbangan inilah yang menjadi ciri seorang qawwam yang sebenar.

2. Menjadikan Keluarga Sebagai Medan Dakwah Pertama

Ramai yang bersemangat membina masyarakat tetapi kurang memberi perhatian kepada pembinaan keluarga sendiri, sedangkan Allah SWT terlebih dahulu memerintahkan:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ  

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim: 6)

Ayat ini menunjukkan bahawa dakwah bermula dari rumah. Anak-anak yang soleh, isteri yang memahami perjuangan dan suasana rumah yang dipenuhi iman merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang soleh dan musleh.

Aktivis dakwah sewajarnya melihat keluarga sebagai rakan perjuangan, bukannya penghalang kepada perjuangan. Libatkan pasangan dalam aktiviti kebajikan, bawa anak-anak menyertai program masyarakat yang sesuai dengan usia mereka dan jadikan rumah sebagai pusat tarbiah yang hidup dengan al-Quran, solat berjemaah dan perbincangan ilmu.

3. Mengurus Masa Secara Berstrategi

Antara cabaran utama aktivis dakwah ialah kekangan masa. Program yang padat, mesyuarat yang berterusan dan pelbagai tugasan sering menyebabkan masa bersama keluarga semakin berkurangan. Seorang qawwam perlu mengurus masa berdasarkan keutamaan, bukan semata-mata kesibukan. Jadual keluarga perlu diberikan perhatian yang sama seperti jadual dakwah.

Antara amalan yang boleh dilaksanakan ialah menetapkan waktu khusus bersama keluarga setiap hari tanpa gangguan telefon atau media sosial, memperuntukkan sekurang-kurangnya satu hari dalam seminggu untuk aktiviti keluarga serta merancang jadual dakwah lebih awal agar tidak bertembung dengan keperluan penting keluarga. Pengurusan masa yang baik bukan sahaja mengurangkan tekanan, malah meningkatkan keberkatan dalam setiap amanah yang dipikul.

4. Mengamalkan Syura dalam Keluarga

Konsep syura bukan hanya diamalkan dalam organisasi dakwah, bahkan perlu bermula di rumah. Isteri dan anak-anak berhak mengetahui komitmen dakwah yang sedang dilaksanakan. Mereka juga wajar diberikan ruang untuk berkongsi pandangan, cadangan dan kebimbangan.

Apabila keputusan dibuat secara bersama, ahli keluarga akan lebih memahami tuntutan perjuangan dan berasa dihargai. Mereka tidak lagi melihat aktiviti dakwah sebagai sesuatu yang merampas masa keluarga, sebaliknya sebagai misi bersama yang membawa keberkatan. Komunikasi yang baik merupakan benteng utama bagi mengelakkan salah faham dan konflik rumah tangga.

5. Menjadi Teladan Melalui Akhlak

Kepimpinan qawwam tidak dibina melalui arahan semata-mata tetapi melalui qudwah hasanah atau teladan yang baik. Rasulullah SAW, walaupun memimpin umat Islam, tetap membantu kerja rumah, bergurau dengan isteri, bermain bersama anak-anak serta melayani ahli keluarganya dengan penuh kasih sayang.

Baginda bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku ialah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat at-Tirmizi, 3895, Sahih)

Pendakwah yang petah berbicara di pentas tetapi keras terhadap keluarga akan kehilangan keberkatan dakwahnya. Anak-anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian berbanding nasihat. Oleh itu, akhlak yang baik di rumah merupakan dakwah paling berkesan kepada ahli keluarga.

6. Mengelakkan Budaya “Sentiasa Sibuk”

Dalam dunia aktivisme dakwah, terdapat kecenderungan menganggap semakin sibuk seseorang, semakin besar sumbangannya kepada dakwah. Hakikatnya, Islam tidak mengajar budaya bekerja tanpa keseimbangan masa sehingga mengorbankan keluarga dan kesihatan.

Aktivis dakwah perlu berani mengatakan “tidak” kepada program yang bertindih atau tugasan yang boleh dipikul oleh orang lain. Pengagihan tugas dan pembangunan pelapis merupakan sebahagian daripada pengurusan dakwah yang lestari. Seorang qawwam yang bijaksana memahami bahawa kehadirannya di sisi keluarga pada saat-saat penting juga merupakan ibadah yang tinggi  nilainya.

7. Membina Sokongan Pasangan

Perjuangan dakwah akan menjadi lebih ringan apabila suami dan isteri saling memahami misi masing-masing. Suami perlu sentiasa menghargai pengorbanan isteri yang mengurus rumah tangga ketika beliau berada di lapangan dakwah. Ucapan terima kasih, penghargaan yang tulus dan bantuan dalam urusan rumah mampu mengukuhkan hubungan.

Pada masa yang sama, isteri juga perlu diberikan ruang untuk menyertai program tarbiah dan pembangunan diri agar kefahaman terhadap perjuangan sentiasa diperkasakan. Keluarga yang dibina atas dasar saling menyokong akan menjadi sumber kekuatan kepada perjuangan dakwah.

8. Menjaga Kesihatan Fizikal dan Emosi

Tanggungjawab sebagai qawwam memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan rohani. Aktivis yang terlalu penat, kurang tidur dan sentiasa tertekan mudah hilang kesabaran apabila bersama keluarga. Keadaan ini boleh menjejaskan hubungan rumah tangga dan keberkesanan dakwah.

Islam mengajar keseimbangan dalam pemakanan, rehat, ibadah dan aktiviti fizikal. Menjaga kesihatan bukanlah suatu kemewahan, tetapi sebahagian daripada amanah terhadap diri sendiri. Apabila tubuh badan sihat dan emosi stabil, seseorang lebih mampu melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat secara berkesan.

9. Sentiasa Memperbaharu Niat

Akhirnya, keseimbangan antara keluarga dan dakwah bergantung kepada keikhlasan niat. Setiap usaha mencari nafkah, membimbing isteri, mendidik anak-anak, menghadiri usrah, menyampaikan ilmu atau membantu masyarakat hendaklah diniatkan kerana Allah SWT.

Apabila semua tanggungjawab dilaksanakan dengan niat ibadah, seseorang tidak akan melihat keluarga sebagai penghalang kepada dakwah ataupun dakwah sebagai beban yang mengganggu kehidupan keluarga. Sebaliknya, kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk kehidupan seorang Muslim yang seimbang.

Penutup: Harmonikan keluarga dan dakwah

Seorang lelaki qawwam bukanlah individu yang memilih antara keluarga atau dakwah, tetapi insan yang mampu mengharmonikan kedua-duanya mengikut keutamaan syariat. Keluarga merupakan madrasah pertama, manakala masyarakat ialah medan penyebaran nilai-nilai yang telah dibina dalam institusi keluarga.

Aktivis dakwah perlu sentiasa bermuhasabah agar kejayaan menggerakkan organisasi dan masyarakat tidak dibayar dengan kegagalan memimpin keluarga sendiri. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila rumah tangga menjadi sumber kekuatan dakwah, manakala dakwah pula membawa keberkatan kepada keluarga.

Apabila seorang lelaki berjaya menjadi qawwam yang adil, penyayang, berilmu dan bijaksana, beliau bukan sahaja melahirkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah, bahkan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang  beriman, berakhlak dan sejahtera. Di sinilah lahirnya generasi yang mampu meneruskan perjuangan dakwah secara lestari, bermula dari rumah menuju kepada ummah.

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia