Menangani Krisis Nilai Era Digital Panduan Nabawi

Menangani Krisis Nilai Era Digital

Kita sedang hidup dalam dunia yang semakin pintar. Teknologi kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan begitu pantas, maklumat berada di hujung jari dan komunikasi merentasi sempadan berlaku dalam sekelip mata. Pelbagai urusan yang dahulunya memerlukan masa berjam-jam kini dapat diselesaikan dalam beberapa minit.

Namun, di sebalik kemajuan yang mengagumkan ini, timbul beberapa persoalan yang wajar kita renungkan. Adakah manusia semakin bahagia? Adakah hubungan kekeluargaan semakin erat? Adakah kemudahan mendapatkan maklumat menjadikan kita lebih bijaksana?

Hakikatnya, kemajuan teknologi tidak semestinya membawa kemajuan dari sudut kemanusiaan. Kita mungkin semakin pantas berkomunikasi, tetapi semakin kurang mendengar.

Kita mempunyai ribuan kenalan di media sosial, tetapi masih berasa kesunyian. Kita mampu mengakses pelbagai ilmu, namun kadangkala gagal membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan.

Inilah antara krisis sebenar era digital. Bukan sekadar krisis teknologi, tetapi krisis nilai, emosi, hubungan sosial dan kesejahteraan insan.

Menelusuri ketahanan insan melalui sirah nabawiyyah

Ketika menyampaikan ucapan dalam Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa Kali Ke-10 (SWAN X 2026), saya mengetengahkan satu pendekatan yang dinamakan Prophetic Resilience, iaitu ketahanan insan berteraskan nilai dan teladan Rasulullah SAW.

Ketahanan bukan bermaksud seseorang itu tidak pernah bersedih, kecewa atau mengalami kegagalan. Sebaliknya, ketahanan adalah kemampuan untuk bangkit daripada kesukaran tanpa kehilangan prinsip, harapan dan nilai kemanusiaan.

Sirah Rasulullah SAW memperlihatkan bahawa kehidupan Baginda tidak pernah sunyi daripada ujian. Baginda berhadapan dengan penolakan, penghinaan, kehilangan insan tersayang, pengkhianatan dan pelbagai tekanan. Namun, semua pengalaman tersebut tidak menjadikan Baginda seorang yang pendendam atau kehilangan kasih sayang terhadap manusia.

Peristiwa dakwah Rasulullah SAW di Taif memberikan pengajaran yang amat mendalam. Baginda bukan sahaja ditolak, malah menerima layanan yang menyakitkan. Namun, apabila diberikan pilihan untuk membinasakan mereka yang menzalimi Baginda, Rasulullah SAW memilih untuk mengharapkan kebaikan bagi generasi mereka.

Betapa besarnya jiwa seorang Rasul Sallallahualaihiwasallam.

Baginda mengajar bahawa kesakitan tidak semestinya dibalas dengan kesakitan. Penolakan tidak seharusnya memadamkan harapan. Bahkan, kekecewaan tidak boleh menjadi alasan untuk kehilangan sifat rahmah.

Bayangkan sekiranya nilai ini diamalkan dalam kehidupan digital hari ini. Apabila dikritik, kita tidak terus menyerang. Apabila dihina, kita tidak tergesa-gesa membalas. Apabila berbeza pandangan, kita tidak menjadikan penghinaan sebagai senjata.

Inilah ketahanan emosi yang sangat diperlukan oleh masyarakat hari ini.

Tabayyun: Penawar kepada budaya tular

Antara cabaran terbesar era digital ialah penyebaran maklumat yang tidak sahih. Sesuatu berita boleh menjadi tular dalam beberapa saat, sedangkan kebenarannya belum dipastikan.

Dalam hal ini, peristiwa Hadith al-Ifk, iaitu fitnah terhadap Saidatina Aisyah r.a., memberikan pengajaran yang sangat relevan.

Fitnah yang tersebar dalam masyarakat Madinah ketika itu bukan sahaja menyakiti Aisyah r.a., malah turut memberikan tekanan kepada Rasulullah SAW dan keluarga Baginda. Peristiwa ini dirakamkan dalam Surah an-Nur sebagai peringatan tentang bahaya menyebarkan tuduhan tanpa bukti.

Jika fitnah pada zaman tersebut mampu menggugat keharmonian masyarakat, bayangkan kesannya pada hari ini apabila teknologi membolehkan maklumat palsu disebarkan kepada jutaan manusia.

Lebih membimbangkan, AI kini boleh menghasilkan gambar, suara dan video palsu yang kelihatan begitu meyakinkan. Justeru, prinsip tabayyun bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga suatu keperluan dalam literasi digital.

Sebelum berkongsi sesuatu berita, tanyalah diri sendiri: Adakah maklumat ini benar? Adakah perkongsian ini membawa manfaat? Adakah tindakan saya akan menjatuhkan maruah seseorang?

Kadangkala tindakan paling bijaksana bukanlah menekan butang kongsi, tetapi memilih untuk berdiam diri.

Belajar kebijaksanaan daripada peristiwa Hudaibiyah

Perjanjian Hudaibiyah pula mengajar kita tentang kepentingan hikmah ketika berhadapan dengan keadaan yang mencetuskan emosi.

Sebahagian sahabat berasa berat menerima syarat perjanjian tersebut kerana pada zahirnya ia kelihatan tidak memihak kepada umat Islam. Namun, Rasulullah SAW melihat sesuatu yang lebih jauh daripada keadaan semasa.

Baginda mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan kepentingan jangka panjang.

Pengajaran ini amat penting dalam budaya komunikasi hari ini. Tidak semua perbezaan pandangan perlu dimenangi. Tidak semua provokasi perlu dijawab. Tidak semua kemarahan perlu diterjemahkan melalui tulisan.

Adakalanya, memilih untuk tidak membalas merupakan suatu kemenangan terhadap diri sendiri.

Masyarakat digital perlu belajar bahawa kebijaksanaan bukan sekadar kemampuan memberikan hujah, tetapi juga keupayaan mengawal emosi dan mempertimbangkan akibat sesuatu tindakan.

Membina ketahanan yang menyeluruh

Ketahanan insan menurut pendekatan Nabawi perlu dibangunkan secara menyeluruh. Ia merangkumi kekuatan spiritual melalui hubungan dengan Allah SWT, kestabilan emosi ketika menghadapi tekanan, kematangan intelektual dalam menilai maklumat, hubungan sosial yang sihat serta keteguhan etika dalam membuat keputusan.

Peristiwa Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar r.a. di Gua Thur ketika hijrah menggambarkan kekuatan spiritual ini.

Ketika mereka berada dalam keadaan terancam, Rasulullah SAW menenangkan sahabatnya dengan ungkapan yang dirakamkan dalam Surah at-Taubah, ayat 40:

“Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Ungkapan ini mengingatkan bahawa ketenangan bukan semestinya hadir setelah masalah selesai. Kadangkala, ketenangan lahir daripada keyakinan kepada Allah ketika ujian masih berlangsung.

Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, manusia memerlukan kekuatan dalaman yang tidak bergantung sepenuhnya kepada pengiktirafan, pencapaian material atau penerimaan masyarakat.

Teknologi perlu memanusiakan manusia

Persoalan penting pada hari ini bukan lagi sama ada manusia perlu menggunakan AI. Teknologi tersebut sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Sebaliknya, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana memastikan penggunaan teknologi tidak menghakis nilai kemanusiaan.

AI boleh menghasilkan maklumat, tetapi manusia perlu memberikan makna. AI boleh membantu membuat analisis, tetapi manusia tetap bertanggungjawab terhadap pertimbangan moral. AI boleh meningkatkan produktiviti, tetapi tidak seharusnya menggantikan kasih sayang, empati dan hubungan sesama insan.

Kita tidak mahu melahirkan generasi yang cekap menggunakan teknologi tetapi lemah mengurus emosi, bijak menghasilkan kandungan tetapi kurang adab berkomunikasi, atau cemerlang dalam pencapaian tetapi kehilangan tujuan kehidupan.

Kemajuan sebenar perlu membawa manusia kepada human flourishing, iaitu kehidupan yang sejahtera, bermakna, berakhlak dan seimbang.

Dalam konteks Islam, kesejahteraan ini berkait rapat dengan pencapaian al-falah, yang menghubungkan kejayaan kehidupan dengan kesejahteraan rohani dan tanggungjawab terhadap sesama manusia.

Masa depan digital, jiwa tetap insani

Akhirnya, kita perlu menerima hakikat bahawa teknologi akan terus berkembang dan berubah. AI akan menjadi semakin canggih dan cabaran baharu pasti muncul.

Namun, nilai rahmah, hikmah, amanah, keadilan, tabayyun, sabar dan tawazun tidak akan kehilangan relevansinya.

Warisan Nabawi bukan sekadar untuk dikenang sebagai sejarah, tetapi untuk diterjemahkan dalam kehidupan semasa.

Justeru, amatlah penting bagi setiap daripada kita untuk menyuburkan kembali nilai-nilai yang diwarisi daripada Nabi SAW agar menjadi perisai untuk kita mendepani kemajuan digital dan teknologi.

Prof Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia