Pelantikan Penasihat Turath: Martabat Ilmu Mesti Seiring dengan Keadilan dan Integriti Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum cadangan kerajaan untuk melibatkan Syeikh Dr Ali Jum‘ah, mantan Mufti Mesir, sebagai penasihat dalam usaha memperkukuh pendidikan pondok dan turath di Malaysia.
IKRAM menyambut baik usaha kerajaan memartabatkan khazanah keilmuan Islam. Namun, IKRAM memandang serius kebimbangan yang timbul berhubung rekod pendirian Syeikh Ali Jum‘ah terhadap tindakan ketenteraan di Mesir pada tahun 2013.
Tragedi Rab’ah Tidak Boleh Dilupakan
Pada 14 Ogos 2013, ratusan penunjuk perasaan terbunuh dalam operasi pasukan keselamatan Mesir di Dataran Rab‘ah al-‘Adawiyah, Kaherah, selepas penggulingan Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi.
Human Rights Watch merekodkan sekurang-kurangnya 817 kematian dan menyatakan bahawa pembunuhan tersebut berkemungkinan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
IKRAM menegaskan bahawa pembunuhan orang awam dan penindasan politik tidak boleh dibenarkan atas apa-apa alasan.
Keilmuan Mesti Disertai Integriti Moral
IKRAM menghormati kedudukan keilmuan Syeikh Ali Jum‘ah serta sumbangan beliau dalam bidang pengajian Islam.
Namun, pendirian beliau yang dilaporkan menyokong tindakan pihak tentera Mesir pada tahun 2013 menimbulkan persoalan serius yang tidak boleh diketepikan.
Walaupun beliau menafikan pernah menghalalkan pembunuhan penunjuk perasaan aman, rekod kenyataan dan pendirian awam beliau tetap wajar dinilai secara teliti, adil dan menyeluruh.
Keilmuan seseorang tidak menjadikan pendirian dan tindakannya kebal daripada penilaian moral.
Turath Bukan Sekadar Warisan Kitab
Tradisi turath Islam bukan sekadar penguasaan kitab dan disiplin ilmu, tetapi turut membawa amanah menegakkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan memelihara nyawa manusia.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 135 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.”
Justeru, pemilihan tokoh penasihat pendidikan Islam hendaklah mengambil kira keluasan ilmu, integriti, keteladanan dan pendirian mereka terhadap keadilan serta hak asasi manusia.
Seruan kepada Kerajaan Malaysia
IKRAM menggesa kerajaan agar:
(i) Meneliti semula cadangan penglibatan Syeikh Ali Jum‘ah dengan mengambil kira rekod pendirian beliau terhadap tragedi Rab‘ah.
(ii) Memberikan penjelasan tentang status dan peranan sebenar beliau dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia.
(iii) Memastikan pemilihan tokoh penasihat dibuat secara telus, berasaskan kewibawaan ilmu, integriti moral dan keyakinan masyarakat.
IKRAM percaya terdapat ramai ilmuwan tempatan dan antarabangsa yang berwibawa untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan pondok dan turath negara.
Pendirian Berprinsip, Bukan Kepentingan Politik
IKRAM menegaskan bahawa pendirian ini bukanlah penolakan terhadap institusi al-Azhar, para ulama Mesir atau hubungan persaudaraan antara Malaysia dengan Mesir.
Pendirian IKRAM juga tidak berpihak kepada mana-mana parti atau tokoh politik, sebaliknya berasaskan prinsip keadilan, kemuliaan ilmu dan tanggungjawab moral para ulama.
Ulama ialah pewaris para nabi. Kemuliaan ilmu hendaklah sentiasa disertai keberanian menegakkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan menolak kezaliman.
IKRAM berharap kerajaan memberikan pertimbangan yang sewajarnya agar usaha memartabatkan turath di Malaysia benar-benar mencerminkan keindahan ilmu, akhlak dan keadilan Islam.
Ustaz Hj Tajul Arifin Che Zakaria
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




